#6445: Sikap Nabi SAW Ketika Wafat Anaknya Ibrahim

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sikap Nabi SAW ketika anak Baginda wafat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ ‎

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

(Surah Ali Imran: 14)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah mengkhabarkan tentang apa yang dihiasi bagi manusia dalam kehidupan dunia ini dari pelbagai jenis kesenangan seperti wanita dan anak-anak. Dia memulakan dengan wanita kerana fitnah (ujian) yang melibatkan wanita itu  lebih hebat.(Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim,2/19)

Ibrahim ialah anak Baginda SAW bersama Mariah binti Syam‘un. Dia merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Iskandariyyah dan Mesir iaitu al-Muqauqis kepada Rasulullah SAW. Pembesar itu juga turut menghadiahkan bersamanya hamba yang lain iaitu saudara perempuannya, Sirin dan juga Khasi yang dipanggil sebagai Makbur. Kemudian, Rasulullah SAW menghadiahkan Sirin kepada Hassan bin Thabit, dan dia ialah ibu kepada ‘Abd al-Rahman bin Hassan. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1912).

Rasulullah SAW tertarik kepada Ummu Ibrahim kerana beliau berkulit putih dan memiliki kecantikan. Maka Rasulullah SAW telah meletakkannya untuk tinggal di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Baginda pernah mendatanginya di sana dan memakaikannya hijab. Baginda menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. (Lihat  al-Tabaqat al-Kubra, 8/212).

Ibrahim bin Muhammad lahir pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Al-Zubair menyebutkan daripada syeikh-syeikhnya bahawa Ummu Ibrahim Mariah melahirkannya di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Orang yang menyambut kelahiran Ibrahim ialah Salma maulah Nabi SAW, yang merupakan isteri kepada Abu Rafi‘. Kemudian Abu Rafi‘ menyampaikan berita gembira tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba.

Selain daripada itu, Baginda SAW juga telah melakukan akikah untuknya dengan seekor kibasy pada hari ketujuh kelahirannya, mencukur rambutnya, dan bersedekah kepada orang miskin mengikut kadar timbangan rambut tersebut dengan perak. Begitu juga Baginda memerintahkan agar rambut yang dicukur itu ditanam di dalam tanah. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim.

Walau bagaimanapun, umur Ibrahim bin Muhammad tidak panjang kerana wafat ketika masih lagi kecil. Ibrahim meninggal dunia di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah ketika berusia 18 bulan iaitu pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Namun ada yang berpendapat, beliau dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah dan wafat pada tahun 10 Hijrah. Jenazahnya telah dimandikan oleh Ummu Burdah dan dibawa dari rumah Ummu Burdah di atas katil kecil. Rasulullah SAW telah mensolatkannya di Baqi‘.

Menurut al-Waqidi, Ibrahim telah meninggal dunia pada hari Selasa, setelah berlalunya sepuluh malam Rabi‘ul Awwal tahun 10 Hijrah dan dikebumikan di Baqi‘. Ibrahim telah wafat di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah binti al-Munzir daripada Bani al-Najjar, ketika berusia 18 bulan. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 16 bulan 8 hari, dan juga yang berpendapat, 16 bulan 6 hari, pada tahun 10 Hijrah.  (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 1/54-56; al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/229).

Ketika kewafatan Ibrahim, Rasulullah SAW telah menitiskan air mata. Imam al-Bukhari ada menukilkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW: “Air mata mengalir dan hati bersedih.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/438). Terdapat riwayat yang menceritakan mengenai peristiwa tersebut sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ، وَكَانَ ظِئْرًا لإِبْرَاهِيمَ، عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ، ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ، وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ، فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ‏.‏ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ـ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ ‏«يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ»‏‏.‏ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‏«إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ، وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا، وَإِنّ َا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ»‏‏.‏ رَوَاهُ مُوسَى عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏.

Maksudnya:Kami pergi bersama Rasulullah SAW menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah SAW mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: ‘Tuan menangis wahai Rasulullah?’ Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat.’ Kemudian air mata Baginda mengalir lagi. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya mata menitiskan air mata dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu.’

Riwayat al-Bukhari (1303)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Al-Tibi berkata- “Di sini terdapat makna takjub. Sedangkan huruf Waw (و), pada awal kalimat menghendaki adanya kalimat sebelumnya. Maknanya adalah; manusia tidak bersabar dalam menghadapi musibah – dan engkau (wahai Rasulullah) melakukan hal yang sama seperti perbuatan mereka? Seakan-akan dia merasa hairan atas sikap Rasulullah SAW tersebut – padahal dia mengetahui bagaimana Rasulullah menganjurkan manusia agar bersabar serta melarang sikap kalut dan panik – Maka Baginda SAW menjawab dengan sabdanya, “Sesungguhnya itu adalah kasih sayang”. Yakni keadaan yang engkau saksikan dalam diriku adalah tanda kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya.

Dalam hadis Abdurrahman bin Auf, dia berkata: ‘فَقُلْتُ يَا رَسُولَ الله تبْكي أَو لم تَنْهَ عَنِ الْبُكَاءِ ’ (Aku berkata “Wahai Rasulullah SAW. engkau menangis, bukankah engkau telah melarang daripada menangis?”) Lalu ditambahkan: ‘إِنَّمَا نَهَيْتُ عَنْ صَوْتَيْنِ أَحْمَقَيْنِ فَاجِرَيْنِ صَوْتٍ عِنْدَ نَغْمَةِ لَهْوٍ وَلَعِبٍ وَمَزَامِيرِ الشَّيْطَانِ وَصَوْتٍ عِنْدَ مُصِيبَةٍ خَمْشِ وُجُوهٍ وَشَقِّ جُيُوبٍ وَرَنَّةِ شَيْطَانٍ قَالَ إِنَّمَا هَذَا رَحْمَةٌ وَمَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمُ’ (Sesungguhnya aku hanya melarang dua suara dungu lagi banyak berbuat dosa; suara saat alunan muzik dan senda gurau, serta kesia-siaan serta seruling syaitan. Dan suara saat terjadinya musibah: iaitu mencakar wajah, merobek baju, dan seruan syaitan. Baginda SAW bersabda. “Sesungguhnya ini adalah kasih sayang, dan sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.“).  Dalam riwayat Mahmud bin Labid disebutkan ‘إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ’ (“Sesungguhnya aku adalah seorang manusia.”) Sementara dalam riwayat ‘Abd al-Razzaq melalui jalur mursal dari Makhul disebutkan: ‘إِنَّمَا أَنْهَى النَّاسَ عَنِ النِّيَاحَةِ أَنْ يُنْدَبَ الرَّجُلُ بِمَا لَيْسَ فِيهِ’ (“Sesungguhnya aku melarang manusia daripada meratapi mayat, supaya seseorang tidak diratapi dan dipuji dengan sesuatu yang tidak ada pada dirinya.”)

Ungkapannya, ‘ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى’, maksudnya adalah: Titisan air mata pertama diikutinya dengan titisan air mata selanjutnya. Namun ada pula yang mengatakan bahawa yang dimaksud adalah: Beliau SAW mengiringi kalimat pertama yang masih bersifat umum, yakni perkataannya, “Sesungguhnya ia adalah rahmat” dengan kalimat terperinci, yakni perkataannya, “Sesungguhnya mata menitiskan air mata”. Pendapat kedua ini didukung oleh riwayat yang telah disebutkan melalui jalur ‘Abd al-Rahman, serta hadis mursal dari Makhul.

Ibn Battal dan ulama selainnya berkata: Hadis ini menjelaskan tentang tangisan dan kesedihan yang dibolehkan, iaitu tangisan dalam bentuk titisan air mata serta kelembutan hati tanpa diiringi perasaan marah terhadap ketentuan Allah SWT. (Lihat Fath al-Bari, 3/174)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”