Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika kita menghadiri majlis atau melihat jenazah non Muslim seperti Yahudi atau lainnya, adakah kita disuruh bangun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)
Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya. Hal ini berdasarkan hadith antaranya seperti yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:
مَرَّ بِنَا جَنَازَةٌ، فَقَامَ لَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقُمْنَا بِهِ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ، قَالَ: «إِذَا رَأَيْتُمُ الجِنَازَةَ، فَقُومُوا».
Maksudnya: Jenazah melintasi berdekatan kami, lalu Rasulullah SAW bangun untuk jenazah itu dan kami juga bangun bersama Baginda, lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah itu jenazah Yahudi.” Baginda bersabda: Apabila engkau melihat jenazah maka bangunlah.
Riwayat al-Bukhari (1311)
Begitu juga sepertimana diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila, katanya: Ketika Sahl bin Hunaif dan Qais bin Sa‘ad sedang duduk di Qadisiyyah, perarakan jenazah melintas di hadapan mereka, lalu mereka berdiri. Mereka diberitahu bahawa jenazah itu penduduk setempat iaitu kafir zimmi. Maka keduanya berkata:
إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جِنَازَةٌ فَقَامَ، فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ، فَقَالَ: «أَلَيْسَتْ نَفْسًا».
Maksudnya: “Sesungguhnya pernah ada jenazah lalu di hadapan Nabi SAW lalu Baginda berdiri, dan ketika diberitahu kepada Baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi, lalu Baginda bersabda: “Bukankah dia juga manusia.”
Riwayat al-Bukhari (1312)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:
Al-Baihaqi menambahkan melalui jalur Abu Qilabah al-Raqqasyi daripada Mu’az bin Fadhalah (guru Imam Bukhari), ‘إِنَّ الْمَوْت فَزَع’ (“Sesungguhnya kematian itu menakutkan.”) Demikian juga yang tercatat dalam riwayat Imam Muslim melalui jalur lain dari Hisyam.
Al-Qurtubi berkata. “Maknanya adalah, sesungguhnya kematian adalah hal yang menakutkan. Hal ini merupakan isyarat akan kedahsyatannya. Maksudnya, hendaklah seseorang tidak terus-menerus berada dalam kelalaian setelah melihat kematian, kerana yang demikian merupakan tanda-tanda meremehkan kematian. Untuk itu, dalam hal ini tidak ada perbezaan apakah yang mati itu muslim atau non-muslim.”
Ulama yang lain berpendapat, bahawa ungkapan “kematian itu menakutkan,” merupakan bentuk mubalaghah (gaya bahasa yang menyatakan sesuatu melebihi dari keadaan sesungguhnya). Maksudnya bahawa kematian itu dapat menimbulkan ketakutan.
Pendapat kedua ini didukung oleh riwayat yang dinukilkan oleh Abu Salamah daripada Abu Hurairah dengan lafaz, ‘إِنَّ لِلْمَوْتِ فَزَعًا’ (Sesungguhnya kematian itu dapat menimbulkan ketakutan). Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah. Begitu juga Ibn Abbas, seperti yang dinukilkan oleh al-Bazzar.
Hadis tersebut mengingatkan kepada orang yang melihat jenazah untuk bersedih dan tidak menunjukkan sikap acuh tidak acuh.
Kata al-Hafiz Ibn Hajar lagi: Kesan dari sebab yang terdapat pada ungkapannya, “Bukankah ia adalah jiwa” menunjukkan disukainya berdiri untuk setiap jenazah yang melewati. Dalam bab ini Imam al-Bukhari cukup menyebutkan “orang Yahudi” berdasarkan lafaz hadis. Para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum persoalan ini. Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa berdiri kerana jenazah tidaklah wajib. Beliau berkata, “Mungkin hukumnya telah dihapus atau Baginda SAW berdiri kerana sebab tertentu, kerana Nabi SAW tidak lagi berdiri apabila ada jenazah melewati setelah sebelumnya Baginda melakukannya. Sementara yang menjadi hujjah adalah apa yang Baginda lakukan paling akhir. Namun, duduk ketika jenazah melewati lebih aku sukai.”
Imam al-Nawawi berkata: “Adapun pendapat paling tepat adalah pendapat yang menyatakan bahawa berdiri kerana jenazah hukumnya mustahab (disukai). Inilah yang menjadi pendapat al-Mutawalli.” Akan tetapi penulis kitab al-Muhazzab menyatakan bolehnya seseorang untuk memilih antara berdiri atau tetap duduk. Seakan-akan beliau mengambil pendapat seperti itu dari perkataan Imam al-Syafi’i dalam mazhabnya yang lama. Namun “tetap duduk” menurut beliau adalah lebih utama. (Lihat Fath al-Bari, 4/366)
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”