Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana susunan saf ketika melakukan solat jenazah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat jenazah merupakan fardhu kifayah ke atas kaum Muslimin untuk menunaikannya. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Pensyariatan solat Jenazah adalah berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)
Cara solat Jenazah adalah seperti berikut:
Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah. Cara berniat ialah ingat dalam fikiran, bersolat jenazah, empat takbir, fardhu kifayah.
Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian bacalah fatihah.
Ketiga: Setelah selesai membaca al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga, kemudian meletakannya semula ke dada, dan bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.
Keempat: Bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat Jenazah. Sekurang-kurang doa ialah mengucapkan:
اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه
Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah dia. (Atau) Ya Allah! Ampunilah dia.”
Doa yang paling sempurna ialah doa yang berasaskan daripada Nabi SAW. Mulakan doa ini dengan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الإِسْلاَمِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الإِيمَانِ
Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah kami yang masih hidup dan yang telah mati, yang bersama-sama kami dan yang tiada bersama-sama kami, yang muda dan yang tua, dan yang lelaki dan yang perempuan. Ya Allah! Sesiapa di kalangan kami yang Engkau teruskan hidupnya, hidupkanlah dia beragama Islam dan sesiapa yang Engkau matikan, matikanlah dia di dalam iman.”
Riwayat al-Tirmizi (1024) dan Abu Daud (3201)
Bagi mayat kanak-kanak, doa yang kedua tersebut diganti dengan doa berikut:
اللّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطاً لِأَبَوَيهِ وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبـَارًا وَشَفِيعًا، وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِينَهُمَا وَأَفْرِغْ الصَّبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا وَلاَ تَفْتِنْهُمَا بَعْدَهُ وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah dia sebagai laba bagi ibu bapa kandungnya, sebagai pinjaman, sebagai simpanan, pengajaran, iktibar dan pemberi syafaat kepada mereka. Berikanlah timbangan amal mereka kerananya dan limpahkanlah kesabaran ke dalam hati mereka. Jangan menimbulkan fitnah kepada mereka selepas kematiannya dan jangan hilang pahalanya daripada dinikmati oleh mereka.”
Hadith yang paling sahih dalam bab doa ini ialah, daripada Auf bin Malik RA, katanya: “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut.”
Riwayat Muslim (963)
Kelima: Bertakbir kali keempat, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”
Riwayat Abu Daud (3201)
Keenam: Mengucap salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.
Daripada keterangan yang telah disebutkan, jelas bahawa solat jenazah hanya dengan berdiri tanpa ruku’, sujud dan duduk. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/603)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى عَلَى النَّجَاشِيِّ، فَكُنْتُ فِي الصَّفِّ الثَّانِي أَوِ الثَّالِثِ.
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat jenazah ke atas al-Najasyi dan aku berada pada saf kedua atau ketiga.”
Riwayat al-Bukhari (1317)
Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam (3/195) menyatakan, disunatkan dalam solat jenazah secara berjemaah untuk tidak kurang daripada tiga saf, meskipun makmumnya hanya enam orang. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ibn Battah daripada Abu Umamah bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؛ شَهِدَ جِنَازَةً وَهُوَ سَابِعُ سَبْعَةٍ، فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَصِفُوا ثَلَاثَةَ صُفُوفٍ خَلْفَهُ، فَصَفِّ ثَلَاثَةً وَاثْنَانِ وَوَاحِدٌ خَلْفَ الصَّفِّ، فَصَلَّى عَلَى الْمَيِّتِ، ثُمَّ انْصَرَفَ
Maksudnya: “Nabi SAW menghadiri (menziarahi) jenazah dan Baginda ialah orang yang ketujuh daripada tujuh orang. Lalu Baginda memerintahkan mereka untuk menyusun tiga saf di belakangnya. Jadilah, tiga, dua dan satu orang berbaris di belakang saf. Setelah itu, Baginda mendirikan solat jenazah untuk mayat itu. Kemudian, Baginda pun beredar.”
Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ ثَلاَثَةُ صُفُوفٍ، فَقَدْ أَوْجَبَ
Maksudnya: “Sesiapa yang disolatkan oleh orang ramai sebanyak tiga saf, maka wajib baginya syurga.”
Riwayat Abu Daud (3166); al-Tirmizi (1028); Ibn Majah (1490) dan Ahmad (16724) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Al-Qastalani dan lain-lain menjelaskan bahawa ketiga-tiga saf itu adalah sama dari sudut kelebihan/kebaikan, dan dia tidak menganggap saf yang pertama lebih baik dalam memelihara maksud syarak daripada tiga saf. Semakin banyak bilangan yang hadir (untuk mensolatkannya) maka ia adalah lebih baik. Ini adalah berdasarkan hadith dalam Sahih Muslim: “Tiada ada seorang pun yang meninggal dunia yang baginya sekumpulan orang Islam yang jumlahnya mencapai seratus, menyembahyangkan jenazahnya dan mereka memberi syafaat untuknya melainkan syafaat mereka untuknya itu akan diterima.” Manakala di dalam hadith Ibn Abbas disebutkan, “empat puluh orang.” (Lihat juga Hasyiah al-Raudh al-Murbi‘, 3/79).
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”