#6452: Kebumikan Mayat pada Waktu Malam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah dikebumikan mayat pada waktu malam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”

(Surah Taha: 55)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari telah menyebut dalam kitabnya di bawah bab bertajuk: ‘باب الدَّفْنِ بِاللَّيْلِ’ (Bab : Pengebumian Pada Waktu Malam):

وَدُفِنَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ لَيْلاً.

Maksudnya: “Abu Bakar R.A dikebumikan pada waktu malam.”

Seterusnya, beliau mengemukakan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَجُلٍ بَعْدَ مَا دُفِنَ بِلَيْلَةٍ قَامَ هُوَ وَأَصْحَابُهُ، وَكَانَ سَأَلَ عَنْهُ فَقَالَ‏: «مَنْ هَذَا؟»‏‏ ‏فَقَالُوا فُلاَنٌ، دُفِنَ الْبَارِحَةَ‏.‏ فَصَلَّوْا عَلَيْهِ‏.‏

Maksudnya: “Nabi SAW menunaikan solat jenazah ke atas seorang lelaki pada suatu malam setelah dia dikebumikan, Baginda dan para sahabat Baginda berdiri (untuk solat). Baginda telah bertanya tentangnya kepada para sahabat: “Siapakah ini?” Mereka menjawab: “Si fulan, yang telah dikebumikan semalam.”  Maka mereka mendirikan solat ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (1340)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Imam al-Bukhari menjadikan tajuk bab ini [‘باب الدَّفْنِ بِاللَّيْلِ’ (Bab : Pengebumian Pada Waktu Malam)] sebagai bantahan terhadap mereka yang tidak membolehkan perbuatan itu berdasarkan hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَجَرَ أَنْ يُقْبَرَ الرَّجُلُ لَيْلًا إِلَّا أَن يضْطَر إِلَى ذَلِك

(Sesungguhnya Nabi SAW mencegah seseorang dikuburkan pada malam hari, kecuali terpaksa).

Imam Muslim menjelaskan dalam kitab Sahih-nya sebab larangan tersebut:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ يَوْمًا فَذَكَرَ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِهِ قُبِضَ وَكُفِّنَ فِي كَفَنٍ غَيْرِ طَائِلٍ وَقُبِرَ لَيْلًا فَزَجَرَ أَنْ يُقْبَرَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهِ إِلَّا أَنْ يُضْطَرَّ إِنْسَانٌ إِلَى ذَلِكَ وَقَالَ إِذَا وَلِيَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيُحْسِنْ كَفَنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW pada suatu hari berkhutbah, Baginda menyebut tentang seorang lelaki di antara sahabatnya yang meninggal dan dikafankan dengan kain yang tidak dapat menutupi seluruh badannya lalu dikuburkan pada malam hari. Maka Baginda mencegah seseorang dikuburkan pada malam hari hingga ia mensolatkannya, kecuali jika seseorang terpaksa melakukan hal itu. Baginda bersabda, “Apabila salah seorang di antara kamu mengerjakan urusan saudaranya, hendaklah dia memperbaiki kafannya.”

Riwayat ini menerangkan bahawa larangan tersebut disebabkan untuk memperbaiki kain kafan. Adapun perkataannya, “Hingga dia mensolatkannya”, maksudnya adalah Nabi SAW. Ini adalah sebab lain, yakni jika diakhirkannya penguburan hingga pagi hari bertujuan agar dapat disolatkan oleh orang yang diharapkan berkatnya, maka dibolehkan untuk menunda penguburan. Adapun jika tidak, maka tidak perlu ditunda. Demikianlah menurut al-Tahawi.

Untuk menunjukkan bolehnya hal itu, Imam al-Bukhari berdalil dengan hadis Ibn Abbas yang telah disebutkan. Nabi SAW tidak mengingkari perbuatan mereka yang menguburkan seseorang di malam hari, tapi Baginda SAW mengingkari sikap mereka yang tidak memberitahu kematian orang itu kepadanya. Pendapat ini dikuatkan oleh perbuatan sahabat terhadap Abu Bakar. Seolah-olah bolehnya menguburkan jenazah di malam hari merupakan hal yang disepakati ulama. (Lihat Fath al-Bari, 3/207)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”