Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Maaf bertanya, memang tiada jawapan ke untuk soalan berkaitan aurat ayah yang uzur dengan anak perempuan kandung. Adakah ada rukhsah untuk anak perempuan tukarkan pampers dan mandikan ayah yang uzur jika isteri/ibu tidak sihat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23)
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”
(Surah al-Isra’: 23)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)
Kami takrifkan terlebih dahulu makna aurat.
Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)
Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)
Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)
Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Nur: 31)
Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar R.A:
يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا
Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”
Riwayat Abu Dawud (4104) dan al-Baihaqi (3218)
Allah SWT turut berfirman:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
(Surah al-A’raf: 26)
Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini berkata: (Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan pakaian ke atas kamu) iaitu: Kami telah menciptakan pakaian untuk kamu. Ada juga yang mengatakan: Sebenarnya disebut “menurunkan” kerana pakaian hanya boleh diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di bumi, dan tumbuh-tumbuhan ini tumbuh kerana hujan yang diturunkan dari langit. Jadi, makna ayat ini: Kami telah menurunkan sebab-sebab yang membolehkan kamu mendapatkan pakaian. Ada juga yang mengatakan: Segala keberkatan di bumi berkait rapat dengan keberkatan dari langit, sebagaimana firman Allah: “Dan Kami telah menurunkan besi” (Surah al-Hadid: 25), dan besi juga diperolehi daripada bumi. Sebab turunnya ayat ini adalah kerana pada zaman jahiliyah, mereka melakukan tawaf di sekitar Kaabah dalam keadaan telanjang, sambil berkata: Kami tidak akan melakukan tawaf dengan memakai pakaian yang pernah kami bermaksiat kepada Allah di dalamnya. Maka lelaki melakukan tawaf pada siang hari sambil telanjang, dan wanita pada waktu malam sambil telanjang. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/221)
Batasan Aurat Sesama Mahram Lelaki dan Perempuan
Secara asasnya, ulama mazhab Syafi’ie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189)
Meskipun dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat dan lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Terdapat pengecualian yang telah ditetapkan oleh para ulama yang seseorang itu boleh mendedahkan auratnya di hadapan kanak-kanak yang belum mumayyiz, sepertimana yang dinyatakan oleh syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori: “Adapun bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz keberadaan mereka seumpama tiada, maka diharuskan mendedahkan aurat dihadapannya.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarah Raudhu al-Tolib, 3/111)
Al-Lajnah al-Daimah dalam menjawab persoalan ini menjawab: “Apa yang dibenarkan untuk diperlihatkan kepada anak-anak lelaki (bagi ibu) adalah yang telah menjadi kebiasaan untuk diperlihatkan, seperti wajah, tangan, lengan, dan kaki, dan sebagainya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/297)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan batasan aurat sesama mahram adalah antara pusat dan lutut bagi lelaki dan perempuan. Meskipun begitu, seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya terdapatnya keperluan yang mendesak, maka dibolehkan untuk anak perempuan memandikan ayahnya yang uzur (tidak mampu uruskan dirinya sendiri) dengan syarat hanya dia sahaja yang ada dan sentuhan itu tidaklah secara kulit ke kulit. Ertinya ia perlu menggunakan kain atau sarung tangan. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً
Maksudnya: Sesuatu yang bersifat keperluan (hajat) mengambil hukum darurat sama ada umum atau khusus. (Lihat al-Asybah wa al-Nadzair, 1/88)
Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan tujuan syarak untuk mengangkat kesulitan dan menghilangkan kemudharatan daripada umat Islam. Hal ini dengan cara memberi ruang untuk menempatkan sesuatu al-hajah pada tempat al-dharurah.
Akan tetapi, sekiranya ada anak lelaki atau ahli keluarga lelaki yang lain yang boleh menguruskan bagi keadaan sedemikian, maka mereka adalah yang lebih utama.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”