#6456: Produk Lain dari Syarikat yang Mengeluarkan Produk yang Mengandungi Benda Haram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada menjumpai satu jenama kosmetik mengeluarkan satu produk yang mengandungi rice ferment filtrate (sake). Oleh itu, adakah disebabkan satu produk mengandungi benda haram lalu menjadikan semua produk kosmetik dari jenama tersebut yang hanya mengandungi benda halal juga dikira sebagai haram? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: ”Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-‘A’raf: 31)

Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/405)

Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256).

Kami mulakan jawapan ini dengan beberapa noktah:

Pertamanya, berkenaan produk kosmetik yang mengandungi rice ferment filtrate (sake) sebenarnya kami telah menjawabnya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3143: Produk Kosmetik yang Mengandungi Galactomyces.[1]

Kami nukilkan di sini sebahagian daripada kesimpulannya sebagaimana berikut:

  • Kami berpendapat bahawa produk kosmetik yang mengandungi galactomyces adalah suci dengan syarat ia tidak mengandungi bahan-bahan lain yang bernajis. Ini kerana galactomyces itu sendiri dihukumkan sebagai suci.
  • Adapun produk kosmetik yang mengandungi Galactomyces Ferment Filtrate hendaklah dilihat. Jika ia terhasil melalui proses pembuatan arak seperti penapaian sake, maka ia adalah haram dan dihukumkan sebagai najis. Manakala jika ia bukan melalui proses pembuatan arak sebaliknya melalui proses yang berbeza sama sekali dengan proses pembuatan arak maka hukumnya kekal sebagai suci sebagaimana hukum asalnya selagi mana ia tidak bercampur dengan bahan-bahan bernajis.

Keduanya, dalam menjawab soalan yang diajukan, firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Termasuklah dalam perhiasan itu alat-alat kosmetik seperti produk kecantikan, alat-alat solek dan lain-lain, semuanya adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Seterusnya, dalam menentukan suatu produk itu halal atau haram untuk digunakan adalah kandungannya (ingredients), serta cara penghasilannya. Sekiranya dalam kandungannya tidak mengandungi apa-apa bahan yang haram dan berbahaya, serta pembuatannya juga tidak melibatkan proses seperti mana proses penghasilan arak, maka tidak syak lagi bahawa ia adalah halal dan harus untuk digunakan sebagaimana hukum asalnya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa produk kosmetik yang hanya mengandungi benda-benda baik lagi halal, tidak mengandungi benda-benda yang haram atau najis dan tidak memudaratkan, serta tidak melibatkan proses pembuatan arak adalah halal dan harus untuk digunakan sebagaimana hukum asalnya, sekalipun terdapat dari jenama yang sama produk-produk lain yang tidak boleh digunakan kerana mengandungi najis seperti sake.

Hal ini kerana dalam menentukan status suatu produk itu sama ada ia halal atau haram adalah berdasarkan kepada kandungan (ingredients) dan proses pembuatannya. Sekiranya jelas dari kandungannya tidak mengandungi benda-benda yang diharamkan serta ia juga tidak melalui proses sebagaimana proses pembuatan arak, maka tidak syak lagi bahawa hukumnya kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan dan suci seperti mana kaedah yang kami telah sebutkan di atas.

Akan tetapi jika timbul keraguan terhadap produk tersebut sama ada dari segi kepatuhan syariahnya mahupun kehalalannya, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/3143-produk-kosmetik-yang-mengandungi-galactomyces/. Diakses pada 18 Julai 2024.