#6466: Bersedekah Dalam Aplikasi Tiktok

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah pemberian hadiah di tiktok itu dianggap sedekah jika kita niatkan ia untuk sedekah?Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran bagi pelakunya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT (كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ), maksudnya seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama’. Rabwah bermaksud tanah tinggi. Ibn Abbas dan al-Dahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/328)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak akan rugi sesiapa yang membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT bahkan Allah akan menggantikannya dengan lebih baik lagi. Allah SWT berfirman:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba’: 39)

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)

Berkaitan dengan isu ini, sedekah ini boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada sumbangan tenanga mahupun harta. Begitu juga dalam aplikasi Tiktok, pemberian gift dalam aplikasi tersebut sekiranya diniat sebagai pemberian sedekah maka ia adalah dikira sebagai sumbangan sedekah. Ini kerana sedekah itu menurut pengertiannya adalah suatu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT.

Disebutkan dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab  (15/370) dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (26/323) bahawa:  sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sebagai kesimpulannya setiap sumbangan yang diberikan dengan niat kerana Allah SWT dianggap sebagai sedekah dan ia boleh disebarkan dalam berbagai bentuk, sama ada di TikTok atau platform lain. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menasihati agar selalu mensyukuri nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan menunjukkan rasa syukur tersebut melalui sedekah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam