Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan umat Nabi Muhammad SAW sebagai sebaik-baik umat, sedangkan banyak keburukan yang kita nampak mutakhir ini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebelum menjawab persoalan yang diutarakan ini, kami terpanggil untuk menjawab satu syubhah yang ditimbulkan oleh sebahagian musuh Islam yang cuba menyelewengkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah Ali ‘Imran: 110)
Penyelewengan yang ditimbulkan adalah, penggunaan (كُنتُمْ) di atas binaan fi‘il madhi atau kata kerja yang merujuk kepada perkara yang telah berlaku. Mereka mendakwa, ayat ini mengatakan dahulu umat Islam pernah menjadi sebaik-baik umat, tetapi sekarang tidak lagi seperti itu kerana banyaknya keburukan yang dilakukan oleh sebahagian mereka yang menisbahkan diri kepada Islam.
Dalam menolak penyelewengan ini, Imam al-Suyuti mengatakan bahawa (كَانَ) ini pada asalnya bermaksud perkara yang telah lalu dan pergi, sebagaimana dalam firman-Nya:
كَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ كَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنكُمْ قُوَّةًۭ وَأَكْثَرَ أَمْوَٰلًۭا وَأَوْلَـٰدًۭا فَٱسْتَمْتَعُوا۟ بِخَلَـٰقِهِمْ فَٱسْتَمْتَعْتُم بِخَلَـٰقِكُمْ كَمَا ٱسْتَمْتَعَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُم بِخَلَـٰقِهِمْ وَخُضْتُمْ كَٱلَّذِى خَاضُوٓا۟ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
Maksudnya: “(Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan), mereka dahulu lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.”
(Surah al-Taubah: 69)
Ia juga terkadang datang dengan maksud kekal dan masih berlaku, sepertimana dalam firman-Nya:
وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 96)
Yakni, Allah SWT masih dan akan terus sampai bila-bila yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Kemudian, al-Suyuti menukilkan pula kalam Imam al-Razi bahawa (كَانَ) ini disebutkan dalam al-Quran dengan 5 konteks yang berbeza. Terkadang ia bermaksud sesuatu yang memang sudah berlaku sejak azali dan akan kekal selama-lamanya seperti sifat-sifat Allah SWT. Begitu juga terkadang bermaksud perkara yang telah lalu dan telah pergi. Ia juga bererti ‘sekarang,’ seperti dalam ayat 110 dari Surah Ali ‘Imran dan ayat 103 dari Surah al-Nisa’. (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 2/256)
Maka jelaslah di sini, yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,” ia merujuk kepada konteks ‘sekarang.’ Bererti, benarlah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah umat Islam sejak dari zaman diutuskan Rasulullah SAW sehingga sekarang.
Menjawab pula persoalan saudara tentang hal sesetengah masyarakat Islam kini yang tidak lagi menunjukkan akhlak yang baik, kita perlu fahami bahawa ayat ini tidak turun secara mutlak dengan mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang dinisbahkan kepada Islam adalah sebaik-baik umat. Sebaliknya, ia diikat dengan sifat-sifat khusus, sesuai dengan akhlak dan etika yang dibawakan oleh Islam. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah al-Rajihi berkata, sifat “sebaik-baik umat” ini diikat dengan sifat yang Allah SWT sebutkan, iaitu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Dengan memenuhi sifat-sifat di atas, barulah mereka itu menjadi sebaik-baik umat. Adapun mendahulukan amar ma‘ruf dan nahi munkar berbanding keimanan kepada Allah SWT ini hanya semata-mata untuk menunjukkan betapa besarnya peranan serta kepentingan amar ma‘ruf dan nahi munkar ini. Jika tidak, keimanan itu pasti akan didahulukan kerana ia merupakan prinsip dasar agama dan asas kepercayaan. Sesiapa sahaja yang memenuhi segala sifat tersebut, maka dia tergolong dalam kalangan mereka yang disifatkan dengan sebaik-baik umat ini. (Lihat Syarh al-Wasiyyah al-Kubra, 1/21)
Selepas memahami dengan baik ayat ini, barulah kita sedar bahawa Islam ini pada hakikatnya datang untuk melepaskan seseorang itu belenggu Jahiliyyah kepada keimanan yang dapat mengembalikan manfaat kepada umat manusia, sama ada dalam mengajak ke arah kebaikan atau mencegah perkara-perkara mungkar. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, beliau mengatakan berkenaan ayat 110 dari Surah Ali ‘Imran ini:
خَيْرَ النَّاسِ لِلنَّاسِ يَأْتُونَ بِهِمْ فِي السَّلاَسِلِ فِي أَعْنَاقِهِمْ حَتَّى يَدْخُلُوا فِي الإِسْلاَمِ
Maksudnya: “Yakni manusia yang terbaik (yang dilahirkan) untuk manfaat manusia, kalian datang dalam keadaan tangan terbelenggu di tengkuk mereka, sehingga mereka masuk dalam agama Islam.”
Riwayat al-Bukhari (4557)
Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara. Semoga kita semua diberikan kefahaman yang benar dalam mendalami takwilan ayat-ayat suci al-Quran. Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”
Wallahu a‘lam