#6468: Cara Cuci Pakaian yang Terkena Air Mani

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara untuk mencuci pakaian yang terkena air mani? Adakah dibolehkan mencampurkan pakaian tersebut ke dalam mesin basuh bersama pakaian lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُم مَّا تُمْنُونَ (58) أَأَنتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ (59)

Maksudnya:  “(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?”

(Surah al-Waqi’ah: 58-59)

Ibn Kathir menyebut: “Maksud ayat itu, “Apakah kamu yang menetapkan air mani itu di dalam rahim, dan mencipta anak di dalamnya, atau Kamilah yang menjadi Penciptanya?” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/223)

Air mani manusia dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci  merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad yakni dalam mazhab Hanbali.

Kesucian air mani itu adalah berdasarkan hadith yang menceritakan mengenai cara membersihkannya dengan cara menggosoknya. Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya yang perlu dibasuh dengan air.

Adapun perkataan Aisyah R.Anha “إِنَّمَا كان يُجْزِئُكَ” yakni sekalipun secara zahirnya menunjukkan kepada wajib. Namun, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang digalakkan (sunat) kerana beliau sendiri (yakni Aisyah R.Anha) berhujah dengan perkataan al-Fark (yakni membersihkan air mani itu dengan cara menggosoknya). Kalaulah membasuh air mani itu adalah wajib, maka sudah tentu perkataannya itu merupakan hujah ke atasnya dan bukannya hujah bagi pihaknya. Sebenarnya Aisyah R.Anha ingin mengingkari perbuatan lelaki itu yang membasuh keseluruhan pakaiannya. Justeru, beliau menyebutkan bahawa membasuh keseluruhan pakaian yang terkena air mani itu  adalah bid’ah yang tercela, sebaliknya cukup bagi engkau untuk mendapatkan yang afdhal dan sempurna begini dan begini. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/554).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan air mani hukumnya suci, namun ia dikira kotor. Maka, cara basuhannya cukup dengan mencucinya dengan air dan hukumnya sunat. Justeru, sebaiknya sebelum meletakkan pakaian yang terkena air mani itu di dalam mesin basuh, cucilah dahulu di singki kerana kita tidak dapat pasti sama ada air yang terkena di pakaian itu air mani atau terkeluarnya juga air mazi. Ini kerana air mazi hukumnya najis dan wajib dibasuh. Maka, cara yang terbaik adalah dengan membasuh bahagian yang terkena itu dengan air sebelum memasukkan ke dalam mesin basuh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”