#6471:  Kewajipan Memulangkan Kembali Hutang Kepada Non Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya ada berhutang dengan murid bukan islam semasa saya bertugas sebagai guru. Saya tidak dapat mencari murid tersebut. Apa yang perlu saya lakukan. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

 (Surah Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Al-Sa’di menyatakan : Allah melarang hamba-hamba yang  beriman memakan harta sesama mereka secara zalim. Memakan harta secara batil iaitu memakan harta itu dengan cara penindasan dan pencurian, serta mengambilnya melalui perjudian dan keuntungan yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan,hlm. 175)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit. Aisyah R.Anha meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya: “Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, Allah akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat”.

Riwayat Muslim (1610)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi seseorang yang berhutang untuk memulangkan kembali hutang tersebut kepada pemiliknya. Ini kerana tidak halal dia mengambil harta tersebut tanpa hak walaupun ia dari pemilikan bukan islam. Rasulullah SAW  bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.”

Riwayat Muslim (3179)

Dapat difahami juga melalui hadith ini bahawa  melindungi harta seseorang adalah suatu kewajipan. Ini mengajarkan kepada umat Islam untuk menghormati hak milik individu walaupun bukan islam, dengan tidak mencuri, menipu, atau merampas harta seseorang dengan cara yang batil.

Disebutkan dalam Tafsir al-Uthaimin (2/466) bahawa: jika seseorang mengambil harta seorang zimmi, mu’ahid, atau musta’min tanpa hak, maka dia telah memakan harta orang secara batil; kerana ketiga-tiga mereka ini adalah dilindungi. Oleh itu, harta mereka hendaklah dihormati, begitu juga jiwa mereka.

Dalam isu ini al-Dusuki Menyebutkan : dikatakan bahawa tidak ada halangan untuk memasukkan harta orang kafir ke dalam Baitulmal. Tidakkah kamu melihat bahawa jika seorang kafir Mua‘had meninggal dunia di sisi kita dan tidak ada warisnya, maka hartanya dimasukkan ke dalam Baitulmal. (Lihat al-Syarh al-Kabir wa Hasyiah al-Dusuki, 4/125)

Justeru berkaitan dengan isu ini, kami katakan hendaklah saudara berusaha mencari pemilik atau ahli waris untuk mengembalikan pinjaman tersebut. Dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi masa kini, kami mencadangkan agar saudara menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya untuk mencari mereka. Namun, jika saudara tidak dapat menemui mereka, saudara boleh menggunakan wang tersebut untuk kepentingan umum atau boleh juga diserahkan kepada Baitulmal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua‘lam