#6477: Memakai Produk “Anti Aging” (Anti Penuaan)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum memakai produk ‘anti-aging’ untuk menghilangkan, mengurangkan dan menghalang kedutan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian  yakni halal dan harus,  selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Berbalik kepada isu di atas, kami katakan setiap insan pasti mempunyai keinginan untuk mempunyai kulit yang sentiasa kelihatan muda dan menawan. Namun, sejauh mana keinginan tersebut dapat direalisasikan? Selain daripada menjaga pemakanan dan melakukan senaman, produk anti-penuaan turut menjadi pilihan bagi sesetengah individu untuk memelihara kulit daripada kesan penuaan.

Kandungan Dalam Produk Anti Penuaan

Terdapat pelbagai jenis formulasi produk anti penuaan yang boleh ditemui di pasaran. Berikut adalah bahan-bahan yang biasa ditemui dalam produk sedemikian:

  1. Antioksida.
  2. Vitamin (Vitamin A, B, C dan E)
  3. Alpha Hydroxy Acids (AHA)
  4. Bahan Pelembab
  5. Pentapeptides
  6. Bahan daripada sumber tumbuhan.[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum memakai produk anti aging adalah harus selama mana bahan yang digunakan itu tidak menyebabkan mudharat serta bukan dari sumber yang haram misalnya khinzir atau seumpamanya. Ia kembali kepada hukum asal yakni harus sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga jika suatu produk kosmetik itu mengandungi bahan-bahan bernajis tetapi tidak memudaratkan penggunanya, maka ia haram untuk digunakan sebagai kegunaan dalaman (untuk makan dan minum). Akan tetapi jika untuk kegunaan luaran  seperti krim untuk sapuan luaran, maka kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakannya, dengan syarat selepas itu ia dibasuh dengan air bersih. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/384-385; Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, 1/278)

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihatkan agar menyemak terlebih dahulu produk kosmetik yang ingin digunakan sama ada produk itu berdaftar atau tidak. Ini kerana produk yang berdaftar lebih terjamin dari segi keselamatan dan tidak membahayakan kesihatan. Apatah lagi dikhuatiri produk yang tidak berdaftar mengandungi bahan-bahan yang boleh membahayakan kesihatan jika diambil tanpa pengawasan. Bagi membuat semakan bagi produk tersebut, bolehlah melayari laman web BPFK di www.bpfk.gov.my dan menyemak sama ada produk itu berdaftar melalui enjin carian ‘Product Search’.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

Nota Hujung:

[1] Lihat http://myhealth.moh.gov.my/produk-anti-penuaan/

Diakses pada 22.7.2024.