#6482:  Status ‘Iddah Wanita Hamil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah status  ‘iddah isteri yang diceraikan ketika hamil dan telah melahirkan anak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Iddah dari sudut bahasa diambil daripada al-Adad, iaitu bilangan untuk disempurnakannya dari sudut penyucian ataupun bilangan bulan.

Dari sudut bahasa pula, nama bagi tempoh yang tertentu yang dilakukan oleh perempuan sebagai pengabdian kepada Allah SWT, ataupun berduka atas pemergian suami, ataupun sebagai penyucian rahim daripada benih suami. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/157).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tempoh ‘iddah bagi wanita yang diceraikan semasa hamil berbeza dengan tempoh ‘iddah bagi wanita yang tidak hamil atau kematian suami. Tempoh ‘iddah bagi mereka telah ditetapkan oleh syara’, iaitu 3 kali suci bagi wanita yang tidak hamil dan 4 bulan 10 hari bagi wanita yang kematian suami. Manakala, bagi wanita yang diceraikan semasa hamil, tempoh ‘iddah mereka tidak ditetapkan berdasarkan tempoh yang panjang atau pendek, tetapi ‘iddahnya berakhir sebaik sahaja melahirkan anak. Firman Allah SWT:

وَأُوْلَٰتُ ٱلْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.”

(Surah at-Talaq: 4)

Fakhr al-Din al-Razi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: tempoh ‘iddah bagi wanita hamil berakhir dengan kelahiran anak dalam semua keadaan. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/563)

Ibn Qudamah menyatakan: Para ulama telah sepakat dalam semua zaman bahawa tempoh ‘iddah bagi wanita hamil yang diceraikan berakhir dengan kelahiran anak. (Lihat al-Mughni, 11/228)

Begitu juga al-Khatib al-Syarbini menyatakan: Jika dia hamil, maka tempoh ‘iddahnya adalah dengan kelahiran anak tersebut, iaitu selepas berpisah sepenuhnya, termasuklah jika melahirkan anak kembar sekalipun, walaupun selepas kematian. (Lihat al-Iqna’ 2/465)

Justeru berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa ulama telah bersepakat tentang ‘iddah bagi wanita yang diceraikan dalam keadaan hamil adalah sehingga dia melahirkan anak. Ini bermakna, walaupun tempoh kehamilan itu panjang atau pendek, ‘iddah tetap berakhir dengan kelahiran anak tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam