#6483: Gigi Berdarah Semasa Berwuduk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Gigi berdarah semasa ambil wuduk? Adakah sah wuduk saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, berkenaan perkara-perkara yang membatalkan wuduk pula ada disebutkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).

Keduanya, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya keluarnya darah dari gigi atau gigi berdarah ketika berwuduk tidak membatalkan wuduk yang diambil mahupun merosakan kesahan wuduk tersebut. Bahkan wuduk yang diambil itu tetap dikira sah. Ini kerana keluarnya darah dari tubuh seseorang (dari laluan selain qubul dan dubur) tidak membatalkan wuduknya, sebaliknya apa yang wajib ke atasnya adalah  membersihkan atau menyucikan tempat yang terkena darah yang keluar dari tubuh tersebut. Ini juga adalah seperti mana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Maliki dan al-Syafi‘i.  (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/386).

Di antara dalilnya adalah hadith yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Imam al-Bukhari menyatakan, disebutkan daripada Jabir R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاعِ فَرُمِيَ رَجُلٌ بِسَهْمٍ، فَنَزَفَهُ الدَّمُ، فَرَكَعَ، وَسَجَدَ وَمَضَى فِي صَلاَتِهِ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW dalam peperangan Zat al-Riqa‘, pernah berlaku seorang lelaki (sahabat Nabi SAW) dipanah musuh ketika beliau sedang solat dan anak panah yang mengenainya itu menyebabkan darah mengalir dengan banyak dari tubuhnya. Akan tetapi beliau tetap rukuk, sujud dan meneruskan solatnya.”

Kemudian, Imam al-Bukhari menukilkan pula daripada al-Hasan yang menjelaskan bahawa orang-orang Islam tetap melaksanakan solat dengan luka-luka yang ada pada tubuh mereka. Begitu juga Tawus, Muhammad bin Ali, ‘Ata’ dan ulama Hijaz berpendapat, tidak perlu berwuduk kerana keluar darah. Selain itu, Ibn Umar pernah memicit jerawatnya  lalu keluar darah, tetapi beliau tidak mengulangi wuduk kerananya. Tambahan lagi, Ibn Abi Aufa juga pernah meludahkan darah, namun beliau terus menyempurnakan solatnya. Begitu juga Ibn Umar dan al-Hasan berkata mengenai orang yang berbekam: “Tidak perlu dia melakukan apa-apa selain membasuh tempat-tempat yang dibekam itu.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/76).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa gigi berdarah ketika berwuduk tidak membatalkan wuduk yang diambil mahupun merosakan kesahan wuduk tersebut. Bahkan wuduknya yang diambil itu tetap dikira sah. Ini kerana sekalipun darah dihukumkan sebagai najis, ia tidak memberi kesan terhadap kesahan wuduk seseorang mahupun membatalkan kesahannya kerana biasanya darah di gigi dalam jumlah yang sangat sedikit (termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana tidak dapat dielakkan) dan ia keluar bukan melalui saluran qubul mahupun dubur.

Namun, jika dia ingin mendirikan solat dan gigi masih lagi berdarah, maka kami mencadangkan untuk banyakkan berkumur-kumur sebelum memulakan solat sehingga darah yang keluar itu berkurangan atau berhenti keluar. Sekiranya ia masih juga keluar (meskipun sedikit), maka kami berpendapat tidak mengapa dan solat yang didirikan dalam keadaan itu tetap dikira sah, dengan syarat darah yang keluar dan berkumpul dalam mulutnya itu tidak ditelan dengan sengaja. Sekiranya darah yang berkumpul itu ditelan dengan sengaja, solatnya adalah terbatal kerana perbuatan makan dan minum termasuk dalam perkara yang membatalkan solat sekiranya dibuat secara sengaja.

Sebagai jalan keluar, kami mencadangkan orang yang mengalami situasi ini, jika dikhuatiri darah yang terkumpul dalam mulutnya akan sedikit banyak sehingga menyukarkannya melakukan rukun qauli, maka dia boleh menyediakan kain, sapu tangan, tisu tebal atau seumpamanya sebelum memulakan solat, kemudian darah yang terkumpul itu boleh diludah ke dalam tisu atau kain berkenaan, kemudian tisu atau kain itu boleh dilipat dan disimpan di dalam poket baju atau seluar. Solat yang didirikan dalam keadaan itu juga dikira sah dan tidak perlu diulangi semula.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”