Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apa perlu dibuat jika kita tidak membayar zakat wang simpanan untuk tahun-tahun yang sebelum? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)
Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”
(Surah al-Baqarah: 267)
Syeikh Abu Bakar al-Jazair menyebutkan bahawa: Allah menyeru mereka di sini dengan gelaran orang-orang yang beriman dan memerintahkan mereka mengeluarkan zakat dari harta yang baik yang mereka perolehi. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/261)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pada asalnya seseorang yang diwajibkan zakat ke atasnnya iaitu dia memiliki harta yang melebihi nisab dan cukup haul hendaklah dia menunaikan zakat dengan segera dan tidak menangguhkan bayaran tersebut. Ini kerana dia telah memenuhi syarat-syarat wajib zakat. Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”
Riwayat Abu Daud (1573)
Ini menunjukkan bahawa jika jumlah nisab berkurang dalam tempoh setahun dan tidak mencapai jumlah yang cukup dari awal hingga akhir tahun, maka zakat tidak diwajibkan ke atasnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud wa Hasyiah ibn Qayyim, 4/313)
Namun dalam isu ini, di mana seseorang itu telah cukup syarat untuk mengeluarkan zakat tetapi tidak mengeluarkannya sehinggalah berlalu tempoh tersebut maka, diwajibkan ke atasnya untuk mengganti dan mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun yang telah lalu. Ini kerana ia dikira sebagai hutang dengan Allah SWT dan tanggungan tersebut tidak terlepas melainkan setelah dilunaskan. Yang demikian adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Hadith ini menekankan bahawa hutang kepada Allah SWT, seperti zakatdan lain-lain, harus diutamakan dan dilangsaikan dengan segera. Ini menunjukkan betapa pentingnya memenuhi kewajipan agama sebelum menyelesaikan urusan duniawi.
Selain itu juga, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Jika telah berlalu beberapa tahun dan dia tidak mengeluarkan zakatnya, dia wajib mengeluarkan zakat untuk keseluruhan tempoh tersebut; sama ada dia tahu kewajipan zakat atau tidak, dan sama ada dia berada di negara Islam atau negara kafir harbi. Ini adalah pendapat mazhab kami. (Lihat al-Majmu, 5/337)
Begitu juga Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam fatwanya menyebutkan: zakat tidak disyaratkan untuk diketahui kewajipannya. Apabila seseorang mukallaf telah memenuhi syarat-syarat wajib yang telah ditetapkan oleh para fuqaha, maka dia wajib mengeluarkannya. Jika dia meninggalkannya selama satu tahun atau beberapa tahun kerana tidak tahu kewajipannya, kemudian dia mengetahui hal tersebut, maka dia wajib mengeluarkannya untuk tahun-tahun yang telah berlalu.[1]
Justeru berdasarkan penerangan di atas, kewajipan mengeluarkan zakat itu diwajibkan ke atas sesiapa yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Oleh yang demikian dalam isu ini, saudara hendaklah mengeluarkan zakat simpanan saudara bagi tahun-tahun yang lalu sebagai qadha’ zakat yang tidak ditunaikan tersebut.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam.
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17848/%D9%85% Diakses pada 22 Julai 2024