#6490: Memegang Daging: Batalkah Wuduk?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah batal wuduk jika memegang daging ayam, lembu, ikan dan sebagainya ketika memasak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa pada asasnya, menyentuh daging tidak membatalkan wuduk. Sebaliknya, kita disunatkan untuk membasuh tangan dan menghilangkan sebarang kesan atau bau yang kurang menyenangkan seperti bau hanyir daging; sebelum bersolat atau melaksanakan apa-apa ibadat.

Perkara-perkara yang membatalkan wuduk di sisi mazhab al-Syafi‘i adalah seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Nawawi Banten al-Jawi adalah seperti berikut:

  1. Keluar sesuatu daripada lubang qubul dan dubur manusia yang masih hidup,
  2. Kehilangan akal kerana pengsan, pitam, gila dan mabuk,
  3. Tidur yang tidak tetap punggungnya,
  4. Menyentuh kemaluan sama ada hadapan dan belakang dengan tapak tangan,
  5. Persentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang dewasa, kecuali yang mahram.

(Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hlm. 26-28)

Menyentuh daging terutamanya daging-daging lembu, kambing atau ayam dan lain-lain haiwan yang boleh dimakan untuk tujuan memasak bukanlah suatu perkara yang membatalkan wuduk, dan daging juga secara asalnya bukanlah suatu benda yang dianggap sebagai najis, kecuali daging anjing dan daging babi, serta bangkai; ketiga-tiganya adalah najis. Menyentuh najis dengan sengaja pula adalah haram dan tidak dibolehkan. Para ulama menegaskan bahawa:

إِنَّ التَّضَمُّخَ بِالنَّجَاسَةِ إنَّمَا يَحْرُمُ حَيْثُ كَانَ عَبَثًا

Maksudnya: “Bergelumang dengan najis adalah haram apabila dilakukan dengan sia-sia (tanpa sebarang keperluan mendesak).” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 1/174)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.