#6493: Kekerapan Hubungan Suami Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada satu soalan. Mengikut syarak, berapakah kekerapan untuk bersama (bersetubuh) suami isteri? Adakah jumlah yang ditetapkan mengikut syarak (yang wajib/sunnah) atau mengikut keredhaan suami isteri? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

وَمِنۡ ءَایَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا لِّتَسۡكُنُوۤا۟ إِلَیۡهَا وَجَعَلَ بَیۡنَكُم مَّوَدَّةࣰ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan antara tanda keagungan-Nya adalah Dia telah menciptakan kalian semua secara berpasang-pasangan daripada jenis kalangan kalian supaya kalian boleh hidup tenang bersama mereka, dan Dia menjadikan cinta dan kasih-sayang dalam kalian kalian. Sesungguhnya pada itu terdapat tanda kebesaran (Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Baidhawi menafsirkan ayat di atas: “Dikatakan oleh sebahagian mufassirin bahawa kalimat mawaddah adalah kiasan kepada hubungan suami isteri, manakala rahmah adalah simbolik kepada anak yang (dilahirkan).” (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 4/204)

Begitu juga Abu Zar al-Ghifari R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ، أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَها فِي الْحَلَالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Dan pada kemaluan kalian terdapat sedekah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah jika kami menyalurkan syahwat pun, kami akan mendapat pahala?” Baginda bersabda: “Bukankah jika kalian menyalurkan syahwat pada yang haram, kalian akan mendapat dosa. Maka begitu juga jika kalian menyalurkannya pada yang halal, pasti kalian akan mendapat ganjaran pahala.”

Riwayat Muslim (1006)

Imam Ibn Raslan mensyarahkan hadith di atas menyatakan, di dalam hadith Muslim: (Dalam pada kemaluan kalian ada sedekah) iaitu dalam perbuatan menyetubuhi isteri dengan niat memelihara dirinya adalah sebuah sedekah kepada dirinya. Perkataan al-budh‘u “الْبُضْعُ” di sini membawa maksud faraj dan kemaluan si isteri yang dimiliki oleh si suami.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 19/619)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, berhubung dengan kekerapan melaksanakan hubungan suami isteri, perkara ini tidak ditetapkan oleh syarak mahupun dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah secara khusus. Maka, ia dikembalikan kepada faktor ‘uruf (adat kebiasaan) yang berlegar dalam kalangan sesebuah masyarakat.

Umumnya, para ulama mencadangkan berdasarkan pernyataan dan syor para pakar perubatan dan kesihatan rumahtangga. Begitulah yang dipamerkan di dalam kitab-kitab ulama. Waktu paling baik untuk bersetubuh adalah ketika mana-mana pihak (suami isteri) terdorong dan terangsang untuk menuju ke arahnya disertai kerelaan kedua-dua pihak. Kekerapan paling minimum untuk bersetubuh adalah seminggu sekali iaitu pada setiap hari Jumaat.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Sebahagian doktor menyatakan, masa yang paling bermanfaat untuk melaksanakan persetubuhan adalah apabila setiap kali pasangan terangsang; namun bukan kerana sengaja memikirkan atau membayangkannya. Ya, ada hadith sahih bahawa Nabi memerintahkan seseorang yang melihat wanita dan merasa tertarik kepadanya untuk segera pulang kepada isterinya dan melakukan jimak dengan isterinya itu dengan alasan bahawa apa yang ada pada isterinya adalah sama seperti yang ada pada wanita tersebut. Dan melakukannya pada hari Jumaat sebelum pergi menunaikan solat Jumaat, atau pada malamnya, serta tidak meninggalkan hubungan intimasi setiap kali baru sahaja pulang dari perjalanan yang jauh.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/217)

Selain itu, ulama juga mencadangkan kekerapan satu kali pada setiap empat hari dan tidak meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran dan alasan yang mendesak. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani bahawa (sebahagian doktor mencadangkan) agar melakukan mukadimah jimak (foreplay) untuk melembutkan hati dan menyelesakan pasangan sebelum bersetubuh; dan tidak meninggalkan kekerapan persetubuhan setiap 4 hari sekali tanpa sebarang keuzuran. (Lihat Hasyiah al-Syarwani  ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 7/217)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa tiada sebarang penentuan tentang kekerapan untuk melakukan hubungan suami isteri di sisi syarak. Ia bergantung kepada ‘uruf (amalan kebiasaan) yang dipengaruhi faktor bangsa atau kebiasaan pasangan suami isteri yang saling berbeza. Masing-masing mempunyai keperluan dan tabiat yang berbeza. Maka, perkara haruslah dikembalikan kepada keredhaan dan kerelaan masing-masing dalam mengendalikannya.

Seharusnya, setiap dalam kalangan kita mengenali tabiat dan keperluan pasangan masing-masing dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhinya. Demikian itu adalah ibadah yang agung ganjarannya di sisi Allah SWT.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَ ٰ⁠تِ ٱلشَّیَـٰطِینِ ۝٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن یَحۡضُرُونِ

Maksudnya: “Dan katakanlah: Wahai Tuhan! Aku berlindung kepada-Mu daripada bisikan para syaitan. Dan aku berlindung jua dengan-Mu daripada mereka datang menjelma.”

Wallahu a‘lam.