#6494: Ucap Tasbih Ketika Imam Terlupa Surah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah mengucapkan tasbih kerana imam tertinggal satu ayat dari surah yang dibaca selepas baca surah al-Fatihah? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: Berusahalah melaksanakan semua salat dan lakukan secara terus menerus. Usahakan agar salat kalian menjadi lebih baik dengan cara melaksanakan seluruh rukun dengan niat sepenuh hati karena Allah Swt. Dan sempurnakanlah ketaatan kalian kepada Allah dengan sikap ikhlas dan khusyuk kepada-Nya.

(Surah al-Baqarah: 238)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa amat dianjurkan bagi makmum untuk memperbetulkan bacaan Imam yang tersilap ketika membaca mana-mana surah selepas Surah al-Fatihah. Hukumnya adalah mustahab (amat dianjurkan).

Caranya adalah sama ada mengucapkan Tasbih kemudian mengingatkan ayat yang tertinggal kepada Imam, berdasarkan keumuman cara teguran sebarang kesalahan yang ditunjukkan di dalam hadith Sahl bin Sa‘d R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَابَهُ شَيْءٌ فِي صَلَاتِهِ، فَلْيُسَبِّحْ فَإِنَّهُ إِذَا سَبَّحَ الْتُفِتَ إِلَيْهِ، وَإِنَّمَا التَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melihat sebarang keralatan di dalam solatnya, maka hendaklah dia bertasbih, tepukan tangan pula ada untuk wanita (menegur).”

Riwayat al-Bukhari (684)

Atau, makmum boleh terus sahaja mengingatkan ayat tersebut kepada Imam. Kedua-duanya adalah dibolehkan.

Imam al-Nawawi menjelaskan berkenaan hukum memperbetulkan bacaan surah-surah oleh Imam yang dipanggil sebagai Talqin al-Imam atau al-Fath: “Berkenaan mazhab-mazhab para ulama dalam memperbetulkan bacaan Imam: kita telah nyatakan bahawa mazhab kita (al-Syafi‘i) menganjurkannya, seperti yang dinukilkan odoleh Ibn al-Munzir daripada  ‘Uthman bin  ‘Affan,  ‘Ali bin Abu Talib,  ‘Abdullah bin  ‘Umar,  ‘Ata’ bin Abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, Ibn Ma‘qil, Nafi ‘ bin Jubair, Abu Asma’ al-Rahabi, Malik, al-Syafi‘i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih.

Dalil-dalil mazhab kita adalah berdasarkan hadith al-Misawwar bin Yazid al-Maliki R.A bahawa:

شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الصَّلَوَاتِ فَتَرَكَ شَيْئًا لَمْ يَقْرَأْهُ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إنَّهُ كَذَا وَكَذَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلَا أَذَكَرْ تَنِيهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW membaca di dalam solatnya, Baginda tertinggal suatu ayat yang baginda tidak membacanya. (Selepas solat), ada seorang lelaki datang menegur Baginda: ‘Wahai Rasulullah, ayat itu sepatutnya begini dan begini.’ Maka Rasulullah SAW berkata: ‘Mengapa kamu tidak ingatkanku tadi?’”

Riwayat Abu Daud (908)

Begitu juga dengan hadith  ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab R.Anhuma berkata bahawa:

 صَلَّى صَلَاةً، فَقَرَأَ فِيهَا فَلُبِسَ عَلَيْهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ لِأُبَيٍّ: أَصَلَّيْتَ مَعَنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَمَا مَنَعَكَ

Maksudnya: “(Nabi SAW) bersolat kemudian baginda terlupa dalam bacaan baginda, apabila selesai solat, Baginda katakan kepada Ubai (bin Ka’ab) tentang itu. Baginda bertanya: ‘Engkau solat bersama kami tadi?’ Ubai menjawab: ‘Ya.’ Baginda bersabda: ‘Apa yang menghalang engkau daripada membetulkan?’”

Riwayat Abu Daud (907)

Adapun hadith yang diriwayatkan berkenaan larangan membetulkan kesalahan Imam di dalam solat, hadith tersebut berstatus da’if dan tidak boleh dibuat sebagai hujah di sisi kita.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/240-241)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan sekali lagi bahawa dibolehkan untuk menegur dan memperbetulkan kesalahan bacaan Imam pada surah-surah selain surah al-Fatihah dengan menyebut kalimat Tasbih, kemudian diikuti dengan membantu mengingatkan ayat yang terlupa/tertinggal tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَیۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami selepas Engkau berikan petunjuk kepada kami. Dan kurniakanlah kepada kami rahmat kasih-sayang daripada sisi-Mu. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi Kurnia.”

Wallahu a‘lam.