#6495: Qadha’ Solat Secara Qasar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah qada’ solat secara qasar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Memendekkan solat atau mengqasarkan solat adalah suatu keringanan yang Allah berikan kepada umat Islam dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Allah SWT berfirman:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا

Maksudnya: “Dan apabila kalian berjalan di bumi maka tidak menjadi suatu kesalahan buat kalian untuk memendekkan solat sekiranya kalian takut terhadap bahaya orang-orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu musuh yang nyata buat kalian semua.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Mengqasarkan solat adalah dibolehkan menurut persepakatan para ulama. Perkataan “tidaklah menjadi apa-apa kesalahan” digunakan untuk memberi keringanan, bukan mewajibkan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/274-275)

Seorang musafir hanya boleh mengqasar dan memendekkan solatnya apabila dia menjalani perjalanan safar yang jauh, iaitu perjalanan yang mencapai dan melebihi 4 abrud iaitu dengan jarak dua marhalah.

Imam Sa‘id bin Muhammad ba ‘Isyn berkata: “Dibolehkan ke atas orang yang bermusafir dengan perjalanan yang jauh iaitu perjalanan 2 marhalah dan ke atas untuk mengqasarkan solatnya.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta ‘lim, hlm. 366)

Mazhab al-Syafi‘i berpendapat sedemikian berdalilkan amalan sahabat Rasulullah SAW iaitu  ‘Abdullah bin  ‘Abbas bin  ‘Abd al-Muttalib R.Anhuma dan  ‘Abdullah bin  ‘Umar bin al-Khattab R.Anhuma. ‘Ata’ bin Abi Rabah meriwayatkan bahawa:

كَانَا يُصَلِّيَانِ رَكْعَتَيْنِ وَيُفْطِرَانِ فِي أَرْبَعَةِ بُرُدٍ فَمَا فَوْقَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Mereka berdua (Ibn  ‘Abbas dan Ibn ‘Umar) hanya mengqasarkan solat dan mengambil rukhsah tidak berpuasa ketika berjalan melebihi 4 abrud (bersamaan 2 marhalah) sahaja.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (5397)

Imam al-Nawawi menjelaskan pengiraannya: 1 barid bersamaan 4 farsakh. Manakala 4 abrud adalah bersamaan 16 farasikh. Manakala, 16 farasikh ini bersamaan 2 marhalah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/322)

Para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:

  • Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan 2 marhalah bersamaan 82KM.
  • Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 704KM.
  • Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 81KM.

Kita bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas.

Berhubung dengan soalan, kami katakan bahawa kita hanya dibenarkan untuk melakukan solat qadha’ secara qasar jika kita tertinggal solat dalam keadaan yang dibenarkan qasar juga. Sebagai contoh:

“Ahmad bermusafir dari Kuala Lumpur ke Kangar; dan dia harus menunaikan solat Zuhur dan Asar secara qasar. Namun dia tertinggal solat dan tidak melaksanakannya pada waktunya.”

Maka, Ahmad dibenarkan untuk mengqadha’ solat secara qasar bila-bila masa sahaja dia kehendaki untuk melaksanakannya.

Hukum asal dalam perlaksanaan solat qadha’ adalah mesti mengikut bentuk solat ada’ (tunai) yang ditinggalkan itu. Ini berdasarkan kaedah yang dinaskan oleh para ulama mazhab al-Syafi‘i antaranya Imam al-Azra‘i iaitu:

الْقَضَاءَ يَحْكِي الْأَدَاءَ

Maksudnya: “Perlaksanaan qadha’ itu mengikut tatacara perlaksanaan ketika ada’ (tunai).” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi  ‘ala al-Khatib, 2/65)

Jika tidak, maka tidak dibolehkan. Misalnya, jika kita tertinggal solat Zuhur sebanyak 4 rakaat tanpa sebarang sebab yang membolehkan qasar, maka kita tidak dibolehkan untuk melaksanakannya dalam bentuk qasar. Wajib melaksanakannya seperti asal iaitu Tamam sebanyak 4 rakaat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْألُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada-Mu: ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat al-Nasaie (9930) dan Ibn Majah (925)

Wallahu a’lam.