#6496: Mentaklik Isteri Bagi Menghalang Isteri dari Melakukan Kemungkaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya soalan soal taklik melalui whatsapp, suami menaklik isteri dengan niat supaya isteri tidak mahu isteri melakukan kemungkaran, adakah sah taklik tersebut?. Jika si isteri melanggar taklik yang dihantar oleh suami melalui whattsup tersebut adakah sah talak itu? Mohon Dato Seri beri jawapan dari soalan saya. Terima Kasih Dato‘

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Taʻliq  ialah  suami menggantungkan talak kepada isterinya dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Fuqaha  empat mazhab  sependapat sabit talaq dengan lafaz ta’liq. Hal ini kerana fuqaha berhujah  berdasarkan dalil  pensyariatan talak secara mutlak merupakan hak suami sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah:229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa jika seorang suami mentaklik isterinya maka, talak tersebut terjatuh sebaik sahaja isteri melanggar taklik tersebut. Taklik tersebut dikira sah walaupun dengan tujuan menghalang isteri dari melakukan kemungkaran.  Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ

Maksudnya“Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

   Riwayat al-Hakim (1352)

Begitu juga kaedah fiqh ada menyebutkan bahawa:

مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ

Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/90)

Imam al-Syirazi pula menyatakan, jika penceraian diikat dengan syarat yang bukanlah suatu hal yang mustahil seperti masuk ke rumah atau datangnya bulan, maka ia tergantung pada menepati syarat tersebut. Jika syarat tersebut dipenuhi, maka berlakulah penceraian, dan jika syarat tersebut tidak terpenuhi, maka tidak berlakulah penceraian. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 3/21)

Begitu juga disebutkan dalam Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami (4/196) bahawa: Talak bersyarat adalah talak yang menjadikan perceraian itu tergantung pada syarat. Contohnya seperti seorang suami berkata kepada isterinya, Jika kamu pergi ke pasar, maka kamu tertalak. Maka jika isterinya pergi ke pasar, dia tertalak.

Justeru berdasarkan perbincangan di atas kami katakan bahawa talak yang diikatkan pada syarat akan terjatuh sekiranya isteri melakukan atau melanggar apa yang telah disyaratkan tersebut walaupun dengan apa tujuan sekalipun. Namun dalam situasi ini, kami nasihati agar menggunakan pendekatan yang lain dalam mendidik isteri sebelum memutuskan untuk bercerai. Ini kerana pemeliharaan hubungan antara suami dan isteri adalah lebih penting dalam menjaga kepentingan keluarga berbanding memilih untuk bercerai.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua’lam