#6498: Maqam Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Di mana terletaknya maqam Rasulullah SAW dan bagaimana sifat kuburnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”

(Surah Ali Imran: 144)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: Muhammad SAW hanyalah seorang rasul, sama seperti rasul-rasul lain dalam kalangan manusia. Kisah beberapa rasul yang telah wafat sebelum Muhammad SAW memang telah berlalu. Jika dia wafat atau dibunuh, adakah kamu akan berpaling dan murtad setelah kamu beriman? Sesiapa yang berpaling dan murtad dari agamanya, mereka tidak akan dapat mendatangkan sebarang mudarat kepada Allah, tetapi sebaliknya, mereka hanya akan merugikan diri sendiri. Allah akan memberikan balasan yang baik kepada orang-orang yang bersyukur atas ketetapan mereka dalam beragama. Ayat ini diturunkan ketika umat Islam kalah dalam Perang Uhud, dan tersebar berita bahawa Nabi SAW telah terbunuh. Seorang lelaki berkata: “Muhammad telah terbunuh, maka berikanlah dengan tangan kamu semua, kerana mereka juga adalah saudara kamu.” Umar melihat orang-orang berpaling dan berbalik badan. Kemudian, ayat ini diturunkan: “Muhammad hanyalah seorang rasul.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 332)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan satu riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَتَعَذَّرُ فِي مَرَضِهِ: «أَيْنَ أَنَا اليَوْمَ، أَيْنَ أَنَا غَدًا» اسْتِبْطَاءً لِيَوْمِ عَائِشَةَ، فَلَمَّا كَانَ يَوْمِي، قَبَضَهُ اللَّهُ بَيْنَ سَحْرِي وَنَحْرِي وَدُفِنَ فِي بَيْتِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW sering bertanya (untuk pindah dari rumah ke rumah para isteri Baginda) ketika baginda sakit (yang menyebabkan baginda wafat): “Di manakah (rumah siapa) aku hari ini, di mana (rumah siapa) aku esok?” kerana ternanti-nanti menunggu giliran untuk rumah Aisyah. Ketika tepat pada (hari) giliranku, Allah mewafatkannya saat Baginda berada di antara lambungku dan dadaku dan Baginda dikuburkan di rumahku.”

Riwayat al-Bukhari (1389)

Dalam satu riwayat daripada Abu Bakar bin ‘Ayyasy kami, daripada Sufyan al-Tammar, bahawasanya beliau menyampaikan kepadanya:

أَنَّهُ رَأَى قَبْرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُسَنَّمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Sufyan al-Tammar) melihat kubur Nabi SAW keadaannya tinggi sedikit.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/405)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Disebutkan keduanya di tempat ini adalah untuk menjelaskan bahawa Baginda SAW dikebumikan di rumah Aisyah R.Anha.

Abu Daud dan al-Hakim meriwayatkan melalui jalur al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, dia berkata, “Aku masuk menemui Aisyah seraya berkata ‘Wahai ibu, singkaplah untukku kubur Rasulullah SAW dan kedua sahabatnya!’ Maka beliau menyingkapkan kepadanya tiga kubur, tidak lebih tinggi (dari tanah di sekitarnya) dan tidak pula lebih rendah, terbentang pada tanah hamparan yang kemerahan ” Lalu al-Hakim memberi tambahan, “Maka aku melihat Rasulullah SAW lebih ke hadapan, sedangkan kepala Abu Bakar di bawah ketiak Baginda SAW, dan kepala Umar berada di bahagian kaki Nabi SAW.” Kejadian ini berlaku pada zaman pemerintahan Muawiyah. Seakan-akan pada awalnya kubur tersebut rata dengan tanah, kemudian setelah berlaku pembinaan tembok di sekitar kubur pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz di Madinah atas petunjuk al-Walid bin Abdul Malik, maka mereka menjadikan kubur itu lebih tinggi dari tanah sekitarnya.

Abu Bakar al-Ajuri meriwayatkan dalam pembahasan tentang sifat kubur Nabi SAW, melalui jalur Ishaq bin Isa binti Daud bin Abi Hindun dari Ghunaim bin Bastam al-Madini, dia berkata, “Aku melihat kubur Nabi SAW pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Aku melihatnya agak tinggi, iaitu sekitar empat jari. Aku melihat kubur Abu Bakar yang terletak di belakang kubur Baginda SAW, dan aku melihat kubur Umar yang terletak di belakang kubur Abu Bakar, namun agak lebih rendah darinya.” (Lihat Fath al-Bari, 7/451)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”