Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menayangkan gambar hasil janaan A.I yang mendedahkan aurat di khalayak ramai atau media sosial? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Nur: 31)
Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 18/97)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak dibolehkan bagi seseorang menayangkan atau menyebarkan gambar yang mendedahkan aurat di media sosial walaupun ia dijanana oleh A.I. Ini kerana ia boleh mendatangkan fitnah keapada orang yang melihatnya. Selain itu dikhuatiri juga, ia boleh mebangkitkan syahwat sesetengah orang yang melihatnnya. Hal ini juga bagi menutup kemungkaran yang kebarangkalian akan timbul hasil daripada penyebaran gambar tersebut.
Syarak dengan tegas melarang seseorang daripada melihat perkara yang haram seperti melihat aurat. Yang demikian boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Nur: 30)
Ayat di atas diikuti dengan firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah al-Nur: 31)
Imam al-Tabari ketika menafsirkan (يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan orang islam untuk menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mereka bersyahwat padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran, 19/154)
Justeru berdasarkan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa penyebaran gambar yang menampakkan aurat adalah tidak diperbolehkan. Sementelahan lagi, sistem AI sekarang ini hampir menyamai gambar asal seseorang sehingga ramai di kalangan orang awam akan terkeliru, adakah ia benar-benar orang tersebut atau sekadar lakaran sahaja.
Allah SWT telah secara jelas memerintahkan seorang Muslim untuk menjaga pandangannya dari segala yang haram. Selain itu, tindakan ini juga bertujuan untuk mengelakkan sebarang fitnah yang mungkin timbul daripada penyebaran gambar tersebut. Oleh itu, tindakan mencegah keburukan yang mungkin berlaku haruslah diberi keutamaan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”
Wallahua‘lam.