#6502: Membaca Dua Ayat Terakhir Surah al-Baqarah Setiap Malam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum, adakah ada sandaran dalil hadith tentang amalan membaca dua ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melazimi zikrullah pada setiap hari membawa banyak kebaikan dalam kehidupan ini dan ganjaran besar di akhirat. Zikir pagi dan petang adalah antara zikir yang paling penting yang harus dipelihara oleh seseorang Muslim. Antara faedahnya adalah kelapangan dada, ketenangan hati, mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan namanya disebut-sebut di kalangan malaikat. Disebutkan sebagaimana dalam firman-Nya:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Mereka ialah orang-orang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingati Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati manusia akan tenang.”

(Surah al-Ra‘d: 28)

Telah thabit juga dalam sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: ‘Aku mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingati-Ku di dalam dirinya, Aku juga mengingatinya di dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku di tengah khalayak manusia, maka Aku mengingatinya di khalayak yang lebih baik daripada itu’.”

Riwayat al-Bukhari (7405) dan Muslim (2675)

Khalayak yang lebih baik ini, atau juga disebutkan sebagai al-Mala’ al-A‘la (المَلَأُ الْأَعْلَى) merujuk kepada malaikat-malaikat yang berada di langit. (Lihat Irsyad al-Sari, 10/382)

Begitu juga bacaan ayat 285 dan 286 dari Surah al-Baqarah, ia termasuk dalam salah satu zikir harian pada waktu malam yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Firman Allah SWT:

ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّن رُّسُلِهِۦ ۚ وَقَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ ‎﴿٢٨٥﴾ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًۭا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ ﴿٢٨٦﴾‏

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman dengan apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan begitu juga orang-orang yang beriman. Kesemua mereka beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan para rasul-Nya, dan mereka berkata: ‘Kami tidak membezakan antara seorang rasul dengan rasul-rasul yang lain.’ Mereka juga berkata: ‘Kami dengar dan taat kepada-Mu, kami pohon keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah kami kembali.’ (285) Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Seseorang itu mendapat pahala daripada kebaikan yang diusahakannya dan dia juga mendapat azab daripada kejahatan yang dilakukannya. Rasul dan orang-orang beriman berdoa: ‘Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau melakukan kesalahan secara tidak sengaja. Wahai Tuhan kami, Beriman dengan risalah para rasul dan taklif sekadar keupayaan Kekuasaan Allah SWT segala yang di langit dan bumi janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana Engkau telah bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Maafkanlah kami dan ampunilah kami serta rahmatilah kami. Engkaulah Pelindung kami maka bantulah kami mengalahkan orang-orang kafir.’ (286)”

(Surah al-Baqarah: 285-286)

Kelebihan dua ayat di atas thabit dalam beberapa hadith Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud ‘Uqbah bin ‘Amru R.A:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka kedua-dua ayat tersebut akan mencukupkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5009) dan Muslim (807)

Apabila disebutkan “kedua-dua ayat tersebut akan mencukupkannya,” timbul beberapa takwilan dari para ulama tentang hakikatnya:

  • Ayat tersebut mencukupkannya dari bangun untuk mendirikan solat malam.
  • Ayat tersebut mencukupkannya dari perlu membaca al-Quran pada malam hari.
  • Ayat tersebut mencukupkannya dari apa jua perkara yang terkait dengan akidah, kerana kedua-dua ayat tersebut mengandungi perbahasan iman dan amal secara umumnya.
  • Ayat tersebut mencukupi sebagai pelindung dari segala keburukan.
  • Ayat tersebut mencukupi sebagai pelindung dari keburukan syaitan.
  • Ayat tersebut mencukupi sebagai pelindung dari keburukan manusia dan jin.
  • Pahala yang diperoleh dari membaca kedua-dua ayat tersebut mencukupkannya dari meminta perkara lain. Hal yang demikian kerana kedua ayat tersebut mengandungi puji-pujian ke atas para sahabat disebabkan ketaatan mereka terhadap Allah, doa mereka serta kembalinya mereka kepada Allah, termasuklah apa yang mereka peroleh dari doa yang diperkenankan. (Lihat Fath al-Bari, 9/56)

Dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud, beliau pula menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi‘raj yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Kemudian beliau berkata:

أُعْطِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثًا: أُعْطِيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ، وَأُعْطِيَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ، وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا، المُقْحِمَاتُ

Maksudnya: “Lalu Rasulullah SAW diberikan tiga perkara: Solat lima waktu, ayat-ayat penutup Surah al-Baqarah, dan diampuni dosa-dosa besar umat Baginda selama mana mereka tidak mensyirikkan Allah.”

Riwayat Muslim (173)

Diriwayatkan juga daripada Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

 أُعْطِيتُ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرةِ مِنْ بَيْتِ كَنْزٍ مِنْ تَحْتِ الْعَرْشِ، لَمْ يُعْطَهُنَّ نَبِيٌّ قَبْلِي

Maksudnya: “Aku diberikan penutup Surah al-Baqarah dari perbendaharaan di bawah ‘Arasyh, tidak pernah diberikan kepada nabi sebelumku.”

Riwayat Ahmad (21344), al-Hakim (2066) dan al-Baihaqi (2403) dalam Syu‘ab al-Iman. Syeikh Syu‘aib al-Arnaut mengatakan status hadith ini adalah sahih li ghairih.

Berdasarkan kepada hadith-hadith yang kami bawakan di atas, maka benarlah amalan zikir dengan bacaan dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah pada malam hari ini telah thabit dalam riwayat yang sahih.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami perjelaskan kepada saudara. Semoga kita beroleh kefahaman yang benar dalam beramal dan mempraktikkan setiap zikir-zikir yang warid daripada junjungan kita Rasulullah SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam.