Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menanam pokok sebagai hiasan di halaman rumah? Ada yang mengatakan pokok paku langsuir (bird nest fern tree) tidak elok diletakkan di halaman rumah? Mohon penjelasan mengenai ini. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۗ انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah aI-An‘am: 99)
Ibn Kathir menyatakan, berkenaan firman-Nya “انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ” (Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya), al-Barra’ bin ‘Azib, Ibn ‘Abbas, al-Dhahhak, ‘Ata’ al-Khurasani, al-Suddi, Qatadah dan ulama-ulama yang lain berkata: “Maksudnya fikirkanlah kekuasaan Penciptanya, daripada tidak ada menjadi ada, setelah sebelumnya dalam bentuk sepohon kayu, kemudian menjadi anggur dan kurma dan sebagainya daripada pelbagai ciptaan Allah SWT dalam bentuk pelbagai warna, bentuk, rasa dan aroma.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/260).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, menanam pokok sebagai perhiasan termasuk dalam perkara yang diharuskan dan dibenarkan, dengan syarat tujuannya bukanlah untuk memuliakannya atau kerana kepercayaan tertentu yang bersalahan dengan ajaran Islam. Perkara ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menjadikan pokok paku langsuir atau bird-nest fern[1] sebagai pokok tanaman perhiasan di halaman rumah kerana hukumnya kembali kepada hukum asal sebagaimana menanam pokok-pokok yang lain, iaitu diharuskan selagi mana di sana tidak melibatkan pegangan atau kepercayaan tertentu yang bercanggah dengan syarak.
Begitu juga kerana pokok paku langsuir sama sahaja seperti mana pokok-pokok yang lain. Adapun persoalan berkenaan dikatakan ia tidak elok diletakkan di halaman rumah, hendaklah dilihat dan diperlahusi. Jika dimaksudkan tidak elok itu adalah dari segi uruf atau adat kerana ia merupakan pokok hutan dan tidak sesuai diletakkan di halaman rumah, maka tidak mengapa untuk tuan rumah tersebut mengekalkannya atau mengubahnya ke lokasi lain. Jika dimaksudkan tidak elok itu adalah dari segi kepercayaan tertentu seperti mendatangkan sial, tempat duduk hantu atau seumpamanya, maka kami katakan bahawa kepercayaan seperti ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan termasuk dalam perkara ghaib. Jadi, pegangan dan kepercayaan ini hendaklah dihindari sejauh mungkin kerana dikhuatiri terjerumus ke lembah kesyirikan.
Kita wajib beriman bahawa yang memberi manfaat dan mudarat hanyalah Allah SWT dan tidak sepatutnya meletakkan kepercayaan yang karut-marut tanpa asas dan dalil dengan memberi kuasa kepada sesuatu atau menyangkakan sesuatu itu berkuasa. Rasulullah SAW pernah mengajar kita satu doa:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)
Doa ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan R.A. Beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
(“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”)
sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”
Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, hadith ini adalah hasan.
Di dalam hadith ini dinyatakan akan kelebihan orang yang membaca doa ini pada awal siang hari dan awal malam hari. Doa tersebut dimulakan dengan menyebut nama Allah bagi memohon perlindungan-Nya daripada segala keburukan yang mana tidak akan memberi mudarat sesuatu pun dengan nama Allah apabila ia diucapkan dengan pegangan yang betul dan niat yang ikhlas. Adapun, kita bukan sahaja memohon perlindungan daripada keburukan di muka bumi sahaja, bahkan juga keburukan dari langit iaitu apa-apa yang turun dari langit. Tambahan pula, Allah SWT bersifat Maha mendengar akan ucapan-ucapan kita dan Allah juga bersifat Maha Mengetahui akan keadaan kita. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/234)
Di samping itu juga, tidak memberi mudharat dengan nama-Nya di dalam doa ini juga membawa maksud bahawa penduduk bumi berada di dalam keadaan aman dan selamat disebabkan keberkatan nama Allah SWT serta keterikatan dengan-Nya. Samalah keadaannya kepada penduduk di langit bilamana mereka melazimi nama Allah SWT dalam setiap perkara. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 149. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-463 untuk bacaan lanjut)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
Nota Hujung:
[1] Pokok Daun Semun (bahasa Inggeris: Bird-nest Fern) atau Pokok Paku langsuir ialah satu spesies pakis dalam famili Dennstaedtiaceae yang berasal dari Asia Tenggara, Australia, India, dan Jepun. Pokok ini merupakan salah satu epifit (pokok tumpang) yang paling biasa di dalam hutan. Nama botaninya Asplenium nidus. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Paku_langsuyar. Diakses pada 23 Julai 2024).