#6504: Maksud Sebenar: Takutlah Neraka dengan Secubit Kurma

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat nas hadis agar kita bersedekah walau sedikit kerana ia dapat menyelamatkan kita daripada api neraka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan tambahan tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Kami kemukakan juga di sini hadith Nabi SAW, sepertimana diriwayatkan oleh ‘Adi bin Hatim R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ

Maksudnya: “Peliharalah diri kamu daripada api neraka sekali pun hanya dengan bersedekah sebelah buah kurma.”

Riwayat al-Bukhari (1417)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Sabda Baginda SAW “Berlindunglah dari neraka meskipun dengan separuh kurma,” mencakupi juga harta yang sedikit mahupun banyak. Sedangkan ayat yang disebutkan mencakup pula sedekah yang sedikit dan sedekah yang banyak, dilihat dari perumpamaan yang disebutkan, iaitu hujan gerimis dan hujan lebat. Sedekah yang sedikit diumpamakan dengan hujan gerimis, sedangkan sedekah yang banyak diumpamakan dengan hujan lebat. Adapun penyebutan “sedekah yang sedikit” setelah lafaz “separuh kurma” adalah gaya bahasa yang menyebut lafaz yang bersifat umum setelah lafaz yang bersifat khusus. Oleh sebab itu, pada bab ini disebutkan hadis Abu Mas’ud yang menjelaskan sebab turunnya firman Allah SWT, “Dan orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekedar kemampuannya.”

Lafaz “syiqq” (شِقّ) bermaksud separuh atau sebelah. Yakni, meskipun cara perlindungan itu dilakukan dengan mengeluarkan sedekah berupa separuh kurma, sesungguhnya itu telah memberi manfaat. Dalam riwayat al-Tabarani daripada hadis Fadhalah bin Ubaid, daripada Nabi SAW, disebutkan: ‘اجْعَلُوا بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ النَّارِ حِجَابًا وَلَو بشق تَمْرَة’ (Jadikanlah antara kamu dengan neraka suatu penghalang meskipun dengan separuh kurma). Dalam riwayat Imam Ahmad, daripada hadis Ibn Mas’ud, daripada Nabi SAW, dengan sanad yang sahih disebutkan: ‘ لِيَتَّقِ أَحَدُكُمْ وَجْهَهُ النَّار وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَة’ (Hendaklah salah seorang di antara kamu melindungi dirinya daripada neraka meskipun dengan separuh kurma). Imam Ahmad meriwayatkan pula daripada hadis Aisyah dengan sanad yang hasan seperti berikut: ‘يَا عَائِشَة ، اِسْتَتِرِي مِنْ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَة ، فَإِنَّهَا تَسُدُّ مِنْ الْجَائِعِ مَسَدَّهَا مِنْ الشَّبْعَانِ’ (Wahai Aisyah, lindungilah dirimu dari neraka meskipun dengan separuh kurma, kerana sesungguhnya ia dapat menutupi posisinya pada orang lapar sebagaimana pada orang yang kenyang). Riwayat seumpamanya juga dinukil oleh Abu Ya’la daripada hadis Abu Bakar al-Siddiq dengan lafaz yang lebih lengkap: ‘تَقَعُ مِنْ الْجَائِعِ مَوْقِعهَا مِنْ الشَّبْعَانِ’ (Kerana sesungguhnya ia menempati kedudukannya pada orang yang lapar seperti kedudukannya pada orang yang kenyang). Seakan-akan hal yang menyebabkan ia menempati posisi yang sama pada orang lapar dan orang kenyang adalah rasanya yang manis.

Pada hadis ini terdapat anjuran untuk bersedekah sama ada dalam jumlah yang sedikit maupun banyak, serta larangan meremehkan apa yang disedekahkan. Sesungguhnya sedekah itu, meskipun sedikit, dapat melindungi pelakunya dari api neraka. (Lihat Fath al-Bari, 3/284)

Dalam riwayat lain, daripada Aisyah R.A, katanya:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ، فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ، فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا، فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا، وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا، ثُمَّ قَامَتْ، فَخَرَجَتْ، فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا، فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ: «مَنِ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ البَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Seorang perempuan masuk (ke rumahku) bersama dua orang anak perempuannya dan meminta sesuatu daripadaku. Namun, dia tidak mendapati adanya sesuatu di sisiku melainkan sebiji kurma. Maka aku pun memberikan sebiji kurma itu kepadanya. Kemudian, perempuan itu membahagikan sebiji kurma itu kepada dua orang anak perempuannya dan dia sendiri tidak memakan sedikit pun daripadanya (kurma itu). Kemudian, dia bangun dan keluar. Setelah itu, Nabi SAW masuk menemui kami, dan aku pun menceritakan kepada Baginda (peristiwa tadi). Lalu Baginda bersabda: “Sesiapa yang diuji dengan sesuatu kesusahan daripada anak-anak perempuan ini, maka mereka akan menjadi penghalang kepadanya daripada api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1418)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Hadis ini menunjukkan semangat yang tinggi dari Aisyah untuk bersedekah sebagai pengamalan wasiat Nabi SAW kepadanya, di mana Baginda bersabda, ‘ لَا يَرْجِعُ مِنْ عِنْدِكِ سَائِلٌ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ’ (Janganlah seseorang yang meminta-minta kembali dari sisimu (tanpa mendapatkan apa pun) meskipun hanya dengan separuh kurma). Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Abu Hurairah. (Lihat Fath al-Bari, 3/284)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”