Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Dalam menyampaikan risalah dakwah kepada mad’u dan non muslim, apakah cara yang terbaik diajar oleh Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Surah al-Nahl (125)
Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)
Al-Maraghi menjelaskan: Yakni, gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith Nabi SAW, yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW mengutus Muaz R.A ke Yaman, lalu Baginda SAW bersabda:
ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Dakwahlah mereka kepada syahadah (persaksian) bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1395)
Al-Khattabi menyebut: Dalam hadith ini, terdapat ilmu bahawa Baginda menyusun kewajiban-kewajiban Syariat, lalu mendahulukan kalimah Tauhid, kemudian diikuti dengan kewajiban solat fardhu pada waktu-waktunya. Baginda mengkemudiankan sebutan tentang zakat kerana ia hanya wajib kepada sekelompok orang, dan hanya dikenakan setelah satu tahun berlalu atas harta dan mencapai nisab.” (Lihat A’lam al-Hadith Syarh Sahih al-Bukhari, 1/726)
Syams al-Din al-Kirmani menyebut dengan menukilkan pandangan al-Khattabi yang berkata: Penundaan dalam menyebut zakat kerana ia hanya menjadi kewajipan kepada segelintir individu, bukan semua. Kewajipan ini hanya berlaku apabila satu tahun telah berlalu atas harta tersebut. Beliau juga menambah, ini menunjukkan bahawa zakat dari suatu tempat tidak boleh dipindahkan ke tempat lain, sebaliknya hendaklah disalurkan kepada golongan miskin di tempat di mana harta itu berada. Jika seorang kanak-kanak berada dalam keadaan kaya, zakat menjadi wajib atas hartanya, sama seperti jika dia berada dalam keadaan miskin, dia berhak menerima zakat. Tidak boleh memberikan sebarang bentuk zakat kepada bukan Islam.” (Lihat al-Kawakib al-Darari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/167)
Ahmad bin Isma’il al-Kurani menukilkan bahawa al-Hakim menyatakan: Mu’az telah dihantar selepas pulang dari peperangan Tabuk. Beliau dan Abu Musa al-Asy’ari telah dihantar, masing-masing ke wilayah yang berbeza. (Lihat al-Kauthar al-Jari ila Riyadh Ahadith al-Bukhari, 3/399
Dalam riwayat lain, Ibn Abbas R.Anhuma menyampaikan bahawa, tatkala Rasulullah SAW ingin mengutus Mu‘az bin Jabal R.A kepada penduduk Yaman, Baginda bersabda kepadanya:
إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى، فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ، فَإِذَا صَلَّوْا، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ، تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ، فَإِذَا أَقَرُّوا بِذَلِكَ فَخُذْ مِنْهُمْ، وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau akan pergi ke suatu kaum daripada kalangan ahli kitab, maka jadikanlah seruan pertamamu untuk mereka adalah mengesakan Allah. Jika mereka telah mengetahui perkara itu maka khabarkan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sembahyang lima waktu sehari semalam. Jika mereka telah pun mengerjakan sembahyang itu, maka khabarkan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan zakat pada harta mereka, yang mana diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang yang faqir di antara mereka. Sekiranya mereka telah memperakui perkara itu, maka ambillah zakat daripada mereka dan tinggalkan harta-harta bernilai milik mereka.”
Riwayat al-Bukhari (7372) dan Muslim (19)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Dalam riwayat lain, disebutkan ‘وَالْيَمَن مِخْلَافَانِ’ (sedangkan Yaman terdiri dari dua wilayah). Kemudian lafaz, ‘إِلَى أَهْل الْيَمَن’ (kepada penduduk Yaman) merupakan bentuk lafaz keseluruhan yang memaksudkan sebahagian, kerana sebenarnya Mu’az hanya diutuskan kepada sebahagian mereka, bukan kepada seluruh penduduk Yaman. Kemungkinan juga hadis ini bersifat umum mengenai seruan kepada hal-hal tersebut, walaupun pemerintahan Mu’az hanya berlaku pada salah satu wilayah tertentu di negeri Yaman.
Sabda Baginda, ‘إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ’ (Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum dari ahli kitab), maksudnya, kaum Yahudi. Permulaan masuknya kaum Yahudi ke Yaman pada zaman As’ad Zi Karib sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Ishaq dalam kitab al-Sirah, di mana ketika pemerintahan Islam tertegak, sebahagian penduduk Yaman memeluk agama Yahudi. Sedangkan masuknya agama Nasrani adalah setelah itu (setelah masuknya agama Yahudi). Maksudnya, Habasyah menakluki Yaman, di antaranya adalah Abrahah iaitu pemimpin pasukan bergajah yang hendak menyerang Makkah dan menghancurkan Ka’bah, hingga mereka dibantu oleh Saif bin Zi Yazan sebagaimana yang disebut oleh Ibn Ishaq. Setelah itu tidak ada lagi seorang pun yang memeluk agama Nasrani kecuali di Najran, iaitu wilayah antara Makkah dan Yaman, sedangkan sebahagian kecil penganut agama Yahudi masih berada di sebahagian negeri Najran. (Lihat Fath al-Bari, 20/440)
Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa perkara yang pertama yang perlu dilakukan ketika berdakwah adalah mengajak mereka kepada ibadah kepada Allah iaitu pengakuan terhadap Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Di dalamnya tidak disebutkan puasa dan jihad, kerana pada masa itu jihad hanya diwajibkan kepada orang-orang yang mengikuti orang kafir, seperti yang disebutkan oleh Ibn al-Tin. (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 10/140)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)