#6506: Dosa Mereka yang Tidak Menunaikan Zakat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah dosa bagi mereka yang enggan menunaikan kewajipan zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿٣٤﴾ يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَـٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.”

(Surah al-Taubah: 34-35).

Ibn Kathir berkata: Individu-individu yang menimbun harta dengan tamak, di mana ketika mengumpulnya, mereka lebih mementingkan harta tersebut daripada mencari redha Allah. Oleh itu, pada Hari Kiamat nanti, Allah akan mengazab mereka dengan harta yang telah mereka kumpul itu sendiri.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/501)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Individu-individu yang menimbun emas dan perak sebagai harta simpanan, atau mengumpulkannya sedikit demi sedikit tanpa membayar zakat, dan tidak menafkahkan dan menggunakan harta tersebut untuk mencari redha Allah, maka mereka diberi amaran dan peringatan tentang azab yang amat pedih.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 443)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith Nabi SAW, sepertimana dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَأْتِي الإِبِلُ عَلَى صَاحِبِهَا عَلَى خَيْرِ مَا كَانَتْ، إِذَا هُوَ لَمْ يُعْطِ فِيهَا حَقَّهَا، تَطَؤُهُ بِأَخْفَافِهَا، وَتَأْتِي الغَنَمُ عَلَى صَاحِبِهَا عَلَى خَيْرِ مَا كَانَتْ إِذَا لَمْ يُعْطِ فِيهَا حَقَّهَا، تَطَؤُهُ بِأَظْلاَفِهَا، وَتَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا»، وَقَالَ: «وَمِنْ حَقِّهَا أَنْ تُحْلَبَ عَلَى المَاءِ» قَالَ: ” وَلاَ يَأْتِي أَحَدُكُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ بِشَاةٍ يَحْمِلُهَا عَلَى رَقَبَتِهِ لَهَا يُعَارٌ، فَيَقُولُ: يَا مُحَمَّدُ، فَأَقُولُ: لاَ أَمْلِكُ لَكَ شَيْئًا، قَدْ بَلَّغْتُ، وَلاَ يَأْتِي بِبَعِيرٍ يَحْمِلُهُ عَلَى رَقَبَتِهِ لَهُ رُغَاءٌ فَيَقُولُ: يَا مُحَمَّدُ، فَأَقُولُ: لاَ أَمْلِكُ لَكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، قَدْ بَلَّغْتُ

Maksudnya: “Unta akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling baik  dan sempurna. Apabila dia (pemiliknya) tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka unta tersebut akan memijak-mijak orang itu dengan kakinya. Kambing juga akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling sempurna. Apabila dia tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka kambing itu akan memijak-mijak orang itu dengan kukunya (kakinya) dan menanduknya.”

Baginda SAW bersabda lagi: “Antara haknya juga adalah supaya diperah susunya di kawasan yang ada air.” Baginda SAW bersabda lagi: Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor kambing yang mengembek di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: “Wahai Muhammad! (dengan niat untuk meminta syafaat dan bantuan) ” Maka aku menjawab: “Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu.” Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor unta yang mengeluarkan bunyi di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: “Wahai Muhammad!” Maka aku menjawab: “Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu.”

Riwayat al-Bukhari (1402)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (4/490) menjelaskan:

Ibn al-Manayyar berkata, “Tajuk bab ini lebih khusus daripada yang sebelumnya, kerana mencakupi besarnya dosa dan dahsyatnya azab seksa di akhirat bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat. Nabi SAW juga akan berlepas diri darinya berdasarkan sabdanya, ‘Aku tidak berkuasa sedikit pun menolongmu’. Ini sebagai pemberitahuan akan hilangnya harapan (terhadap pertolongan Nabi pada hari itu).

Ucapannya, ‘تَأْتِي الإِبِلُ عَلَى صَاحِبِهَا ’ (unta akan datang kepada pemiliknya), yakni pada hari kiamat seperti yang akan disebutkan.

Ucapannya, ‘عَلَى خَيْرِ مَا كَانَتْ’ (dalam keadaan yang paling baik  dan sempurna), yakni besar dan gemuk serta banyaknya, kerana pada waktu di dunia keadaan unta itu pelbagai. Namun di hari kiamat akan didatangkan dalam bentuknya yang sempurna, agar seksa yang akan dirasakan oleh pemiliknya bertambah pedih kerana saiz dan ukurannya yang sangat besar dan berat.

Ucapannya, ‘ إِذَا هُوَ لَمْ يُعْطِ فِيهَا حَقَّهَا’ (apabila pemiliknya belum mengeluarkan haknya), yakni belum mengeluarkan zakatnya. Lafaz ini telah diriwayatkan Imam Muslim dari hadis Abu Dzar.

Dalam riwayat Imam Muslim dari jalur Abu Soleh, daripada Abu Hurairah R.A, disebutkan:

مَا مِنْ صَاحِب إِبِل لَا يُؤَدِّي حَقّهَا مِنْهَا إِلَّا إِذَا كَانَ يَوْم الْقِيَامَة بُطِحَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَر أَوْفَر مَا كَانَتْ لَا يَفْقِد مِنْهَا فَصِيلًا وَاحِدًا تَطَؤُهُ بِأَخْفَافِهَا وَتَعَضّهُ بِأَفْوَاهِهَا، كُلَّمَا مَرَّتْ عَلَيْهِ أُولَاهَا رُدَّتْ عَلَيْهِ أُخْرَاهَا ، وَفِي يَوْم كَانَ مِقْدَاره خَمْسِينَ أَلْف سَنَة، حَتَّى يَقْضِي اللَّه بَيْن الْعِبَاد، وَيَرَى سَبِيله إِمَّا إِلَى الْجَنَّة وَإِمَّا إِلَى النَّار

Maksudnya: “Tidaklah pemilik unta yang tidak mengeluarkan zakatnya, melainkan pada hari kiamat akan dikumpulkan di tanah lapang dengan jumlah yang banyak dan tidak ada satu pun yang tertinggal. la akan menginjak-injak pemiliknya serta menggigit dengan mulutnya. Setiap kali berlalu yang pertama, maka akan dikembalikan kepadanya yang terakhir. Hal ini terus berlangsung pada hari yang lamanya sama seperti lima puluh ribu tahun, hingga Allah memutuskan di antara para hamba, lalu ia melihat jalannya apakah ke syurga atau ke neraka.”

Riwayat Muslim (987)

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa, yakni kemungkinan maksudnya, haiwan-haiwan tersebut mula melewati pemiliknya secara berurutan hingga haiwan yang terakhir. Apabila haiwan pertama hendak kembali, maka haiwan terakhir melewati orang itu terlebih dahulu, lalu secara berurutan mereka melewatinya hingga sampai pada haiwan pertama. Demikianlah seterusnya. Demikian pula penjelasan yang dikemukakan oleh al-Tibi, dia berkata, “Maknanya adalah bahwa haiwan pertama melewati orang itu, lalu diikuti oleh haiwan berikutnya secara berurutan hingga sampai pada haiwan terakhir, kemudian haiwan terakhir memulakan lagi dan diikuti oleh haiwan berikutnya secara berurutan hingga sampai pada haiwan pertama.”

Ini juga seperti yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (4/490).

Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ – يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ – ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ، ثُمَّ تَلاَ: (لَا يَحْسِبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ) ” الآيَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah SWT berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: “Akulah  hartamu, akulah simpananmu.” Kemudian, Baginda membaca: “لَا يَحْسِبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ” (Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil…) [Surah Ali ‘Imran: 180]

Riwayat al-Bukhari (1403)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Maksud ular yang besar adalah ular jantan yang dapat berdiri di atas ekornya untuk menerkam mangsanya. Adapun maksud “licin kulit kepalanya” adalah ular yang kepalanya nampak licin berkilat kerana banyak bisanya. Dalam kitab Abu Ubaid dikatakan, “Dinamakan ular licin kulit kepalanya kerana bulu kepalanya gugur akibat banyaknya racun (bisa) yang ada padanya”. Tapi pernyataan ini dijawab oleh al-Qazzaz bahawa ular tidak memiliki bulu di kepalanya, maka barangkali yang dimaksudkan adalah kulit kepalanya telah hilang. Dalam kitab Tahzib al-Azhari dikatakan. “Dinamakan ular yang licin kulit kepalanya kerana ia memperbanyak racun serta mengumpulkannya di kepalanya hingga bulu yang ada di kulit kepalanya hilang”. Al-Qurtubi berkata, “Ular yang licin kulit kepalanya adalah ular yang kepalanya nampak memutih (berkilat) kerana racun, sedangkan manusia yang botak adalah orang yang tidak ada rambut di kepalanya.” (Lihat Fath al-Bari, 4/493)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”