#6507: Dua Golongan Boleh Dihasad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah umat Islam boleh berhasad kepada orang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam tidak membenarkan hasad bahkan ia sifat yang tercela. Begitu juga kita diminta memohon pertolongan daripada Allah supaya dijauhkan golongan yang sentiasa berhasad. Firman Allah SWT:

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”

(Surah al-Falaq: 5)

Al-Syaukani berkata: Hasad adalah harapan agar kenikmatan yang diberikan Allah kepada seseorang dapat hilang daripadanya. (Lihat Fath al-Qadir, 5/661)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith Nabi SAW, sepertimana dalam riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الحَقِّ، وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً، فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

Maksudnya: “Tidak boleh ada perasaan hasad dengki melainkan kepada dua golongan; iaitu seorang lelaki yang Allah SWT berikan kepadanya harta, lalu dia belanjakan harta tersebut sehingga habis pada jalan kebenaran, dan seorang lelaki yang mana Allah SWT kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan, lalu dia membuat keputusan berdasarkan kebijaksanaan tersebut dan juga mengajarkannya kepada orang lain.”

Riwayat al-Bukhari (73) (1409)

Sebahagian ulama’ menafsirkan maksud hasad di sini ialah ghibtah iaitu ingin mendapat sebagaimana diperolehi orang tersebut tanpa menghilangkan hak orang tersebut.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Maksud ghibtah adalah, seseorang berharap mendapatkan apa (nikmat) yang ada pada orang lain tanpa menginginkan hilangnya nikmat dari orang tersebut. Sebaliknya hasad adalah sifat yang terdapat dalam diri seseorang, sehingga dia menginginkan hilangnya nikmat yang dimiliki orang lain.

Sebahagian orang berpendapat bahawa hasad adalah menginginkan hilangnya nikmat dari orang lain untuk menjadi miliknya sendiri. Akan tetapi pendapat yang benar adalah yang mengatakan bahawa hasad adalah bersifat umum. Hal ini disebabkan kerana manusia mempunyai tabiat selalu ingin mengungguli orang lain sehingga apabila dia melihat orang lain memiliki sesuatu yang tidak dimilikinya, maka dia akan berharap agar benda itu lepas dari tangannya, dengan demikian ia akan lebih unggul atau paling tidak dapat menyamainya. Orang yang mempunyai sifat seperti ini adalah orang yang tercela, jika hal itu terdetik dalam hati atau diungkapkan dengan perkataan dan perbuatannya. Oleh kerana itu, sifat tersebut hendaklah dijauhi sebagaimana larangan-larangan yang lain.

Sifat hasad dibolehkan jika nikmat tersebut dimiliki oleh orang kafir atau fasik yang dijadikan sebagai alat untuk melakukan maksiat kepada Allah. Ini adalah definisi hasad secara umum.

Adapun yang dimaksud dengan hasad dalam hadis di atas adalah ghibtah. Maksud ghibtah adalah perasaan ingin memiliki sesuatu yang dimiliki orang lain tanpa ada perasaan ingin menghilangkannya dari pemiliknya. Hal seperti ini juga disebut dengan persaingan yang jika dilakukan untuk ketaatan, maka termasuk perbuatan yang mulia sebagaimana firman Allah: ‘فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ’ (“Dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.”) (Surah al-Mutaffifin: 26)

Sedangkan jika persaingan itu dilakukan untuk kemaksiatan, maka termasuk perbuatan yang tercela sebagaimana firman Allah, ‘وَلَا تَنَافَسُوا’ (“Janganlah kalian berlumba-lumba.“) Tetapi jika dilakukan dalam hal- hal yang dibolehkan, maka hukumnya adalah mubah (boleh). Dari sini seakan-akan Rasulullah bersabda dalam hadis ini, “Tidak ada persaingan yang lebih utama daripada persaingan dalam dua hal berikut, iaitu: Ilmu dan kebaikan.”

Pembatasan pada dua hal tersebut (ilmu dan kebaikan) disebabkan ketaatan kepada Allah dapat berupa ketaatan fizikal dan harta atau harta dan fizikal. Dalam hadis di atas, Nabi telah mengisyaratkan ketaatan dalam bentuk fizikal, iaitu dalam sabdanya: “Dan orang yang diberi Allah hikmah kemudian digunakannya dengan baik dan diajarkannya.” Juga dalam hadits yang diriwayatkan Ibnu Umar: ‘رَجُل آتَاهُ اللَّه الْقُرْآن فَهُوَ يَقُوم بِهِ آنَاء اللَّيْل وَآنَاء النَّهَار’ (“Dan orang yang diberi Allah al-Qur’an kemudian dia mengamalkannya sepanjang malam dan siang.”) (Lihat Fath al-Bari, 1/119)

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”

(Surah al-Falaq: 1-5)