Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah riya’ dalam bersedekah boleh menghilangkan pahala sedekah tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
(Surah al-Baqarah: 261-262)
Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)
Sayyid Qutb berkata: Al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan ia tidak berkurang tetapi bertambah. Kemudian rasa ingin memberi dirangsangkan lagi dengan pemandangan tanaman yang banyak memberikan hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda, yang tidak terhingga dan tidak terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapa pun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada sesiapa mengetahui batas sempadannya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan di sini, sepertimana yang disebut oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, di mana diletakkan satu tajuk, ‘بَابُ الرِّيَاءِ فِي الصَّدَقَةِ’ (Bab: Riya’ Dalam Bersedekah). Kemudian beliau mengemukakan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِّمَّا كَسَبُوا ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 264)
Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Lafaz “صَلْدًا” ertinya tidak ada sesuatu apa pun di atas permukaannya.” Manakala ‘Ikrimah pula berkata: “Lafaz “وَابِلٌ” ertinya hujan lebat dan lafaz “الطَّلُّ” pula ertinya embun. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/426)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberitahukan bahawa pahala sedekah itu dapat gugur kerana menyebut-nyebutnya dan menyakiti orang yang diberi sedekah. Menyebut-nyebut dan menyakiti si penerima sedekah boleh menghapuskan pahala, seperti terhapusnya pahala orang bersedekah disebabkan ingin dipuji orang lain. Dia memperlihatkan sedekahnya di hadapan orang ramai seakan-akan mengharapkan redha Allah, sedangkan sesungguhnya dia mengharapkan pujian daripada orang lain, atau ingin dikenali sifat-sifat kebaikannya. Dia ingin agar orang lain berterima kasih kepadanya, atau ingin dikatakan sebagai orang yang dermawan dan tujuan-tujuan dunia yang lain. Orang yang riya sesungguhnya tidak menghendaki sedekahnya itu diredhai Allah dan memperoleh limpahan pahala. Dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat sehingga menjadikan sedekah orang yang riya itu terhapus.
Firman Allah, ‘فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا’ (Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).) Inilah perumpamaan tentang tidak akan diterimanya sedekah dari orang yang riya’ dan suka mengungkit-ungkit serta pemberian yang menyakitkan. Tidak diterimanya amalan sedekah mereka seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah bersih batu itu.
Perkataan ‘صَفْوَانٍ’ bermaksud batu yang licin. Perkataan ‘وَابِلٌ’ bermaksud hujan yang sangat lebat. Adapun perkataan ‘صَلْدًا’ bermaksud batu yang licin, yang tidak berdebu sedikit pun. Pada permukaan batu yang licin hanya ada sedikit debu. Jika ada hujan lebat yang menimpa, maka air hujan akan menghilangkan debu tersebut. Akhirnya batu tersebut menjadi bersih dan licin, tidak ada debu sedikit pun. Demikianlah sedekah orang yang riya dan suka menyebut-nyebut pemberiannya, akan dihapus sendiri oleh perbuatannya tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/253)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”