Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar sebuah hadis yang menyatakan, tangan yang tinggi lebih mulia daripada yang rendah. Apakah maksudnya dan boleh syarahkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 265)
Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT “كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ” (seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi) Maksudnya seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama’. Rabwah bermaksud tanah tinggi. Ibn Abbas dan al-Dahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/328)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohon dan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.
Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)
Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”
Surah Saba’ (39)
Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW, sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَهُوَ عَلَى المِنْبَرِ، وَذَكَرَ الصَّدَقَةَ، وَالتَّعَفُّفَ، وَالمَسْأَلَةَ: ” اليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى، فَاليَدُ العُلْيَا: هِيَ المُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى: هِيَ السَّائِلَةُ “
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika berada di atas mimbar, dan menyebutkan mengenai sedekah, memelihara harga diri dan meminta-minta, Baginda bersabda: “Tangan yang berada di atas adalah lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang berada di atas ialah tangan yang memberi, manakala tangan yang berada di bawah ialah tangan yang meminta-minta (menerima).”
Riwayat al-Bukhari (1429)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:
Hadis-hadis yang ada saling menyokong dan menyatakan bahawa tangan di atas adalah pemberi dan yang di bawah adalah peminta. Inilah pendapat jumhur ulama.
Sebahagian mengatakan, tangan di bawah adalah yang menerima sedekah, sama ada didahului dengan meminta atau tidak. Tetapi pendapat ini tidak disetujui oleh sebahagian ulama dengan alasan bahawa sedekah jatuh ke tangan Allah sebelum sampai ke tangan penerimanya.
Ibn al-’Arabi berkata, “Kesimpulannya, bahawa tangan di bawah adalah tangan peminta. Adapun tangan penerima tidaklah demikian, kerana tangan Allah adalah pemberi dan penerima sekaligus, dan keduanya sama-sama kanan.”
Pernyataan ini perlu dianalisis lebih lanjut, kerana pembahasan di sini hanya berkisar tangan manusia. Adapun tangan Allah SWT ditinjau dari sisi bahawa Dia memiliki segala sesuatu, maka dikatakan sebagai pemberi. Apabila ditinjau dari sisi penerimaan-Nya terhadap sedekah serta keredhaan-Nya, maka tangan Allah dikatakan sebagai penerima, dan tangan-Nya berada di atas segala keadaan.
Sedangkan tangan manusia terbahagi menjadi empat jenis:
Pertama, tangan pemberi, iaitu tangan yang di atas seperti yang telah disebutkan dalam pelbagai hadis.
Kedua, tangan yang meminta, iaitu tangan yang di bawah, sama ada mengambil pemberian mahu pun tidak sebagaimana disebutkan dalam hadis.
Ketiga, tangan yang memelihara untuk tidak mengambil pemberian meskipun tangan pemberi telah dihulurkan kepadanya. Tangan ini dikatakan “tangan di atas” secara maknawi.
Keempat, tangan penerima tanpa meminta. Jenis ini telah diperselisihkan oleh para ulama. Sebahagian mereka mengatakan bahawa tangan ini termasuk “tangan di bawah”. Pendapat ini berdasarkan kepada perkara secara hakiki. Adapun secara maknawi, boleh sahaja dikatakan “tangan di atas” dalam sebagian keadaan. Dengan demikian, dapat difahami bahawa pendapat merekalah yang menggolongkannya sebagai “tangan di atas”.
Ibn Hibban berkata, “Tangan pemberi lebih utama daripada tangan yang meminta, tetapi tidak lebih utama daripada tangan penerima yang tidak meminta, sebab mustahil apabila tangan yang diberi hak menerima sesuatu berada di bawah tangan yang melakukan sesuatu kerana suatu kewajiban atasnya, atau dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT secara sukarela. Mungkin sahaja tangan yang mengambil apa yang dibolehkan lebih utama daripada tangan pemberi.” Diriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri bahawa tangan di atas adalah pemberi, sedangkan tangan di bawah adalah yang tidak memberi, namun tidak ada ulama lain yang menyetujuinya.
Kesimpulan dari athar-athar terdahulu adalah, bahawa tangan paling atas adalah yang memberi, kemudian tangan yang menjaga diri untuk tidak mengambil, lalu tangan yang mengambil tanpa didahului permintaan, dan tangan paling bawah adalah tangan yang meminta serta tidak mahu memberi. (Lihat Fath al-Bari, 5/28)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”