#6516: Bersetubuh Perlu Mandi Wajib?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa setelah berhadas kecil atau hadas besar atau bernajis hanya cukup menyucikan tempat terkena najis beserta niat istinjak dan boleh bersolat tetapi kenapa suami isteri setelah bergaul bersama/jimak perlu mandi wajib atau menyucikan seluruh tubuh baru boleh bersolat sedangkan ianya tidak najis.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisa’: 43)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Begitu juga, firman Allah SWT:

 وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila sepasang suami isteri melakukan hubungan intim (bersetubuh), maka mereka dikira dalam hadas besar. Maka, apabila dalam hadas besar, wajib untuk mereka mandi wajib bagi mengangkat hadas besar tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT yang telah kami jelaskan di atas.

Selain itu, dari sudut sains, hakikatnya terdapat banyak hikmah dari mandi wajib ini. Antaranya:

  • Berjunub membuat seseorang itu segan dan malas. Mandi dapat memperbaharui kecergasan. Oleh kerana itu, berkenaan mandi junub ini, Abu Zar R.A berkata: “la seolah-olah aku telah mencampakkan satu beban.”
  • Para doktor juga telah menerangkan bahawa mandi selepas bersetubuh dapat mengembalikan kekuatan badan dan menggantikan apa yang telah dibuang. Ia adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan untuk badan dan roh. Mengabaikan suruhan mandi akan memberi kesan buruk kepada kita. Memadailah dengan melihat kesannya kepada badan dan akal.
  • Sekiranya Allah SWT mensyariatkan juga mandi kerana keluar air kencing, nescaya itu akan menimbulkan kesulitan dan kerumitan kepada umat dan ia seolah-olah menyekat hikmah, rahmat dan ihsan Allah SWT terhadap hamba-Nya. Adapun kesukaran untuk mandi selepas bersetubuh tidak menjadi masalah besar kerana persetubuhan tidaklah seperti kerapnya kencing.
  • Kesukaran sebegini seolah-olah boleh menjadi kawalan terhadap manusia supaya tidak melampau dalam perhubungan seks. Lagi pun bahayanya memang tidak dapat dinafikan lagi.
  • Orang Islam tidak hidup semata-mata untuk melayan syahwat dan nafsunya, tetapi kerana risalah Allah SWT. Dalam setiap apa yang dilakukan, pasti ada hak Allah SWT. Dalam persetubuhan, pasangan suami isteri telah menunaikan hak dirinya dan hak pasangannya (dengan menunaikan nafkah batin). Yang tinggal ialah hak Allah SWT dan ia akan tertunai dengan mandi junub.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”