#6518: Berkira-kira dalam Bersedekah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita dilarang berkira-kira dalam bersedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

Surah Saba’ (39)

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith Nabi SAW, sepertimana dalam riwayat Asma’ R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda kepadaku:

لاَ تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ» حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، عَنْ عَبْدَةَ، وَقَالَ: «لاَ تُحْصِي فَيُحْصِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ»

Maksudnya: “Janganlah kamu menahan harta (tidak memberi sedekah), nanti punca rezeki kamu akan diputuskan.”

Uthman bin Abi Syaibah menyampaikan kepada kami, daripada ‘Abdah, dan katanya: “Janganlah engkau berkira-kira untuk bersedekah, kerana nanti Allah akan menghitung ke atas engkau pemberian nikmatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1433)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Makna lafaz al-Ihsa’ (الْإِحْصَاءُ) adalah mengetahui kadar sesuatu dengan menimbang atau mengukur. Adapun makna hadis adalah; larangan untuk tidak mengeluarkan sedekah kerana takut akan habis, bahkan perbuatan itu merupakan penyebab paling besar dalam memutuskan keberkatan, kerana Allah SWT memberi balasan atas apa yang diberikan tanpa perhitungan. Barangsiapa diberi tanpa batas, seharusnya tidak menghitung-hitung ketika memberi. Barangsiapa mengetahui bahawa Allah memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka, maka selayaknya dia memberi tanpa menghitung-hitung.

Sebahagian mengatakan bahawa maksud lafaz al-Ihsa’ (الْإِحْصَاءُ) adalah mengumpulkan dan menyimpan tanpa menyedekahkan sebahagian darinya. Adapun al-Ihsa’ (الْإِحْصَاءُ) dari Allah SWT adalah memutuskan keberkatan, menahan rezeki, atau meminta pertanggungjawaban di akhirat. (Lihat Fath al-Bari, 5/35)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”