Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Abang saya berkahwin dan isteri dia mempunyai 3 orang anak, bermaksud abang saya ada 3 orang anak tiri, secara tidak langsung saya telah menjadi bapa saudara kepada anak tiri abang saya. Persoalan saya adalah apakah hukum saya menikahi anak saudara saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, sikap saudara memberi bantuan dan pertolongan serta menunjukkan ihsan kepada anak-anak saudara tiri adalah amat mulia dan terpuji dan ini termasuk dalam nas Ilahi:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Al-Sabuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa hubungan seseorang dengan anak-anak tiri abangnya yang berlainan jantina adalah seperti mana hubungan antara seorang lelaki dengan wanita ajnabiyyah. Ini kerana tidak ada sebarang ikatan mahram di antara mereka. Oleh itu, wajib menutup dan menjaga aurat sesama mereka, tidak boleh mereka berdua-duaan dan tidak boleh bersalaman. Begitu juga dibolehkan atau halal untuk seseorang itu berkahwin dengan anak tiri abangnya.
Penjelasan berkenaan wanita yang dilarang untuk dikahwini ke atas seseorang lelaki dan juga wanita yang boleh dikahwininya ada disebutkan dalam ayat 23-24 Surah al-Nisa’. Firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٢٣ ۞ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ فَمَا ٱسْتَمْتَعْتُم بِهِۦ مِنْهُنَّ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةًۭ ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَٰضَيْتُم بِهِۦ مِنۢ بَعْدِ ٱلْفَرِيضَةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًۭا ٢٤
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Nisa’: 23-24)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ayat-ayat yang mulia ini mengandungi perincian tentang wanita-wanita yang haram dinikahi kerana hubungan darah, kerana penyusuan, kerana perkahwinan, serta kerana terhimpunnya (dua wanita sekali gus), dan juga wanita-wanita yang dihalalkan untuk dinikahi. Wanita-wanita yang haram dinikahi kerana hubungan darah ada tujuh orang yang disebutkan oleh Allah SWT, iaitu; ibu, yang termasuk di dalamnya semua wanita yang menjadi sebab kelahiranmu walaupun jauh. Kemudian anak perempuan, dan termasuk dalam makna anak perempuan adalah setiap orang yang engkau menjadi penyebab kelahirannya. Kemudian saudara perempuan sekandung, sebapa, atau seibu. Kemudian, makcik sebelah bapa (adik-beradik perempuan ayah) merangkumi semua adik-beradik perempuan ayah atau datukmu dan seterusnya ke atas. Kemudian, makcik sebelah ibu (adik-beradik perempuan ibu) merangkumi semua adik-beradik perempuan ibumu atau nenekmu dan seterusnya ke atas yang menjadi ahli waris ataupun tidak. Kemudian, anak-anak perempuan adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan adik-beradik perempuan dan seterusnya ke bawah. Mereka semua itu adalah wanita-wanita yang haram dinikahi kerana hubungan darah menurut ijma‘ para ulama, sebagaimana nas ayat yang mulia di atas. Manakala selain daripada mereka termasuk dalam firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ
Maksudnya: “Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu.”
(Surah al-Nisa’: 24)
Demikian itu adalah seperti anak perempuan makcik sebelah bapa, anak perempuan pakcik sebelah bapa, anak perempuan pakcik sebelah ibu dan anak perempuan makcik sebelah ibu — yakni sepupu adalah halal untuk dikahwini. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/173).
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa anak-anak tiri abang tidak termasuk dalam kalangan yang haram untuk dinikahi, sebaliknya dia boleh untuk menikahi anak-anak tiri abangnya itu. Ini kerana pada asalnya anak-anak itu langsung tidak ada pertalian dengannya mahupun ikatan mahram, tidak dari segi hubungan darah, hubungan susuan, mahupun persemendaan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)