#6520: Keutamaan Antara Melunaskan Hutang dan  Melaksanakan Ibadah Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, seseorang yang menunaikan ibadah korban tetapi hutang duit tidak mahu bayar dengan pelbagai alasan sehingga bertahun-tahun? Apakah pandangan Dato’ berkaitan isu ini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan hukum melakukan ibadah korban, terdapat beberapa pandangan ulama’ dalam isu ini. Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ berbeza pendapat tentang kewajiban korban ke atas orang yang berkemampuan. Sebahagian besar ulama’ berpendapat bahawa korban itu sunat bagi orang yang mampu. Jika tidak melakukannya tanpa sebarang keuzuran, maka dia tidak berdosa dan tidak harus menggantikannya. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa korban itu wajib ke atas orang yang mampu. (Lihat al-Minhaj, 13/110)

Antara ulama’ yang berpendapat wajibnya ibadah korban kepada yang mampu ialah Imam Abu Hanifah, al-Qadhi Abu Yusuf dalam salah satu pendapatnya, Rabi’ah, al-Laith bin Sa’ad, al-Auza’i, al-Thauri dan Imam Malik dalam salah satu pendapatnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/77)

Mereka berdalilkan – antaranya – dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (rezeki) dan tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.”

Riwayat Ibn Majah (3123) dan Ahmad (14/24)

Namun majoriti ulama’ berpendapat bahawa hukum menyembelih korban adalah sunat muakkad. Pendapat ini merupakan pendapat ulama’ Syafi’iyyah, Hanabilah, pendapat yang paling kuat daripada Imam Malik dan salah satu pendapat daripada Abu Yusuf. Ini juga merupakan pendapat Saidina Abu Bakar, Saidina ‘Umar, Bilal, Abu Mas’ud al-Badri, Suwaid bin Ghafalah, Sa’id bin al-Musayyib, ‘Ata’, ‘Alqamah, al-Aswad, Ishaq, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/77)

Mereka berdalilkan – antaranya – dengan sabda Nabi SAW:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِى الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّىَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya: “Jika masuk bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin menyembelih korban, maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya.”

Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2791), al-Tirmizi (1523), al-Nasaie (4361), Ibn Majah (3150) dan Ahmad (26654)

Berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Imam al-Syafi’i menyebut: “Dalil di atas menunjukkan bahawa hukum korban itu tidak wajib. Kerana dalam hadith digunakan lafaz ‘أَرَادَ’ (sesiapa yang mahu). Seandainya menyembelih korban itu wajib, maka cukuplah Nabi SAW menyatakan, “Maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya sehinggalah dia melakukan korban.” (Lihat al-Majmu’, 8/217)

Imam al-Nawawi kemudian menyebut: Menurut Mazhab Syafi’i dan mazhab majoriti ulama’, hukum korban adalah sunat muakkad bagi yang senang untuk melakukannya (mempunyai kelapangan rezeki) dan ia tidak wajib.” (Lihat al-Majmu’, 8/217) Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: “Jika seseorang meninggalkannya tanpa uzur, dia tidaklah berdosa dan tidak perlu qadha’ (mengganti). (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/109)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara melakukan ibadah korban dan melangsikan hutang, seseorang individu perlu melunaskan hutangnya terlebih dahulu sebelum menjalankan amalan-amalan sunat yang lain. Ini kerana membayar hutang adalah wajib manakala, melakukan ibadah korban adalah sunat sebagaimana yang diterangkan di atas.

Ia juga melibatkan hak sesama manusia yang akan dipertanggungjawabkan kelak. Malah, individu yang mempunyai hutang tidak akan diampuni dosanya kecuali dia telah melunaskan hutang tersebut. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada  Abdullah Bin Amru bahawa Nabi SAW bersabda:

الْقَتْلُ فِي سَبِيلِ اللهِ يُكَفِّرُ كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا الدَّيْنَ

Maksudnya: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).”

Riwayat Muslim (1882)

Imam al-Nawawi berkata: Sabda Nabi SAW ‘إِلَّا الدَّيْنَ’ (kecuali hutang), di dalamnya terdapat peringatan terhadap semua hak Bani Adam. Bahawa jihad dan mati syahid dan selain dari dua amalan kebaikan tidak dapat menghapus hak Bani Adam. Akan tetapi dapat menghapuskan hak Allah SWT.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/209)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Adapun hadith yang lain yang sahih, bahawa orang mati syahid itu diampunkan seluruh dosanya kecuali hutang. Dapat diambil pelajaran bahawa mati syahid itu tidak dapat menghapuskan hak orang. Sedangkan adanya hak orang pada dirinya, tidak menghalangnya memperoleh darjat syahid. Tidak ada makna syahadah melainkan bahawa Allah memberikan kepada orang yang mendapat syahadah dengan pahala khusus. Dimuliakan dengan kemuliaan yang lebih.

Sesungguhnya di dalam hadith telah dijelaskan bahawa Allah mengampunkan (semua dosa) kecuali yang ada bersangkut (dengan hak manusia). Jika orang yang mati syahid itu mempunyai amalan-amalan soleh, dan syahadah dapat menghapuskan keburukan selain daripada yang bersangkut dengan hak, maka amalan-amalan soleh akan bermanfaat dalam timbangan (untuk menghapuskan) yang bersangkut dengan hak itu. Sehingga akhirnya darjat syahadah akan tetap (diperoleh) dengan sempurna. Jika tidak mempunyai amalan soleh, maka hal itu tergantung (pada keputusan Allah). Wallahu a’lam. (Lihat Fath al-Bari, 10/193)

Bahkan disebutkan dalam hadith bahawa roh seseorang itu akan tergantung dengan sebab hutangnya. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)

Justeru berdasarkan penerangan di atas,  kami menyatakan bahawa individu yang mempunyai hutang perlu melunaskan hutangnya sebelum memutuskan untuk menjalankan ibadah korban. Ini kerana melunaskan hutang adalah suatu kewajipan. Oleh itu, perkara yang wajib haruslah diutamakan daripada perkara yang sunat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua‘lam.