#6521: Perbezaan Mukim dan Mastautin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah perbezaan bermukim dan bermastautin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bermukim dan bermastautin ini merupakan dua istilah yang amat berkait rapat dengan perbahasan bab kewajipan Solat Jumaat. Kedua-dua ini dibezakan agar umat Islam jelas tentang syarat wajib yang telah ditetapkan oleh para fuqaha’ al-Syafi‘yyah. Al-‘Allamah Ibn Ruslan al-Ramli menyebutkan di dalam Safwah al-Zubad:

وَرَكْعَتَانِ فَرْضُهَا لِمُؤْمِنٍ            كُلِّفَ حُرٍّ ذَكَرٍ مُسْتَوْطِنٍ

“Dan dua rakaat (Solat Jumaat) kefardhuannya ke atas mukmin,

yang telah mukallaf, merdeka, lelaki, yang bermastautin.”

Melihat pada zahir syarat ini, maka timbul tanda tanya dalam kalangan masyarakat, adakah bermakna mereka yang bermukim tidak memenuhi syarat wajib Solat Jumaat ini sehingga memberi kesan kepada syarat 40 orang jemaah. Oleh yang demikian, kami akan cuba memecahkan menerangkan serba ringkas tentang perbezaan kedua-dua istilah ini sahaja.

  • Mukim

Istilah mukim menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah penduduk tetap di sesuatu tempat, tinggal tetap di sana lebih daripada satu musim Haji di Makkah.[1] Menurut takrifan fuqaha’ pula, mukim adalah orang yang tinggal di sebuah negeri yang bukan tempat asalnya. Dia berniat untuk menetap di sesebuah tempat selama empat hari atau lebih, tanpa mengambil kira hari dia tiba di tempat tersebut dan hari dia keluar darinya. Orang itu juga berniat untuk kembali semula ke tempat asalnya meskipun telah bermukim dalam tempoh masa yang lama. Contohnya, seperti lelaki yang masuk ke Basrah dengan niat untuk duduk di sana selama satu tahun, sama ada bagi menuntut ilmu atau berniaga, kemudian dia pulang semula ke tempat asalnya.

Dalam erti kata lain, orang yang bermukim ini bukanlah penduduk asal sesebuah negeri atau tempat itu yang berhasrat untuk kekal di sana, bahkan dia berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/403; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 324)

  • Mastautin

Manakala istilah mastautin ini pula berasal dari kata kerja (اسْتَوْطَنَ – يَسْتَوْطِنُ) yang bererti mengambil suatu tempat itu sebagai tempat asal, atau juga ditakrifkan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat sebagai menetap atau ting­gal di suatu tempat, seperti kita mengatakan: “Keluarga mereka itu sudah turun-temurun di negeri ini.”[2] Fuqaha’ mendefinisikan, mereka adalah penduduk asal di suatu tempat yang tidak berhasrat untuk keluar dari tempatnya itu, sama ada semasa musim panas atau musim sejuk, kecuali jika ada keperluan untuk musafir.

Secara mudahnya, kita boleh katakan bahawa orang yang bermastautin ini adalah penduduk asal sesebuah negeri atau tempat, tanpa sebarang niat untuk berhijrah ke tempat lain melainkan apabila perlu. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 4/151; Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 98; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 324)

Memahami kedua-dua takrifan ini, maka jelaslah perbezaan antara mukim dan mastautin ini adalah pada penetapan status asal seseorang itu, sama ada asal-usulnya memang dari negeri tersebut (mastautin), atau dia adalah orang yang berhijrah dan menetap di negeri orang (mukim).

Adapun implikasi dari kedua-dua konsep ini kepada status Solat Jumaat, sama ada ia sah atau tidak, maka ini diperselisihi dalam kalangan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah sendiri. Ringkasnya, Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (4/503) mengatakan bahawa pandangan yang paling tepat adalah orang yang bermukim itu tidak cukup untuk memenuhi syarat sah 40 orang jemaah dalam Solat Jumaat.

Meskipun begitu, pentarjihan dalam masalah ini wajar untuk dibincangkan dengan lebih terperinci oleh ilmuwan Islam di Malaysia kerana kesukaran dalam menentukan mukim atau mastautin dalam realiti semasa di negara kita. Hal ini bagi memastikan Solat Jumaat itu dapat terus dilaksanakan, dan masyarakat tidak bermudah-mudahan serta memandang ringan akan kewajipannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mukim&d=41812&#LIHATSINI. Diakses pada 24 Julai 2024.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mastautin. Diakses pada 24 Julai 2024.