#6527: Gunung yang Mencintai Rasul

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat gunung yang mencintai Rasul dan Rasul mencintainya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bukit Uhud adalah salah sebuah bukit terbesar dan terpanjang di Madinah. Kedudukannya di bahagian utara Madinah iaitu kira-kira 5 km dari pusat bandar. Di tempat inilah berlakunya peperangan sengit di antara tentera Islam dan tentera musyrikin dari Makkah, yang dinamakan Perang Uhud. (Lihat Sejarah Madinah, hlm. 124)

Dari segi ukuran, Gunung Uhud memiliki lebar antara 2 hingga 3 kilometer, dengan panjang sekitar 7.5 kilometer, dan terletak pada ketinggian sebanyak 3,533 kaki atau setara dengan 1,077 meter.[1]

Dalam menjawab persoalan di atas, benar sekali. Daripada ‘Abbas (bin Sahl), daripada bapanya, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

أُحُدٌ جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Maksudnya: “Uhud ialah gunung yang mencintai kita dan kita mencintainya.”

Riwayat al-Bukhari (1482)

Selain itu, terdapat juga beberapa hadith lain yang menyebut berkenaan Gunung Uhud. Antaranya, daripada Anas bin Malik RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika melihat ke arah bukit Uhud:

هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَإِنِّي حَرَّمْتُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا

Maksudnya: “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).”

Riwayat al-Bukhari (3367)

Daripada Abu Humaid RA berkata, kami pulang bersama Rasulullah SAW dari peperangan Tabuk sehingga kami sudah tiba di Madinah, maka telah bersabda Nabi SAW:

هَذِهِ طَابَةُ، وَهَذَا أُحُدٌ، جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Maksudnya: “Ini adalah Kota yang baik dan ini adalah Uhud iaitu bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.”

Riwayat al-Bukhari (4422)

Menurut Imam al-Nawawi pendapat yang sahih dan terpilih dalam memahami makna hadith bahawa sesungguhnya bukit Uhud itu benar-benar mencintai kita. Allah SWT telah menjadikan padanya (Uhud) satu keistimewaan kepadanya sepertimana firman Allah SWT:

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah.”

(Surah al-Baqarah: 74)

Perkara ini juga boleh disamakan batang kering yang bersimpati, kemudian seperti batu yang bertasbih dan juga seperti larinya batu dengan pakaian Nabi Musa AS. Selain itu, sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنِّي لَأَعْرِفُ حَجَرًا بِمَكَّةَ كَانَ يُسَلِّمُ عَلَيَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mengetahui ada sebuah batu di kota Makkah yang memberi salam ke atas aku.”

Riwayat Muslim (2277)

Demikian adalah sebahagian kata-kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tentang bukit Uhud. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/139-140)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata:

Al-Suhaili berkata, “Dinamakan Uhud (satu) kerana lokasinya yang menyendiri dan terpisah daripada gunung-gunung lain yang ada di sekitarnya. Atau kerana kemenangan tauhid yang berlaku pada mereka yang ada di sisinya.

Ucapannya, ‘هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ’ (Ini adalah gunung yang menyukai kami dan kami menyukainya). Pada riwayat berikutnya diketahui bahawa Nabi SAW mengucapkan kalimat tersebut ketika melihat gunung Uhud, ketika kembali dari menunaikan haji. Dalam riwayat Abu Humaid disebutkan, bahawa Baginda mengucapkan itu kepada mereka ketika kembali dari Tabuk dan melihat Madinah di atas tempat tinggi dari kejauhan. Ketika itu Baginda bersabda, “Ini adalah Tabah.” Ketika melihat Uhud Baginda bersabda, “Ini adalah gunung yang menyukai kami dan kami menyukainya.” Seakan-akan Baginda mengucapkan sabdanya itu beberapa kali dalam masa yang berbeza.

Para ulama memiliki beberapa pendapat tentang makna sabda Nabi SAW tersebut, antaranya:

Pertama, ada kalimat yang tidak disebutkan (dibuang mudhaf), di mana seharusnya adalah “penghuni Uhud”, iaitu kaum Ansar, kerana mereka adalah ‘jiran’ Uhud.

Kedua, Baginda mengucapkan hal itu sebagai ungkapan kegembiraan, di mana Baginda datang dari perjalanan musafir yang cukup jauh, dan kini telah dekat dengan keluarga serta tempat tinggal mereka. Ini adalah perbuatan orang yang menyukai apa yang ada di sekitar mereka yang disukai.

Ketiga, kesukaan keduanya difahami sesuai dengan makna yang sebenarnya. Kerana Uhud termasuk gunung syurga seperti yang disebut dalam hadis Abu ‘Abs bin Jabr, daripada Nabi SAW: ‘جَبَل أُحُدٍ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ وَهُوَ مِنْ جِبَالِ الْجَنَّةِ ’ (Gunung Uhud menyukai kami dan kami menyukainya, dan ia termasuk gunung syurga). Hadis ini diriwayatkan Imam Ahmad. Tidak ada halangan apabila suatu negeri memiliki rasa suka sebagaimana halnya mereka juga bertasbih. Bahkan Nabi SAW pernah berbicara kepadanya sebagaimana layaknya makhluk berakal. Baginda SAW bersabda ketika ia bergoncang, ‘اُسْكُنْ أُحُد’ (“Tenanglah wahai Uhud”).

Al-Suhaili berkata, “Baginda SAW menyukai harapan yang bagus dan nama yang bagus. Sementara tidak ada nama yang lebih bagus berbanding nama yang diambil daripada perkataan al-Ahadiyyah (الْأَحَدِيَّةِ) (keesaan).” Dia melanjutkan, “Meskipun perkataan itu berasal daripada perkataan al-Ahadiyyah (الْأَحَدِيَّةِ), namun baris huruf-hurufnya adalah rafa’ (dhammah). Ini menunjukkan tinggi dan mulianya agama yang esa. Maka kesukaan dan kecintaan Nabi SAW terkait dengannya secara lafaz dan makna. Oleh kerana itu, Uhud diberi kekhususan di antara gunung-gunung dengan hal tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 11/418)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

 

Nota Hujung:

[1] https://thepilgrim.co/ms/mount-uhud/