#6530: Suami Berjimak Dengan Isteri Kedua Semasa Giliran Isteri Pertama yang Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila seorang suami itu mempunyai 2 isteri, dan isteri pertama didatangi haid semasa malam gilirannya, adakah dibenarkan untuk suami pergi ke rumah isteri kedua untuk bersama?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melihat persoalan yang saudara ajukan ini, kami dapati terdapat beberapa isu yang boleh dibincangkan agaria dapat diselesaikan dengan cara yang lebih murni.

Pertamanya, setiap isteri mempunyai hak untuk mendapat giliran masing-masing sepertimana yang telah ditetapkan oleh syara‘ bagi setiap lelaki yang berpoligami. Meskipun begitu, hukumnya adalah sunat sahaja dan bukan wajib ke atas suami. Al-Khatib al-Syirbini ketika menghuraikan kalam Imam al-Nawawi berkata, sesiapa yang bermalam di rumah sebahagian dari isterinya, sama ada dengan undian atau sebagainya, maka dia juga mesti bermalam bersama isteri yang lain meskipun si suami itu mati pucuk, mandul atau sakit. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ امْرَأَتَانِ، يَمِيلُ لِإِحْدَاهُمَا عَلَى الأُخْرَى، جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ أَحَدُ شِقَّيْهِ مَائِلٌ

Maksudnya: “Siapa yang mempunyai dua isteri, dan dia memberatkan salah seorang ke atas yang lainnya, maka dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan satu bahunya senget.”

Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969), dan Ahmad (7936)

Ini juga merupakan bukti bahawa sebarang keuzuran dan sakit tidak menggugurkan pembahagian giliran hari. Inilah pendapat yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi‘iyyah. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/440; Mughni al-Muhtaj, 4/413)

Kedua, sekiranya suami berkeinginan untuk melunaskan syahwatnya terhadap isterinya yang didatangi haid, Islam masih membenarkan hal tersebut dengan diletakkan beberapa had tertentu agar mereka tidak terlanjur melakukan persetubuhan yang dilarang oleh syara‘ semasa haid. Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Di dalam ayat ini, zahirnya Islam menuntut si suami untuk menjauhi isteri yang didatangi haid. Akan tetapi, tegahan ini bukanlah difahami secara literalnya sahaja, iaitu mereka perlu duduk pada jarak yang jauh. Sebaliknya, terdapat had yang perlu suami tahu sekiranya dia tetap ingin menggauli isterinya semasa haid. Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha:

كَانَتْ إِحْدَانَا إِذَا كَانَتْ حَائِضًا، فَأَرَادَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبَاشِرَهَا. أَمَرَهَا أَنْ تَتَّزِرَ فِي فَوْرِ حَيْضَتِهَا، ثُمَّ يُبَاشِرُهَا، قَالَتْ: وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ، كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ

Maksudnya: “‘Apabila salah seorang daripada kami (isteri-isteri Nabi SAW) didatangi haid, lalu Rasulullah SAW ingin bermesra dengannya, Baginda menyuruhnya supaya memakai kain haidnya kemudian barulah Baginda bermesra dengannya.’ Kemudian ‘Aisyah berkata: ‘Siapakah antara kamu dapat mengawal nafsu seperti kemampuan Nabi SAW mengawal nafsu?’”

Riwayat al-Bukhari (302) dan Muslim (293)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, bermesra di sini bukanlah merujuk kepada jimak, akan tetapi ia adalah bersentuh-sentuhan antara suami dan juga isteri. Kain haid yang dimaksudkan di sini adalah kain yang diikatkan pada badan, dan para fuqaha’ menghadkannya di antara pusat dan lutut sebagaimana yang dilakukan oleh adat kebiasaan setempat. (Lihat Fath al-Bari, 1/404)

Sekiranya si suami dapat memahami hukum ini dengan baik, maka alangkah baiknya jika dia lebih mengutamakan giliran isteri pertama berbanding terus pergi ke rumah isteri kedua. Ini juga salah satu sifat ihsan dan pergaulan baik yang dituntut oleh syara‘, sebagaimana firman-Nya:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu‘asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumah tangga.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Ketiga, suami dibenarkan untuk pergi ke rumah isteri-isteri lain pada hari yang bukan giliran mereka, dengan syarat dia tidak melakukan jimak bersama mereka. Pernah diceritakan oleh Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha kepada ‘Urwah bin al-Zubair R.A:

يَا ابْنَ أُخْتِي، كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُفَضِّلُ بَعْضَنَا عَلَى بَعْضٍ فِي الْقَسْمِ مِنْ مُكْثِهِ عِنْدَنَا، وَكَانَ قَلَّ يَوْمٌ إِلاَّ وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا جَمِيعًا فَيَدْنُو مِنْ كُلِّ امْرَأَةٍ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ حَتَّى يَبْلُغَ إِلَى الَّتِي هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتُ عِنْدَهَا

Maksudnya: “Wahai anak saudara perempuanku, sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah melebihkan sebahagian kami (isteri-isteri Baginda) ke atas sebahagian lainnya dalam giliran bermalam bersama kami. Baginda bertemu dengan kami hampir setiap hari, menghampiri setiap isteri Baginda tanpa dia menggauli mereka sehinggalah sampai kepada isteri yang mana pada hari tersebut adalah gilirannya, lalu Baginda menghabiskan malam tersebut bersamanya.”

Riwayat Abu Daud (2135) dan Ahmad (24765). Syeikh al-Albani menilai status sanadnya sebagai hasan sahih.

Imam al-Syafi‘i berkata, suami tidak boleh melakukan jimak atau bermalam dengan isterinya yang lain pada hari yang bukan gilirannya. Imam al-Mawardi pula memperincikan lagi, katanya, suami boleh saja untuk keluar menyelesaikan urusannya pada siang hari kemudian bertemu dengan isteri-isteri lain yang belum tiba giliran mereka. Akan tetapi, dia tidak boleh terus menetap di sana atau duduk untuk satu tempoh yang lama. Cukup sekadar untuk mengetahui keadaan mereka, melihat apa keperluan mereka atau apa yang dia perlukan dari mereka. Dia juga boleh untuk mencium dan memegang mereka, tanpa melakukan persetubuhan.

Tujuan asal ditetapkan giliran ini adalah untuk bermalam dan bukannya sekadar duduk dengan mereka pada siang hari. Sekiranya dia duduk pada siang hari bersama isteri yang gilirannya pada hari tersebut, ia belum cukup untuk menunaikan haknya. Adapun melakukan jimak dengan isteri yang belum tiba gilirannya, perbuatan tersebut tidak dibenarkan kerana itulah apa yang diinginkan dari giliran bermalam. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/577)

Syeikh Taqiyuddin al-Husni berkata, suami yang sengaja berlama-lamaan bertemu dengan isteri lain itu seakan-akan sengaja tidak mahu menunaikan hak giliran isteri yang berhak, sedangkan si suami itu mampu untuk menunaikannya. Ini adalah suatu kezaliman, sedangkan Allah SWT berfirman:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘).”

(Surah al-Baqarah: 228)

Haram juga hukumnya ke atas suami untuk menggauli isteri-isterinya di dalam satu rumah, meskipun ia dilakukan pada satu malam yang sama (dengan tanggapan dia telah berlaku adil), kecuali jika mereka redha akan perbuatan tersebut. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada pergaduhan yang besar sehingga hilangnya ketaatan mereka kepada suami, disebabkan wujud kerenggangan hubungan antara suami dan isteri. Perkara ini telah melanggar perintah agar bergaul dengan isteri-isteri dengan cara yang baik.

Setiap isteri itu berhak mendapat tempat tinggal sendiri, maka mereka tidak boleh dipaksa untuk berkongsi satu kediaman yang sama. Begitu juga pakaian, mereka tidak boleh dibiarkan untuk berkongsi pakaian yang sama. (Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 377)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan di atas, suami tidak boleh pergi ke rumah isteri kedua untuk melakukan persetubuhan pada malam giliran isteri pertama yang didatangi haid; kerana perbuatan tersebut telah menzalimi hak yang sepatutnya diberikan kepada isteri pertama.

Berbeza keadaannya jika isteri pertama itu yang memberikan giliran bermalam tersebut kepada isteri kedua, maka ketika itu barulah si suami boleh bersama dengan isteri kedua tersebut. Ini sebagaimana yang warid dalam sambungan hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha:

وَلْقَدْ قَالَتْ سَوْدَةُ بِنْتُ زَمْعَةَ حِينَ أَسَنَّتْ وَفَرِقَتْ أَنْ يُفَارِقَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَا رَسُولَ اللَّهِ يَوْمِي لِعَائِشَةَ ‏.‏ فَقَبِلَ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْهَا

Maksudnya: “Sungguh Saudah binti Zam‘ah ketika telah lanjut usianya, beliau khuatir akan ditinggalkan Rasulullah SAW, (beliau berkata): ‘Wahai Rasulullah, giliran hariku untuk ‘Aisyah.’ Rasulullah SAW pun menerima hal tersebut.”

Riwayat Abu Daud (2135) dan Ahmad (24765). Syeikh al-Albani menilai status sanadnya sebagai hasan sahih.

Beginilah bagaimana yang diajarkan oleh Islam kepada kita, iaitu kasih sayang dan tolak ansur yang sewajarnya ada dalam diri setiap pasangan suami isteri. Allah SWT telah berfirman:

وَإِنِ ٱمْرَأَةٌ خَافَتْ مِنۢ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًۭا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًۭا ۚ وَٱلصُّلْحُ خَيْرٌۭ ۗ

Maksudnya: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (timbul kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai).”

(Surah al-Nisa’: 128)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini, sekiranya seorang isteri itu khuatir suaminya akan pergi meniggalkannya, dia boleh sahaja melepaskan sebahagian dari haknya seperti nafkah, pakaian, tempat tinggal atau selainnya. Suami juga diberikan keizinan untuk menerima hal tersebut, tidak menjadi satu kesalahan untuk dia menerimanya, begitu juga tidak menjadi kesalahan untuk isteri melakukan perkara tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/377)

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan para suami agar berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi hak-hak isteri, di samping menjaga hati mereka dari dilukai. Islam datang sebagai pembimbing buat kita untuk menuju ke arah kebaikan bersama-sama dengan pasangan serta setiap ahli keluarga kita. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.