Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah sebenarnya kisah di sebalik perintah Allah SWT untuk kita mentaati pemimpin?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan yang diutarakan, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulul amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Pada ayat yang sebelumnya, Allah SWT telah memerintahkan untuk menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan mereka yang diberikan amanah ini mestilah sentiasa berlaku adil dalam menjatuhkan sebarang hukum. Kemudian, di dalam ayat 59 ini pula Allah SWT menuntut agar umat manusia mentaati para pemimpin mereka yang telah diberikan amanah tersebut; kerana ketaatan ini merupakan kesan dari keadilan yang diimplementasi oleh pemimpin tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/96)
Sebab penurunan ayat ini diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Abbas R.A, katanya:
نَزَلَتْ فِي عَبْدِ اللَّهِ بْنِ حُذَافَةَ بْنِ قَيْسِ بْنِ عَدِيٍّ إِذْ بَعَثَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَرِيَّةٍ
Maksudnya: “Ayat ini turun disebabkan Abdullah bin Huzafah bin Qais bin ‘Adi, ketika Nabi SAW mengutusnya (sebagai ketua) untuk sebuah unit tentera.”
Riwayat al-Bukhari (4584) dan Muslim (1834)
Abdullah bin Huzafah bin Qais bin ‘Adi al-Sahmi ini merupakan salah seorang sahabat yang terawal berhijrah ke Habsyah. Beliau juga pernah diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk menyampaikan surat Baginda kepada Raja Kisra. Beliau dahulu pernah pergi ke Syam untuk berjihad, lalu ditawan di Qaisariyah, dan beliau dibawa kepada pemimpin mereka. Pemimpin tersebut cuba memujuknya untuk meninggalkan Islam, namun beliau tetap teguh. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/11)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh al-Dawudi, katanya, perintah Allah SWT untuk mentaati Abdullah bin Huzafah selaku pemimpin ini hanyalah andaian Ibn ‘Abbas R.A semata. Walhal Abdullah bin Huzafah ketika itu marah kepada bala tenteranya dan memerintahkan mereka untuk terjun ke dalam api, tetapi sebahagian dari mereka mereka enggan melakukannya. Sekiranya ayat ini turun sebelum peristiwa tersebut, maka bagaimana ia boleh dikhususkan kepada Abdullah bin Huzafah. Dan sekiranya ia diturunkan selepas peristiwa tersebut, bukankah telah datang perintah Rasulullah SAW: “Ketaatan itu adalah pada perkara yang baik.”
Ibn Hajar menjawab kekeliruan ini seraya berkata, bala tenteranya itu sendiri berselisih sama ada hendak mematuhi arahan Abdullah bin Huzafah atau tidak. Adapun mereka yang hendak mematuhinya, mereka berpegang pada prinsip: “Mematuhi arahan itu hanya pada perkara ketaatan (yang baik).” Manakala mereka yang enggan mematuhinya, mereka terus lari dari dibakar api tersebut. Kemudian sambungan kepada ayat 59 dari Surah al-Nisa’, Allah SWT berfirman:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: “Jika kamu berbeza pendapat dalam sesuatu perkara, maka rujuklah perkara tersebut kepada Kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Maka munasabah diturunkan ayat ini pada peristiwa tersebut sebagai bimbingan kepada mereka apabila timbulnya perselisihan, iaitu kembali kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Yakni, perselisihan tersebut sama ada pada keharusan atau larangan untuk melakukan sesuatu perkara, maka kembalilah kepada al-Quran dan juga al-Sunnah. (Lihat Fath al-Bari, 8/254)
Kesimpulan
Jelas di sini bahawa perintah mentaati pemimpin itu pada asalnya diturunkan kerana berlakunya peristiwa di mana salah seorang pemimpin yang dilantik oleh Rasulullah SAW telah memerintahkan bala tenteranya untuk melakukan suatu perkara yang menyalahi hukum syara‘. Ini diceritakan dalam hadith ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:
بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَرِيَّةً فَاسْتَعْمَلَ رَجُلًا مِنَ الأَنْصَارِ وَأَمَرَهُمْ أَنْ يُطِيعُوهُ، فَغَضِبَ، فَقَالَ: أَلَيْسَ أَمَرَكُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُطِيعُونِي؟ قَالُوا: بَلَى، قَالَ: فَاجْمَعُوا لِي حَطَبًا، فَجَمَعُوا، فَقَالَ: أَوْقِدُوا نَارًا، فَأَوْقَدُوهَا، فَقَالَ: ادْخُلُوهَا، فَهَمُّوا وَجَعَلَ بَعْضُهُمْ يُمْسِكُ بَعْضًا، وَيَقُولُونَ: فَرَرْنَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ النَّارِ، فَمَا زَالُوا حَتَّى خَمَدَتِ النَّارُ، فَسَكَنَ غَضَبُهُ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ، الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ
Maksudnya: “Nabi SAW mengutus suatu pasukan. Kemudian, Baginda melantik seorang lelaki daripada kaum Ansar sebagai ketua dan memerintahkan mereka untuk mentaatinya. (Berlaku suatu hal yang menyebabkan) lelaki itu marah dan berkata: ‘Bukankah Nabi SAW telah memerintahkan kalian untuk mentaatiku?!’ Mereka berkata: ‘Benar.’ Dia berkata: ‘Kumpulkan untukku kayu api!’ Mereka pun mengumpulkannya. Dia berkata: ‘Nyalakan api.’ Mereka pun menyalakannya. Lalu dia berkata: ‘Masuklah kamu ke dalamnya.’ Mereka merasa bimbang dan sebahagian mereka mencegah sebahagian yang lain dan mereka berkata: ‘Kami lari kepada Nabi SAW (untuk menyelamatkan diri mereka) daripada api.’ Mereka tidak berhenti sehinggalah api terpadam dan kemarahan lelaki itu pun reda. Kemudian, hal itu sampai kepada Nabi SAW, maka Baginda bersabda: ‘Sekiranya mereka memasukinya nescaya mereka tidak akan keluar daripadanya sehinggalah hari kiamat. Ketaatan itu adalah pada perkara yang baik’.”
Riwayat al-Bukhari (4340)
Ini bermakna, menurut kata pemerintah dan mentaati mereka itu tidak seharusnya diambil dan diaplikasikan tanpa melihat kepada syarat ketaatan tersebut, iaitu mesti pada perkara yang baik-baik sahaja. Rasulullah SAW bahkan dengan jelas menyebutkan tentang perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: “Dengar dan taat adalah wajib selama mana tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Apabila diperintahkan untuk melakukan maksiat maka tidak ada (kewajipan) lagi untuk mendengar dan taat.”
Riwayat al-Bukhari (2955) dan Muslim (1839)
Beginilah serba ringkas pencerahan berkaitan perintah syara‘ untuk umat Islam mentaati pemimpin yang dilantik dari kalangan mereka. Semoga Allah SWT menjadikan mereka yang memikul tanggungjawab besar ini dari kalangan orang-orang yang soleh dan menegakkan agama-Nya yang satu. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”
Wallahu a‘lam