#6539: Bermukim 3 Hari dalam Permusafiran (Jamak Qasar)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ditugaskan ke putrajaya dalam tempoh 3 hari dan akan ke luar negara selepas itu dalam tempoh 9 hari. Adakah dalam tempoh 3 hari di Putrajaya saya boleh jamak dan qasar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jamak dan Qasar termasuk dalam rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.

Firman Allah SWT:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya:Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam al-Nawawi menyebutkan, ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dharb ‘ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/346).

Berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan jamak dan qasar selama tiga hari di Putrajaya. Ini kerana tempoh dibolehkan qasar dan jamak untuk musafir ialah tiga hari tiga malam, tidak termasuk hari datang dan hari pulang.

Ini adalah seperti mana yang dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/187) bahawa tempoh dibolehkan qasar dan jamak untuk musafir ialah tiga hari tiga malam, tidak termasuk hari datang dan hari pulang. Jika seseorang itu berniat untuk tinggal di suatu tempat selama empat hari atau lebih, maka dia tidak boleh qasar dan jamak ketika sampai di tempat itu kerana dia sudah dikira bermukim. Adapun ketika masih dalam perjalanan, tiada had hari yang tetap, dan dibolehkan qasar dan jama’ sehingga sampai ke destinasi musafir.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”