#6540: Biografi Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki al-Syafi‘i

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah terangkan kepada kami, siapakah tokoh yang bernama Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, seorang tokoh dalam mazhab al-Syafi‘i? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Syafi‘i al-Makki, beliau dilahirkan di Makkah pada bulan Ramadhan tahun 1233 H. Beliau dibesarkan di sana dan tekun menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Beliau berguru dengan ramai ulama terkemuka dan menumpukan perhatian kepada kaedah-kaedah dan asas-asas ilmu. Kehebatan beliau terserlah dalam bidang tafsir dan fiqh.

Di Makkah, beliau belajar daripada Mufti Makkah Syeikh Ahmad al-Dimyati, al-Sayyid Ahmad al-Nahrawi, dan Syeikh ‘Abd al-Ghani al-Dimyati. Beliau banyak mendapat manfaat daripada mereka dan mereka memberikannya ijazah dalam semua riwayat mereka. Beliau juga sangat melazimi dan rapat dengan Syeikh ‘Abd al-Hamid Daghistani dan mempelajari ilmu tafsir, hadith, fiqh, dan lain-lain bidang ilmu daripada beliau, serta menerima ijazah dalam semua riwayatnya.

Beliau juga belajar daripada ulama yang datang ke Makkah seperti Syeikh Ahmad Minnatullah al-Azhari dan Syeikh Muhammad bin Khalil al-Qawuqji al-Hanafi. Beliau melakukan perjalanan ke Mesir dan berguru dengan Syeikh al-Islam Ibrahim al-Saqqa yang juga memberikannya ijazah. Beliau juga menziarahi Masjid Rasulullah dan membacakan hadith di hadapan Syeikh ‘Abd al-Ghani al-Dehlawi (yakni belajar dengannya) serta menerima ijazah dalam semua riwayatnya.

Beliau telah mengajar di Masjidil Haram dan ramai yang belajar daripada beliau, termasuklah Syeikh Uthman Tambusi, Abu Bakar bin Syihabuddin Tambusi, dan Syeikh ‘Abd al-Sattar al-Dehlawi. Selain itu, beliau akan menziarahi Madinah setiap tahun, berpuasa di sana pada bulan Ramadhan, dan mengajar di Masjid Nabawi yang mulia.

Syeikh ‘Abd al-Sattar al-Dehlawi berkata tentang beliau: “Beliau adalah seorang yang luar biasa dalam hafalan dan penyampaian, mahir dalam fiqh dan tafsir. Aku menghadiri kelas beliau yang mensyarahkan Tafsir Jalalain selepas Maghrib di Masjidil Haram untuk suatu tempoh, dan beliau tidak memegang buku catatan di tangannya ketika membaca, sebaliknya menyampaikan kepada pelajar-pelajarnya berdasarkan kepada hafalan dengan kefahaman yang mendalam. Aku menghadiri kelasnya di Madinah banyak kali, dan aku sangat rapat dengannya sehingga apabila beliau kehilangan penglihatannya, beliau masih meneruskan cara pengajarannya yang sama.”

Di antara karya-karya beliau ialah:

  • Hasyiah ‘ala Mansak al-Khatib al-Syirbini al-Kabir.
  • Hidayah al-‘Awam ila Ma‘rifah al-Iman wa al-Islam.
  • Al-Riyadh al-Badi‘ah fi Usul al-Din wa Ba‘dh Furu‘ al-Syari‘ah.
  • Faydh al-Mannan Syarh Fath al-Rahman.
  • Hasyiah ‘ala Fath al-Mu‘in (tetapi beliau tidak sempat menyelesaikannya)

Beliau meninggal dunia di Makkah pada malam Ahad, 10 Jamadil Awal tahun 1335 H, dan dikebumikan di perkuburan Ma‘la.

Penerangan berkenaan biodata Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki al-Syafi ‘i ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh pentahqiq ke atas kitab beliau, al-Riyadh al-Badi‘ah fi Usul al-Din wa Ba‘dh Furu‘ al-Syari‘ah (hlm. 5-6), Cetakan Maktabah al-Turmusi li al-Turath.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”