#6541:  Kedudukan Ahli Badar Di Sisi Saidina Umar

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah kelebihan dan keistimewaan Ahli Badar di sisi Khalifah Umar al-Khattab? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Maka, makanlah daripada apa yang kalian telah dapat (dalam peperangan) itu sebagai benda yang halal lagi baik serta bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Anfal: 69)

Hukuman ini menjadikan Islam pada akhir zaman bersifat al-wasatiyyah. Ghanimah tidak ditinggalkan begitu sahaja sehingga dibakar api sepertimana hukum sebelumnya, atau diserahkan sesuka hati kepada mereka yang gelojoh dengan peperangan. (Lihat Khalifah Umar FIqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 392-395)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak dinafikan bahawa Ahli Badar mempunyai keistimewaan berbanding dengan yang lain. Ini kerana mereka sanggup  mengorbankan jiwa dan harta mereka demi memperjuangkan islam.  Perang Badar berlaku pada saat umat Islam berada dalam keadaan yang sangat lemah, tetapi mereka tetap berjuang demi mempertahankan agama mereka. Oleh yang demikian semasa Umar memegang tampuk pemerintahan, Umar memberikan keutamaan kepada mereka dengan melebihkan pemberian berbanding dengan yang lain.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Qais bin Abi Hazm bahawa beliau berkata:

كَانَ عَطَاءُ البَدْرِيِّينَ خَمْسَةَ آلاَفٍ، خَمْسَةَ آلاَفٍ وَقَالَ عُمَرُ: لَأُفَضِّلَنَّهُمْ عَلَى مَنْ بَعْدَهُمْ

Maksudnya: “Pemberian (tahunan pada zaman Khalifah Umar) untuk mereka yang menyertai peperangan Badar ialah lima ribu, lima ribu. Umar berkata: Sungguh kami akan melebihkan pemberian kepada mereka ke atas orang-orang selepas mereka.”

Riwayat al-Bukhari (4022)

Ibn Hajar al- ‘Asqalani bahawa: Kadar pemberian Ahli Badar adalah lima ribu iaitu jumlah wang yang diberikan kepada setiap seorang daripada mereka setiap tahun semasa zaman pemerintahan Umar dan selepasnya. Umar memberikakan keutamaan kepada Ahli Badar berbanding orang lain dalam pemberian tersebut. (Lihat Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, 7/324)

Selain itu juga,  Kasyf Musykil min Hadith al-Sahihain, (1/126) bahawa: Ketahuilah bahawa apabila pembukaan-pembukaan dilakukan dan mereka memperoleh harta rampasan dari harta simpanan Kisra dan lain-lain, Umar menubuhkan jabatan dalam menguruskan harta tersebut. Beliau memberikan pemberian berdasarkan kedudukan dan sumbangan mereka kepada islam. Beliau memulakan dengan al-Abbas, lalu menetapkan baginya dua puluh lima ribu, kemudian menetapkan bagi ahli Badar lima ribu lima ribu, kemudian menetapkan bagi mereka yang selepas Badar hingga Hudaibiyah empat ribu empat ribu.

Justeru, Peperangan Badar merupakan peperangan yang penting dalam sejarah islam. Kedudukan mereka yang menyertai peperangan Badar adalah amat istimewa di sisi Allah SWT bahkan Allah SWT menjamin Syurga buat mereka di akhirat kelak. Oleh kerana itu, bukanlah suatu yang menghairankan mengapa Umar al-Khattab memberikan keutamaan kepada mereka berbanding dengan yang lain, memandangkan pengorbanan yang telah mereka lakukan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam