#6542: Kelebihan Beramal dengan Ayat Kursi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah kelebihan beramal dengan ayat kursi berdasarkan nas yang sahih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

sbusop91@gmail.com

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, ayat kursi merupakan sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran iaitu ayat 255 daripada Surah al-Baqarah. Firman Allah SWT:

 ‏ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).”

(Surah al-Baqarah: 255)

Ibn Kathir menyatakan, ayat ini dinamakan dengan ayat al-Kursi. Ia memiliki kedudukan yang agung. Dalam hadith yang sahih, Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa ayat al-Kursi merupakan ayat yang paling agung dan utama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/465).

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak kelebihan beramal dengan ayat kursi berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. Kami bawakan di sini sebahagian daripadanya:

Perlindungan daripada Syaitan.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah RA, katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ». فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ سَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ. قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ} حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «مَا هِيَ؟» قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ – وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ – فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟» قَالَ: لاَ. قَالَ: «ذَاكَ شَيْطَانٌ».

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW.’ Dia berkata: ‘Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya.’ Abu Hurairah berkata: Aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Nabi SAW bertanya: ‘Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.’ Baginda bersabda: ‘Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.’

Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi SAW bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW.’ Dia berkata: ‘Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi.’ Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah SAW bertanya kepadaku: ‘Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya.’ Baginda bersabda: ‘Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.’

Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali.’ Dia berkata: ‘Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah.’ Aku menjawab: ‘Apakah kalimah itu?’ Dia berkata: ‘Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya))[Surah al-Baqarah: 225], sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.’ Maka aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah SAW bertanya kepadaku: ‘Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya.’ Baginda bertanya: ‘Apakah itu?’ Aku berkata: ‘Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).”)[Surah al-Baqarah: 225]. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.’” – (Perawi berkata:) Mereka (yakni Para Sahabat) adalah orang-orang yang sangat bersungguh demi kebaikan. Nabi SAW bersabda: ‘Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?’ Abu Hurairah menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Itulah syaitan.’

Riwayat al-Bukhari (2311)

Tidak Akan Terhalang untuk Memasuki Syurga

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (7532); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (9848) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124). Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

Imam al-San‘ani menyatakan bahawa kelebihan ayat al-Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak). (Lihat Subul al-Salam, 1/297).

Di samping itu, Syeikh Abdullah al-Bassam turut menyebutkan, kelebihan ayat yang agung ini; kerana mengandungi nama-nama yang baik, sifat-sifat yang tinggi, tauhid, kehidupan yang sempurna, kekekalan yang kekal, ilmu yang luas, kerajaan yang meliputi segala, kekuatan yang besar, kekuasaan yang teguh, dan kehendak yang berkuasa. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/314).

Bahkan terdapat banyak lagi kelebihan beramal dengan ayat kursi ini seperti mana yang disebutkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka. Ada yang sanadnnya dinilai sebagai sahih dan tidak kurang juga yang dinilai sebagai dha‘if.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”