#6543: Menafikan Hukum Rasulullah Boleh Menafikan Keimanan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Betulkah apabila kita menafikan hukum yang dibawakan Nabi, perbuatan tersebut boleh menafikan juga keimanan kita?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Persoalan yang diajukan saudara ini pada asasnya telah sekian lama dinyatakan sendiri oleh Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu! Golongan munafik itu belum beriman sehingga mereka menjadikan dirimu hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian mereka tidak berasa keberatan dalam hati terhadap apa yang engkau telah putuskan, dan mereka menerima keputusan itu dengan penuh kerelaan.”

(Surah al-Nisa’: 65)

Di dalam ayat ini, Allah SWT bersumpah dengan nama-Nya yang Maha Mulia dan Maha Suci, bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai pemberi hukum pada semua perkara; kerana apa yang dihukumkan oleh Baginda SAW itu adalah benar yang wajib dipatuhi secara zahir dan batin. Oleh yang demikian, Allah SWT mengatakan bahawa kesempurnaan iman itu apabila umat Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai pemberi hukum dan mentaati Baginda sepenuh hati, tidak timbul dalam hati mereka sekelumit rasa susah hati dengan hukum tersebut, tunduk kepadanya secara zahir dan batin, mereka menyerah sepenuhnya, tanpa bantahan atau pertikaian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/306)

Dalam sebuah kisah yang diceritakan oleh al-Zubair bin al-‘Awwam R.A, ketika beliau berselisih faham dengan seorang lelaki Ansar. Lelaki Ansar ini mengadu kepada Nabi SAW berkaitan isu saliran air yang mengairi tanaman di kawasan kebun-kebun kurma di Madinah. Saliran tersebut akan melalui kawasan al-Zubair R.A terlebih dahulu sebelum melalui kawasan lelaki tersebut, lalu al-Zubair menahan air itu sehinggalah keseluruhan tanahnya diairi dengan sempurna sebelum beliau melepaskan saliran tersebut untuk mengairi kawasan tanah lelaki Ansar itu.

Rasulullah SAW menilai situasi tersebut lalu bersabda:

اسْقِ يَا زُبَيْرُ، ثُمَّ أَرْسِلِ الْمَاءَ إِلَى جَارِكَ، فَقَالَ الأَنْصَارِيُّ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنْ كَانَ ابْنَ عَمَّتِكَ؟ فَتَلَوَّنَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ: اسْقِ يَا زُبَيْرُ، ثُمَّ احْبِسِ الْمَاءَ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَى الجَدْرِ، ثُمَّ أَرْسِلِ الْمَاءَ إِلَى جَارِكَ. وَاسْتَوْعَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ حَقَّهُ فِي صَرِيحِ الحُكْمِ حِينَ أَحْفَظَهُ الأَنْصَارِيُّ. كَانَ أَشَارَ عَلَيْهِمَا بِأَمْرٍ لَهُمَا فِيهِ سَعَةٌ.

قَالَ الزُّبَيْرُ: فَمَا أَحْسِبُ هَذِهِ الآيَاتِ إِلَّا نَزَلَتْ فِي ذَلِكَ: {فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ}

Maksudnya: “‘Lepaskan air (buat tanamanmu) wahai al-Zubair, kemudian alirkan air itu kepada jiranmu.’ Lelaki daripada Ansar itu lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, adakah kamu melakukan itu kerana dia ialah anak makcikmu?’ Maka wajah Rasulullah SAW pun berubah (atas sebab kemarahan), lalu Baginda bersabda: ‘Siramlah wahai Zubair, kemudian tahanlah air itu sehingga air sampai ke kaki tembok, kemudian lepaskan air ke tetanggamu.’ Nabi SAW memberi Zubair haknya secara penuh – berdasarkan hukum yang tegas – ketika lelaki daripada Ansar itu membuat Baginda marah. Padahal pada awalnya Baginda telah mengisyaratkan perkara yang ada keluasan bagi kedua-duanya.

Al-Zubair berkata: ‘Tidaklah aku rasa ayat-ayat ini turun melainkan berkenaan dengan hal itu:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ

(Maksudnya: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka.) [Surah al-Nisa’: 65]’.”

Riwayat al-Bukhari (4585) dan Muslim (2357)

Hadith ini menceritakan tentang sebab penurunan ayat di atas, apabila kesempurnaan iman seseorang itu diletakkan seiring dengan ketaatan mereka terhadap hukum-hakam yang diputuskan oleh Rasulullah SAW. Perintah pertama yang Rasulullah SAW putuskan terhadap al-Zubair itu untuk mengharmonikan sahaja, adapun perintah kedua itu untuk memberikan hak. Lelaki Ansar itu menyangka pada mulanya Rasulullah SAW ingin memperdamaikan mereka dengan melindungi hak kepentingan al-Zubair, tanpa lelaki tersebut tahu bahawa perbuatannya mempersoalkan hukum itu seolah-oleh menafikan kemaksuman Baginda. Begitulah para sahabat, mereka juga adalah manusia yang berbeza-beza pada tahap keilmuan. Maka Allah SWT memperingatkan bahawa perbuatan tersebut mencemarkan kemaksuman Rasulullah.

Lelaki ini tidaklah dilabelkan sebagai munafiq (sehingga dinafikan keimanan) atas perbuatannya itu atau keraguannya terhadap Rasulullah, tetapi para perawi menggelarkannya sebagai orang Ansar sahaja bagi menunjukkan bahawa dia merupakan salah seorang dari mukmin yang baik. Dia hanya tidak tahu dan cuai sahaja ketika peristiwa tersebut, dan kemudian Baginda SAW memaafkannya semula. (lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/113)

Semoga kita semua dapat terus beramal dengan hukum-hakam syara‘ yang dibawakan oleh Rasulullah SAW selaku utusan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam