Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah menggunakan/memakai minyak wangi yang beralkohol sewaktu solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: ”Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-‘A’raf: 31)
Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/405)
Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256).
Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu alkohol. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alkohol ialah cecair yang mudah terbakar dan juga memabukkan (terdapat dalam minuman keras dan lain-lain).[1] Ringkasnya, alkohol, mana-mana kelas sebatian organik yang mengandungi satu atau lebih kumpulan hidroksil (―OH) yang terikat pada atom karbon kumpulan alkil (rantai hidrokarbon). Alkohol boleh dianggap sebagai derivatif organik air (H2O) di mana salah satu atom hidrogen telah digantikan oleh kumpulan alkil, biasanya diwakili oleh R dalam struktur organik. Contohnya, dalam etanol (atau etil alkohol) kumpulan alkil ialah kumpulan etil, ―CH2CH3.
Alkohol adalah antara sebatian organik yang paling biasa. Ia digunakan sebagai pemanis dan dalam penghasilan minyak wangi, merupakan perantaraan berharga dalam sintesis sebatian lain, dan merupakan antara bahan kimia organik yang paling banyak dihasilkan dalam industri. Mungkin dua alkohol yang paling terkenal ialah etanol dan metanol (atau metil alkohol). Etanol digunakan dalam produk mandian, farmaseutikal dan bahan api, dan ia digunakan untuk mensterilkan instrumen hospital. Ia adalah alkohol dalam minuman beralkohol. Eter anestetik juga diperbuat daripada etanol. Metanol digunakan sebagai pelarut, sebagai bahan mentah untuk pembuatan formaldehid dan resin khas, dalam bahan api khas, dalam antibeku, dan untuk membersihkan logam.
Alkohol boleh dikelaskan sebagai primer, sekunder, atau tertier, mengikut karbon yang mana kumpulan alkil terikat kepada kumpulan hidroksil. Kebanyakan alkohol adalah cecair atau pepejal tidak berwarna pada suhu bilik. Alkohol dengan berat molekul rendah sangat larut dalam air; dengan peningkatan berat molekul, mereka menjadi kurang larut dalam air, dan takat didih, tekanan wap, ketumpatan, dan kelikatannya meningkat.[2]
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pertamanya kami ingin nyatakan bahawa setakat yang kami ketahui, kebanyakan minyak wangi yang mengandungi alkohol adalah berasal daripada alkohol sintetik yang dihasilkan bukan melalui proses pembuatan arak, sebaliknya ia dihasilkan melalui proses sebatian kimia. Alkohol sintetik ini pula dihukumkan sebagai suci dan diharuskan penggunaannya. Sekalipun begitu keharusan tersebut terikat selagi mana ia tidak mengandungi bahan-bahan lain bernajis dan tidak memudaratkan penggunanya. Ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul oleh al-Isnawi, hlm. 360)
Dinyatakan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (hlm. 74) bahawa: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembur dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Tambahan lagi, pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011. Di antara keputusannya adalah:
- Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
- Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
- Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Selain itu, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin juga pernah menukilkan fatwa Syeikh Muhammad Rasyid Redha yang menyimpulkan bahawa alkohol adalah bahan suci yang membersihkan dan salah satu bahan asas dalam bidang farmasi, perubatan, dan pelbagai industri serta digunakan dalam beratus-ratus ubat. Jadi, melarang umat Islam daripada menggunakannya akan menyekat mereka daripada menguasai ilmu, seni, dan banyak bidang lain. Ini adalah salah satu sebab mengapa bangsa Eropah mendahului umat Islam dalam bidang seperti kimia, farmasi, perubatan, rawatan, dan perindustrian. Melarang penggunaan alkohol dalam konteks ini boleh menjadi punca kematian ramai pesakit atau orang cedera atau menyebabkan sakit mereka menjadi lebih lama dan semakin bertambah. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/256-259).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa menggunakan atau memakai minyak wangi yang beralkohol (yang tidak mengandungi bahan-bahan najis lain), kemudian mendirikan solat dengannya adalah tidak mengapa dan solat yang didirikan itu juga adalah sah serta tidak perlu diulangi semula. Ini kerana alkohol yang terdapat dalam minyak wangi itu adalah suci dan bukannya najis sebagaimana yang kami sudah jelaskan sebelum ini kerana kebanyakan alkohol yang terdapat dalam pembuatan minyak wangi adalah alkohol sintetik yang dihasilkan melalui sebatian kimia.
Penjelasan lanjut berkenaan hukum penggunaan alkohol sintetik ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3144: Penggunaan Alkohol Sintetik.[3]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=alkohol. Diakses pada 14 September 2023.
[2] Lihat https://www.britannica.com/science/alcohol. Diakses pada 15 September 2023.
[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/3144-penggunaan-alkohol-sintetik/. Diakses pada 25 Julai 2024.