Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dalam keadaan junub tidak boleh makan/minum kerana akan mengakibatkn kefakiran. Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan membawa satu kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal sesuatu perkara itu adalah harus sehingga datangnya dalil yang mengharamkannya.”
Kata Imam al-Suyuti, inilah pandangan yang dipegang Mazhab al-Syafi‘i. Adapun Mazhab Imam Abu Hanifah berpergang pada kaedah yang berlawanan: “Asal sesuatu perkara itu adalah haram sehingga datangnya dalil yang mengharuskannya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/60)
Secara umumnya, diharamkan ke atas orang yang berjunub atau berhadas besar lima perkara:
- Solat
- Membaca al-Quran.
- Memegang mashaf dan membawanya.
- Tawaf
- Duduk di dalam masjid. (Lihat al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 40)
Perkara sunat bagi orang berjunub sebelum makan dan minum
Imam al-Nawawi ada menjelaskan di dalam kitabnya:
وَيُكْرَهُ لِلْجُنُبِ أَنْ يَنَامَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ وَيُسْتَحَبُّ إذَا أَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَشْرَبَ… أَنْ يَتَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ وَيَغْسِلَ فَرْجَهُ فِي كُلِّ هَذِهِ الْأَحْوَالِ
Maksudnya : “Makruh hukumnya bagi orang yang berjunub untuk tidur sehinggalah dia berwuduk. Dan disunatkan juga, sekiranya dia mahu makan atau minum untuk dia berwuduk sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat serta membasuh kemaluannya pada setiap keadaan-keadaan ini.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/156)
Begitu juga, Ibn Nujaim al-Hanafi ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa :
وَيُسْتَحَبُّ غَسْلُ الْيَدَيْنِ قَبْلَ الطَّعَامِ فَإِنَّ فِيهِ بَرَكَةً، وَفِي الْبُرْهَانِيَّةِ : وَالسُّنَّةُ أَنْ يَغْسِلَ الْأَيْدِيَ قَبْلَ الطَّعَامِ وَبَعْدَهُ…وَيُكْرَهُ لِلْجُنُبِ رَجُلًا كَانَ، أَوْ امْرَأَةً أَنْ يَأْكُلَ طَعَامًا، أَوْ شَرَابًا قَبْلَ غَسْلِ الْيَدَيْنِ وَالْفَمِ وَلَا يُكْرَهُ ذَلِكَ لِلْحَائِضِ
Maksudnya : “Disunatkan untuk membasuh kedua-dua tangan sebelum makan kerana sesungguhnya padanya ada keberkatan. Dan di dalam al-Burhaniyyah menyebutkan bahawa sunat untuk membasuh tangan sebelum makan dan selepasnya… Dan makruh hukumnya bagi orang yang berjunub dalam kalangan laki-laki dan perempuan untuk makan atau minum sebelum membasuh tangan dan mulut mereka. Akan tetapi tidak makruh perkara tersebut kepada perempuan yang haid.” (Lihat al-Bahru al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, 8/208-209)
Oleh itu, dapat difahami bahawa di sisi mazhab Syafi’iyyah, membasuh tangan sebelum makan bagi orang yang berjunub hukumnya adalah sunat. Ini juga adalah merupakan pendapat mazhab Hanafiyah dan Hanabilah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)
Kesimpulan
Oleh itu, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan makan dan minum ketika dalam keadaan junub tidak membawa kepada kefakiran. Bahkan, tiada larangan dari nas al-Quran mahupun hadith berkenaan tersebut. Manakala, disunatkan untuk mereka yang sedang dalam junub untuk berwuduk sebelum makan dan minum. Sekiranya membawa kepada kesukaran, maka cukup dengan membasuh kedua belah tangan terlebih dahulu. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/3)
Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama kita. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”