Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, jika ada orang lain yang tidak mahu mengambil haknya dan saya mengambil haknya tersebut, adakah berdosa?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kita tidak boleh mengambil hak milik orang lain secara batil. Kita akan berdosa jika mengambil hak milik orang lain, walaupun orang itu enggan mengambilnya. Ia kekal dalam pemilikan tuan empunya tersebut.
Kita hanya boleh ambil dengan izin tuan empunya. Maka, seharusnya kita wajib meminta izin kepada tuan punya hak tersebut sebelum mengambil. Andai diizinkan, barulah kita boleh mengambil barang tersebut.
Secara asalnya, pemindahan hak milik hanya berlaku dalam bentuk akad dan transaksi yang diiktiraf dan diperakui oleh syarak seperti jual-beli, hadiah, wasiat dan sebagainya; yang dilaksanakan dalam keadaan rela dan sedar antara kedua-dua pihak. Keengganan seseorang mengambil hak miliknya tetap tidak mengubah status pemilikan dirinya ke atas benda itu, dan tidak menghalalkan orang lain untuk mengambilnya.
Mengambil harta orang lain tanpa hak ini secara umumnya dipanggil sebagai al-ghasb (الْغَصْبُ). Ia ditakrifkan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari sebagai:
اسْتِيلَاءٌ عَلَى حَقِّ غَيْرٍ بِلَا حَقٍّ
Maksudnya: “Merampas hak milik orang lain tanpa hak.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/274)
Dalil pengharaman mengambil hak orang lain tanpa keredhaan dan keizinannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kalian memakan harta orang lain dalam kalangan kalian dengan cara yang batil, melainkan dengan jual beli yang diredhai sesama kalian. Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri. Sesungguhnya Allah amat mengasihi kalian.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “[Wahai orang yang beriman janganlah kalian makan harta orang lain dalam kalangan kalian dengan cara yang batil] iaitu dengan cara yang haram, seperti riba, perjudian, merampas hak milik orang lain, mencuri, berlaku khianat dan yang semisal dengannya. Dan dikatakan juga ia adalah segala akad transaksi yang batil [melainkan dengan perniagaan] Ahli Kufah membaca kalimat “تِجَارَةً” secara mansub atas faktor kalimat tersebut adalah khabar; maka maknanya menjadi “melainkan harta tersebut adalah berstatus harta hasil perniagaan sesama kalian,” manakala perawi lain membaca dengan baris hadapan (تِجَارَةٌ); dengan makna: “melainkan ada urusniaga jual-beli,” [yang diredhai sesama kalian] iaitu dengan kerelaan hati setiap seorang dalam kalangan kalian.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/199)
Begitu juga dengan hadith Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, dan maruah kalian adalah haram untuk dicerobohi sesama kalian.”
Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)
Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas menegaskan bahawa: “Lafaz hadith di atas menegaskan dengan begitu jelas bahkan amat keras tentang haramnya harta, maruah dan nyawa untuk dicerobohi dan digugat oleh sesiapa pun.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/169)
Orang yang telah mengambil harta hak milik orang lain wajib ke atasnya untuk memulangkan semula harta tersebut kepada pemiliknya.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Orang yang mengambil harta orang lain wajiblah memulangkannya kepada pemiliknya segera berdasarkan hadith Nabi SAW:
عَلَى الْيَدِ مَا أَخَذَتْ حَتَّى تُؤَدِّيَهُ
Maksudnya: “Seseorang sentiasa memikul beban selagi dia memegang benda yang diambil (tanpa kebenaran dan hak); sehinggalah dia memulangkannya (kepada yang berhak).”
Riwayat al-Tirmizi (1266) dan Abu Daud (3561)
Wajib ke atasnya untuk memulangkan barangan tersebut segera, kerana kewajiban untuk segera keluar daripada dosa dan maksiat, walau tidak diminta oleh pemilik/tuan empunya kepada barang tersebut.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/9)
Imam Sulaiman al-Jamal berkata: “Orang yang mengambil harta orang lain tanpa hak mestilah memulangkan semula barang tersebut iaitu dengan kadar segera apabila mampu melaksanakannya, walau sebesar mana pun harga untuk memulangkannya, atau juga meskipun barang tersebut tidak berharga.” (Lihat Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 3/471)
Kita hanya boleh mengambil barang yang dimiliki seseorang apabila dia mengizinkan dan memberikannya kepada kita. Jika ada keizinan daripada pemilik, maka barulah kita boleh mengambilnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kita berdoa agar Allah mengurniakan ketaqwaan dan sifat takut kepada-Nya, khususnya dalam mengurus hal-ehwal harta dan hak milik orang lain. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”
Wallahu a‘lam.