#6558: Suami Beri Nafkah Kepada Adik-Beradik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum suami memberikan nafkah kepada adik beradik selepas berkahwin? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Selepas berkahwin, suami wajib mengutamakan pemberian nafkah kepada isteri dan seterusnya kepada anak-anaknya. Isteri merupakan prioriti dan keutamaan dalam pemberian nafkah. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

۞ وَٱلۡوَ ٰ⁠لِدَ ٰ⁠تُ یُرۡضِعۡنَ أَوۡلَـٰدَهُنَّ حَوۡلَیۡنِ كَامِلَیۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن یُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya: “Para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun yang lengkap, bagi sesiapa yang mahu menyempurnakan susuannya itu. Bapa wajib memberi nafkah makan minum dan pakaian kepada isteri-isteri dengan cara yang baik. Seseorang tidak akan dibebani melainkan dengan kemampuannya sendiri.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Imam al-Samarqandi menafsirkan ayat di atas: “Diwajibkan ke atas bapa (si suami) untuk memberi nafkah makan minum dan pakaian kepada isterinya, dan memberi upah menyusu kepadanya; semua ini dilakukan dengan cara yang paling terbaik, menurut kemampuannya.” (Lihat Bahr al-‘Ulum, 1/342)

Seorang suami wajib mengutamakan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak, jika ada lebihan harta, barulah boleh memberi nafkah atas dasar pemberian sunat kepada adik-beradik kandungnya. Umumnya, lebihan harta hanya dipunyai orang yang senang atau digelar al-musir (الْمُوسِرُ).

Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan: “Dimestikan juga pemberian nafkah kepada ahli keluarga/kerabat seperti ibu dan bapa (termasuk kepada adik-beradik) [dengan syarat: kesenangan orang yang memberi nafkah tersebut] kerana ia diberikan atas dasar muwasah (pemberian hadiah jika ada harta lebihan), manakala nafkah isteri adalah lebih utama kerana ia diberikan atas dasar tanggungjawab hasil mu‘awadhah (pemberian tukar–ganti).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/346)

Hal ini berdalilkan dengan hadith Jabir bin ‘Abdillah R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِك فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِك فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِك شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِك

Maksudnya: “Mulakanlah dengan dirimu, nafkahkanlah buat dirimu. Jika ada lebihan, maka nafkahilah ahli keluargamu (isteri dan anak-anak), jika ada lebihan lagi maka berilah kepada keluargamu (seperti ibu, bapa, adik-beradik).”

Riwayat Muslim (997)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas mengatakan: “Di dalam hadith ini terdapat beberapa faedah, antaranya adalah jika mahu memberi sebarang pemberian nafkah atau hadiah, maka mestilah dimulakan dengan tertib seperti di dalam hadith di atas (diri sendiri dahulu, kemudian isteri, kemudian anak-anak, kemudian ibu bapa, kemudian kerabat). Antaranya lagi adalah, jika hak dan keutamaan saling bercanggah dan bertembung, maka haruslah didahulukan hak dan keutamaan yang paling pasti dan kuat.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/83).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa pemberian nafkah daripada suami kepada adik-beradiknya adalah bersifat sunat semata-mata, suami boleh memberinya selepas selesai menyempurnakan nafkah dan pemberian kepada isteri dan anak-anak yang lebih utama dan bersifat wajib. Kemudian barulah kepada hamba sahaya (jika ada), kemudian ibu bapa dan kemudian adik-beradik.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah rezekiku dengan kurniaan-Mu yang halal berbanding perkara yang haram, dan kayakanlah aku dengan berkat limpah kurnia-Mu sehingga menghalang aku daripada berharap kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.