#6562: Tidak Tidur Sebelum Tahajud 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah solat tahajud walaupun tidak tidur terlebih dahulu. Terutama di luar negara bila jarak waktu solat isyak dan solat subuh kurang dari 3 jam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

وَمِنَ ٱلَّیۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةࣰ لَّكَ عَسَىٰۤ أَن یَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامࣰا مَّحۡمُودࣰا

Maksudnya: “Dan bangunlah bertahajud sebagai ibadat tambahan buat dirimu pada sebahagian malam; semoga Tuhanmu akan membangkitkan engkau (wahai Rasulullah) dalam kedudukan yang terpuji.”

(Surah al-Isra’: 79)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menyatakan: “Maksud ayat ini adalah: Bangunlah selepas kamu tidur, Tahajud itu hanyalah berlaku selepas bangun dari tidur. Dipanggil tahajjada ialah apabila seseorang itu bangun daripada tidurnya, dan hajada bermaksud tidur. Ayat ini mengarahkan agar bangun malam untuk bersolat sunat.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/115)

Solat Tahajud ditakrifkan sebagai solat sunat selepas tidur di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i. Ia ditakrifkan di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami sebagai:

هُوَ التَّنَفُّلُ لَيْلًا بَعْدَ نَوْمٍ

Maksudnya: “Bersolat sunat pada malam hari selepas bangkit daripada tidur.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/245)

Antara syarat untuk melakukan solat Tahajud adalah mestilah tidur dahulu selepas masuk waktu Isyak. Ini merupakan pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i.

Imam  ‘Ali al-Syibramalisi menyatakan: “Syarat Tahajud itu sepertimana yang difatwakan oleh guru-guru kami iaitu Imam al-Ramli dan Imam Ibn Qasim ada dua seperti yang kami jelaskan seperti berikut:

  • Mestilah dilakukan selepas masuk waktu Isyak,
  • Mestilah dilakukan selepas menunaikan solat Isyak,
  • Mestilah dilakukan selepas bangun dari tidur selepas masuk waktu Isyak.

Waktu tidur itu, disyaratkan mestilah pada waktu kebiasaan orang ramai sudah tidur, di sisi Imam al-Ramli al-Kabir. Manakala di sisi Imam al-Ramli al-Saghir dan Imam Ibn Hajar, asalkan tidur selepas masuk waktu Isyak walaupun lebih awal berbanding waktu kebiasaan orang ramai tidur.” (Lihat Hasyiah al-Syibramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 2/131)

Imam al-Bujarimi juga berkata: “(Syeikh al-Islam berkata: selepas tidur) walaupun tidur yang sekejap (selepas masuk waktu Isyak), walaupun sebelum melaksanakan solat Isyak; tetapi seseorang mestilah menunaikan solat sunat Tahajud selepas menunaikan fardhu Isyak, barulah solat sunat itu dinamakan sebagai Tahajud. Inilah pendapat muktamad.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/286)

Jika seseorang tidak tidur, dia hanya mendapat pahala Qiyamullail (menghidupkan malam) dengan solat sunat mutlak, iaitu bangkit malam untuk bersolat sunat biasa pada malam hari. Adapun solat sunat Tahajud dan ganjaran khusus Tahajud, hanya akan diperoleh jika memenuhi syarat di atas.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang disyaratkan untuk tidur dahulu jika mahu bersolat Tahajud. Jika tidak tidur, dia terlepas daripada memperoleh kesempurnaan pahala Tahajud, dan hanya mendapat pahala qiamullail (menghidupkan malam). Walaupun begitu, masalah ini adalah luas. Yang penting kita melaksanakan pada waktu malam untuk berqiamullail. Untuk mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci, sila rujuk buku kami bertajuk: Ensiklopedia Solat Sunat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

رَّبِّ أَدۡخِلۡنِی مُدۡخَلَ صِدۡقࣲ وَأَخۡرِجۡنِی مُخۡرَجَ صِدۡقࣲ وَٱجۡعَل لِّی مِن لَّدُنكَ سُلۡطَـٰنࣰا نَّصِیرࣰا

Maksudnya: “Wahai Tuhan! Masukkan daku ke dalam tempat masuk yang tepat, dan keluarkan daku menerusi tempat keluar yang tepat; dan berikanlah daku kekuasaan dan bantuan daripada sisi-Mu.”

Wallahu a‘lam.