Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah membunuh tikus dengan cara melemaskannya? Adakah di sana hadith berkaitan? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Dalam menjawab soalan di atas, tikus merupakan antara haiwan perosak (fawasiq) yang boleh dibunuh, walaupun ketika seseorang dalam keadaan berihram. Umm al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْعَقْرَبُ وَالْفَارَةُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ
Maksudnya: “Haiwan perosak yang lima yang perlu dibunuh meskipun di dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung ‘kite’ (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas.”
Riwayat Muslim (1198)
Imam Ibn Hajar al-Haitami menegaskan makna hadith di atas: “Berdasarkan hadith di atas bahkan bagi orang-orang yang berihram pun, yang asalnya dilarang berburu dan membunuh apa-apa hidupan; dibenarkan untuk membunuh lima jenis haiwan perosak ini.” Imam al-Syarwani mensyarahkan: “Lima haiwan perosak itu berdasarkan hadith yang sahih; salah satunya ialah tikus, begitu juga yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli di dalam kitab al-Nihayah.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 4/179)
Dalam masa yang sama, Islam mengarahkan kita agar berlaku baik, meskipun ketika hendak membunuh. Syaddad bin Aus R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ؛ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan atas setiap sesuatu. Jika kalian membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Jika kalian menyembelih, maka hendaklah kalian perbaiki cara sembelihan kalian. Tajamkan pisau sembelih, tenangkan haiwan sembelihan.”
Riwayat Muslim (1955)
Mulla Ali al-Qari berkata: “Ihsan dalam membunuh itu adalah dengan mencari jalan yang paling mudah untuk membunuh dan paling kurang rasa sakit yang dirasakan.” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 12/333).
Begitu juga sesiapa yang membunuh haiwan yang dianjurkan untuk dibunuh dengan cara yang menyeksa dan melambatkan kematian, pahala membunuhnya akan berkurangan; seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
مَنْ قَتَلَ وَزَغَةً فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً وَمَنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّانِيَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً لِدُونِ الأُولَى وَإِنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّالِثَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً لِدُونِ الثَّانِيَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh cicak dengan pukulan yang pertama, baginya sekian pahala, sesiapa yang membunuhnya pada pukulan kedua, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan pertama, sesiapa yang membunuhnya pada pukulan ketiga, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan kedua.”
Riwayat Muslim (2240)
Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas: “Antara sebab mengapa pahala lebih banyak jika berjaya bunuh pada pukulan pertama adalah kerana Rasulullah SAW mengarahkan agar pembunuhan dilaksanakan dengan segera. Ia mesti dilakukan, adapun jika seseorang cuba memukul berkali-kali maka ada kemungkinan besar ia boleh terlepas dan gagal membunuhnya. Hukum di dalam hadith ini juga terpakai pada semua kelima-lima haiwan perosak selain cicak.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/236).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa membunuh tikus dengan cara menenggelamkannya atau melemaskannya adalah tidak dibolehkan, dan sebaik-baiknya cara seperti ini hendaklah dielakkan kerana proses mematikannya itu mengambil masa yang lama, ditambah lagi dengan keadaan yang menyeksa — akibat kekurangan oksigen.
Ini kerana menurut Dr Hanafiah Bashirun, Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia Asia, lemas berlaku apabila seseorang itu tidak dapat bernafas disebabkan aras mulut dan hidung tenggelam ke dalam air. Dalam erti kata lain, air disedut memasuki rongga mulut dan paru-paru, ini menyebabkan jumlah tisu paru-paru yang berfungsi untuk menyerap oksigen berkurangan. Semakin lama seseorang itu tenggelam, semakin banyak air di dalam paru-paru dan semakin kurang oksigen dapat diserap. Akhirnya, semua tisu paru-paru akan ditenggelami air dan tiada oksigen yang dapat disedut lagi. Dalam keadaan itu, semakin kurang bekalan oksigen sampai ke tisu badan terutama jantung dan otak. Akhirnya jantung tidak dapat mengepam darah dan seterusnya kematian terjadi akibat tisu otak mati.[1]
Bahkan, membunuh tikus dengan cara melemaskannya dilihat bertentangan dengan arahan Rasulullah SAW ang menggesa agar mempercepatkan kematian. Mak, sebaik-baiknya bunuhlah tikus itu dengan cara yang cepat membawa kepada kematiannya seperti memukulnya dengan pukulan yang kuat, menggunakan pisau, racun dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنَّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon afiat di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon keampunan dan keafiatan pada urusan agamaku, duniaku, urusan ahli keluargaku dan urusan hartaku.”
Wallahu a‘lam.
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.hmetro.com.my/sihat/2017/12/292428/beringat-main-air. Diakses pada 26 Julai 2024.