#6567: Makanan Menyebabkan Bau Mulut Kuat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya diberitahu memakan petai adalah makruh kerana sifat busuknya yang akan membuat para malaikat tidak menyukainya. Jadi soalan saya bagaimana durian atau bawang putih dan seangkatan dengannya, adakah terpakai hukum yang sama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Rasulullah SAW memakruhkan kita daripada makan bawang merah dan bawang putih, sebagaimana sabda Baginda SAW:

مَنْ أَكَلَ الثُّومَ أَو البَصَلَ فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا تَتَأَذَّى مِنْهُ بَنُو آدَمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang makan bawang putih dan bawang merah kerana terlalu lapar atau apa sahaja alasan, maka janganlah dia menghadiri solat berjemaah; kerana malaikat berasa tidak senang dengan perkara tersebut sepertimana anak-anak Adam juga tidak selesa dengannya.”

Riwayat Muslim (564)

Jabir bin ‘Abdillah al-Ansari R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثُومًا، أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا وَلْيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا

Maksudnya: “Sesiapa yang maka bawang putih dan bawang merah, maka hendaklah dia menjauhkan diri daripada kami dan menjauhkan diri daripada masjid kami ini.”

Riwayat al-Bukhari (5452); dan Muslim (565)

Kedua-duanya dimakruhkan kerana bau yang kuat, busuk dan begitu menganggu orang lain. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari ketika mensyarahkan hadith di atas, beliau berkata: “Dalam riwayat yang lain, Jabir bin  ‘Abdillah R.A jelas menyatakan: مَا أُرَاهُ يَعْنِي إلا نَتْنَهُ – “Tiada yang membuatkan Baginda melarang begitu melainkan kerana bau bawang yang kuat dan busuk mengganggu.” (Lihat Minhah al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 2/570)

Ini terpakai bagi setiap makanan atau buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai bau yang begitu kuat, busuk dan boleh mengganggu. Hukumnya adalah turut makruh untuk dimakan ketika hendak pergi ke masjid.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menfatwakan sedemikian menerusi nas beliau, dimakruhkan untuk makan setiap makanan yang berbau busuk iaitu bagi orang yang mulutnya berbau kerana makan makanan seperti bawang putih, bawang merah, daun bawang (leek), dan lobak putih (radish) yang tidak mudah untuk dihilangkan baunya dari mulut, walaupun ia dimasak, masih tetap kekal baunya yang busuk dan mengganggu itu, walaupun hanya sedikit berdasarkan pendapat yang aujah (lebih kuat dalam kalangan ashab al-Syafi‘i). Berbeza dengan pendapat yang mengatakan, bau busuknya boleh dimaafkan kerana sedikit. Begitu juga makruh bagi orang yang makan itu, walaupun ada keuzuran berdasarkan apa yang jelas, untuk berkumpul dengan orang ramai dan juga masuk ke dalam masjid tanpa sebarang keperluan mendesak sekalipun masjid kosong, kecuali jika dia makan disebabkan ada keuzuran berdasarkan apa yang jelas. Perbezaannya adalah jelas. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/274-275).

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga menjelaskan bahawa dimakruhkan untuk memasuki masjid tanpa sebarang keperluan mendesak bagi sesiapa yang makan bawang putih dan lain-lain makanan yang sama jenis dengannya iaitu yang turut sama mempunyai bau kurang enak yang kuat melekat pada mulut berdasarkan hadith (yang bermaksud), “Sesiapa yang makan bawang putih atau bawang merah, hendaklah dia menjauhkan diri dari kami dan dari masjid kami.” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Dalam riwayat Muslim dinyatakan, “Sesiapa yang makan bawang putih, bawang merah, dan daun bawang (leek), maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana malaikat juga terganggu dengan apa yang mengganggu anak-anak Adam.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib, 1/186)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyatan dan perbincangan di atas, sebagaimana yang diketahui, durian dan petai turut sekali termasuk dalam kategori makanan yang boleh menyebabkan bau mulut yang kurang menyenangkan dan begitu kuat. Sehubungan dengan itu, kami berpendapat bahawa ia turut dimakruhkan atas dasar qiyas (persamaan sifat) dengan bawang putih dan bawang merah yang mana pemakannya dilarang untuk menghadiri solat berjemaah di masjid  kerana bau busuk yang terhasil disebabkan memakannya, dikhuatiri akan mengganggu jemaah lain.

Sebaik-baiknya kami mencadangkan tidak memakan apa-apa makanan yang memberikan bau yang kuat pada mulut sebelum mendirikan solat berjemaah, atau sebelum pergi menunaikan solat berjemaah, berusahalah untuk menghilangkan terlebih dahulu bau tersebut dengan cara menggosok gigi, berkumur-kumur atau lain-lain seumpamanya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ سَدِّدْ فِي الْخَيْرِ مَسِيرَتَنَا وَاحْفَظْ بَيْنَ الْخَلْقِ كَرَامَتَنَا وَعَطِّرْ بَيْنَ النَّاسِ سَمْعَتَنَا وَبَارِكْ لَنَا فِي كُلِّ أَيَّامِنَا وَاخْتِمْ بِالصَّالِحَاتِ أَعْمَالَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, tepatkanlah langkah dan halatuju kami dengan seluruh kebaikan, jagalah kemuliaan kami dalam kalangan makhluk, harumkanlah nama kami dalam kalangan manusia pada pendengaran kami, berkatilah hari-hari kami, dan akhirilah amalan kami dengan perbuatan kebaikan.”

Wallahu a‘lam.