Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya, apakah status air yang tidak melebihi 2 kolah apabila haiwan atau kucing terjatuh ke dalam air memandangkan air itu telah terkena kemaluan haiwan/kucing itu? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan Musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Umum ayat ini mengandungi puji-pujian buat para ilmuan, dan bidang ilmu yang paling tinggi kedudukannya adalah ilmu berkenaan Kitabullah. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan mereka yang tidak tahu agar merujuk kepada ilmuan pada apa jua isu yang dihadapi, dan dengan bertanya itu dapat melepaskan seorang jahil dari memikul tanggungjawab. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 441)
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa air tersebut masih suci, kerana kucing adalah haiwan yang suci dan bukan najis. Namun, jika jelas dan terdapat sebarang unsur najis (‘ain al-najasah) seperti tinja, darah, nanah, air kencing yang ketara pada mana-mana bahagian tubuh kucing itu sebelum masuk ke dalam air lantas mengubah keadaan air tersebut; maka air tersebut menjadi air bernajis yang tidak boleh digunakan.
Definisi Dua Kolah
‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلْ خَبَثًا
Maksudnya: “Apabila air itu mencapai ukuran dua kolah maka ia tidak akan dicemari oleh najis apa pun.”
Riwayat Abu Daud (64); al-Tirmizi (67) dan Ibn Majah (517)
Imam al-Bulqini mensyarahkan hadith di atas berkata: “Maka dapat difahami daripada hadith di atas, air yang mencapai ukuran dua kolah tidak akan dicemari oleh najis, walau apa pun yang masuk ke dalamnya. Melainkan apabila najis tersebut mampu mengubah warna, bau dan rasa air tersebut.” (Lihat al-Tadrib fi al-Fiqh al-Syafi‘i. 1/81)
Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) adalah bersamaan 500 ritl (kati) Baghdad, ini bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu. Berikut ialah kiraan bekas yang memuatkan ukuran dua kolah (qullatain) di sisi mazhab al-Syafi‘i:
Ukuran isipadu air bagi dua kolah dalam bekas silinder adalah 217.23 liter.
Ukuran isipadu air bagi dua kolah dalam bekas segi empat adalah 216 liter.
Manakala, air yang kurang dua kolah pula; akan menjadi najis serta-merta apabila dicampuri unsur najis yang tidak dimaafkan dan jelas di mata; walaupun najis tersebut tidak mengubah warna, bau dan rasanya. Demikian yang difatwakan oleh Imam al-Ghazali dan diikuti oleh para ulama al-Syafi‘iyyah. (Lihat al-Wasit fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/166)
Kucing Itu Suci
Hukum asal setiap haiwan adalah suci, melainkan apabila ada dalil yang membuktikan pengharamannya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma ‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/226).
Kucing dianggap sebagai haiwan yang suci (bukan najis) kerana ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik R.A ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)
Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Bahkan, untuk membuktikan kesucian kucing, Imam al-Damiri menjelaskan sebahagian ulama menyatakan bahawa kucing termasuk dalam kalangan haiwan yang boleh dimakan di sisi salah satu pendapat mazhab al-Syafi‘i iaitu qaul Imam Abu al-Hasan al-Busyanji al-Syafi‘i; yang mana ini juga merupakan pendapat mazhab al-Laith bin Sa‘d. (Lihat Hayat al-Hayawan al-Kubra, 2/523)
Imam al-San‘ani menyebutkan bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 1/33)
Kucing Termasuk Dalam Air Kurang Dua Kolah
Adapun jika ada hidupan termasuk ke dalamnya, maka selagi tidak berunsur najis, maka ia dinilai sebagai masih suci. Kucing adalah haiwan yang suci berdasarkan penerangan di atas. Imam Ibn Hajar al-Haitami menfatwakan, tidak ada kesan disebabkan membuang (ke dalamnya) seperti angin sebagaimana yang zahir; kerana ia bukan dari jenis yang ditaklifkan (diwajibkan mematuhi perintah agama). Begitu juga tiada kesan daripada membuang haiwan hidup secara mutlak (tidak kira hidupan air ataupun bukan) atau bangkai binatang yang berasal daripadanya (yakni hidupan air). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/94)
Namun, sekiranya terdapat kebarangkalian besar hidupan tersebut bergelumang dengan najis, seperti kucing tersebut baru sahaja membuang air dan unsur najis (‘ain al-najasah) masih wujud dan basah, berdarah atau bernanah; dan unsur najis tersebut jelas memasuki air; maka air kurang dua kolah tersebut akan menjadi najis walaupun tidak merubah warna, bau dan rasanya.
Imam ‘Ali al-Syibramalisi berkata: “Air kurang dua qullah menjadi najis dengan sebab semata-mata bertemu dengan sebarang najis yang ketara (meskipun tidak mengubah warna, bau dan rasa air).” (Lihat Hasyiah al-Syibramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 1/80).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa air tersebut tidak najis, melainkan apabila ada unsur najis yang jelas di mata kita seperti melihat kucing tersebut bergelumang dengan najis memasuki air tersebut dan mengubahnya secara begitu tampak dan ketara. Apapun, kami nasihatkan agar menggunakan air yang belum diusik atau disentuh oleh sesiapa untuk kegunaan bersuci, terutamanya untuk melaksanakan ibadah. Ini lebih selamat dan terjamin kebersihannya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”
Wallahu a‘lam.